WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, terpaksa berdepan dengan mantan presiden Donald Trump dalam suasana politik suram.
Beliau memasuki gelanggang agak lambat serta terpaksa meyakinkan rakyat, yang kebanyakannya ingin melihat perubahan serta tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi semasa.
Namun, dengan beberapa strategi dan pendekatan bijak, Cik Harris akhirnya berupaya meraih kepercayaan pengundi. Salah satu faktor terbesarnya ialah usaha beliau mendorong pengundi keluar mengundi.
Kempen beliau memberi tumpuan sepenuhnya pada pengerahan pengundi, melibatkan staf yang berbayar serta penyertaan kesatuan pekerja untuk mengetuk pintu rumah dan menghubungi pengundi secara langsung.
Dengan 2,500 staf ditempatkan di lebih 353 pejabat di seluruh negara, kempen Cik Harris berjaya mendekati puluhan ribu pengundi secara peribadi.
Hanya dalam masa seminggu sebelum hari mengundi, pasukan beliau mengetuk 600,000 pintu dan membuat lebih tiga juta panggilan telefon.
Jika Cik Harris menang, ia membuktikan operasi pengerahan yang agresif itu boleh mempengaruhi keputusan dalam pertandingan sengit.
Selepas keputusan Mahkamah Agung memansuhkan hak perlembagaan untuk pengguguran, isu ini menjadi semakin penting dalam pilihan raya.
Cik Harris mengambil kesempatan menonjolkan pendirian parti Demokrat dalam mempertahankan hak pengguguran, satu pendirian yang menarik sokongan besar daripada pengundi yang prihatin mengenai isu hak wanita.
Sepanjang kempen, lebih banyak dana dibelanjakan untuk iklan berkenaan pengguguran berbanding isu lain.
Walaupun Encik Trump cuba meredakan isu itu dengan kenyataan yang bercampur-campur, isu pengguguran tetap menjadi senjata kuat bagi Cik Harris dalam menawan hati pengundi.
Jika Cik Harris menang, ia juga boleh dikaitkan dengan faktor Encik Trump sendiri yang gagal mengawal naratif kempen akhir beliau.
Beberapa minggu sebelum hari mengundi, Encik Trump semakin kerap menggunakan ‘retorik gelap’ dan kadangkala menakutkan dalam ucapannya, yang lebih menjauhkan pengundi daripada menyokong beliau.
Ucapan Encik Trump yang dilihat sebagai tidak stabil memberi kelebihan kepada Cik Harris.
Pada masa yang sama, kenyataan Encik Trump yang melampau mengenai Cik Liz Cheney, salah seorang pengkritik beliau yang paling lantang daripada parti Republikan, dan beberapa isu lain membuat pengundi semakin resah dengan gaya kepimpinan beliau.
Walaupun Cik Harris merupakan sebahagian daripada pentadbiran Presiden Biden, kempen beliau berjaya menggambarkan dirinya sebagai calon yang membawa perubahan.
Rakyat mahukan kepimpinan yang lebih segar, dan Cik Harris, yang 18 tahun lebih muda daripada Encik Trump, dilihat sebagai lebih relevan dan sesuai untuk masa depan negara.
Dalam kalangan wanita, Cik Harris mendapat sokongan yang cukup besar.
Berdasar tinjauan akhir New York Times/Kolej Siena, Cik Harris mendahului Encik Trump dengan 54 peratus sokongan daripada pengundi wanita, berbanding 42 peratus untuk Encik Trump.
Ini menunjukkan wanita Amerika memainkan peranan besar dalam memenangi kempen kali ini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg