Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris, Trump masing-masing diramal menang berdasar analisis berbeza

Persepsi rakyat terhadap keadaan ekon boleh pengaruhi keputusan walau angka makroekonomi tampak baik
Nov 2, 2024 | 5:30 AM
Seorang peserta memegang sepanduk ketika mendengar ucapan mantan Wanita Pertama, Cik Michelle Obama, di kempen, ‘Apabila Kita Semua Mengundi’, pada 29 Oktober di College Park, Georgia. 
Seorang peserta memegang sepanduk ketika mendengar ucapan mantan Wanita Pertama, Cik Michelle Obama, di kempen, ‘Apabila Kita Semua Mengundi’, pada 29 Oktober di College Park, Georgia.  - Foto AFP

WASHINGTON: Menjelang hari pengundian, suasana politik di Amerika Syarikat semakin panas.

Di tengah-tengah kempen yang mendebarkan ini, Naib Presiden Cik Kamala Harris, berjanji “menutup lembaran ketakutan dan perpecahan” di sebuah perhimpunan di Michigan, negeri yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini.

Di sisi lain, mantan Presiden Donald Trump melancarkan serangan terhadap lawannya di Atlanta, Georgia, menuduh mantan Wanita Pertama Michelle Obama dengan gelaran “biadab”.

Lebih mengganggu apabila kebakaran kecil berlaku pada dua peti undi di Portland dan Vancouver, Washington, merosakkan ratusan kertas undi.

Pihak berkuasa menganggap ia sebagai “serangan langsung terhadap demokrasi”.

Persaingan Sengit di Negeri Penentu

Dengan hanya beberapa hari lagi sebelum 5 tarikh mengundi pada 5 November, semua tertumpu pada tujuh negeri medan tempur yang sering berubah angin atau ‘swing state’ yang bakal menentukan keputusan pilihan raya

Ketika kempen semakin rancak, Cik Harris dan Encik Trump menunjukkan persaingan yang amat sengit, seperti dua atlet yang berjuang di garisan penamat.

Berdasarkan penjejakan tinjauan harian, FiveThirtyEight, Cik Harris kini memperoleh kelebihan tipis 1.4 mata peratusan dalam undian nasional, walaupun angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding minggu sebelumnya.

Tumpuan kempen kedua-dua calon kini berpusat pada tujuh negeri medan persaingan sengit iaitu Pennsylvania, North Carolina, Georgia, Michigan, Arizona, Wisconsin dan Nevada.

Penganalisis sains politik, Profesor Madya Thomas Gift, dari Sekolah Dasar Awam UCL, berkata:

“Jika Donald Trump berjaya menang di Pennsylvania, peluangnya untuk memenangi Rumah Putih meningkat kepada 96 peratus; manakala jika Kamala Harris memenangi negeri itu, peluangnya pula meningkat kepada 91 peratus.”

Dengan setiap undi yang dihitung, semakin jelas bahawa sesiapa yang berjaya menguasai Pennsylvania mungkin akan menguasai seluruh negara.

Tumpuan Kempen

Kempen Cik Harris memberi tumpuan pada harapan dan penyatuan.

“Pendekatan Harris adalah optimis dan bersifat terangkum. Beliau menawarkan penyatuan, bukan perpecahan,” jelas seorang saintis data dari Universiti Northwestern, Encik Thomas Miller.

Ini adalah strategi yang, menurut sejarah, kerap membuahkan hasil positif.

Namun, di sisi lain, Encik Trump mengemukakan pandangan yang lebih ‘gelap’ mengenai masa depan Amerika, menggambarkan negara itu sebagai berada di ambang kehancuran tanpa kepimpinannya.

“Pesan Republikan adalah pesimistik dan berbaur kebencian,” tambah Encik Miller, yang percaya bahawa pendekatan itu bukan sahaja tidak berkesan, malah berpotensi membawa kepada kekalahan besar.  

Sebagai contoh, pada 1964, calon Republikan, Encik Barry Goldwater, yang membawa agenda konservatif radikal mengalami kekalahan besar, hanya memperoleh 52 undi elektoral.

Kecelaruan Antara Analisis Fundamental dengan Teknikal

Secara tradisinya, calon yang mempunyai kelebihan pada asas pilihan raya biasanya mendahului dalam undian dan juga dalam pasaran ramalan politik.

Tetapi kali ini, Encik Trump mendahului dalam undian teknikal, walaupun strateginya bercanggah dengan pendekatan tradisional.

Dalam konteks politik, asas pilihan raya merujuk kepada jenis kempen, keadaan ekonomi dan kemampuan calon menarik sokongan pengundi berdasarkan kredibiliti mereka.

Teknikal pula melibatkan undian dan pasaran ramalan politik yang memberi petunjuk kepada trend semasa. 

Dalam suasana pilihan raya ini, terdapat ketidakserasian yang jarang berlaku antara jangkaan undian (teknikal) dengan analisis asas (fundamental).

Sementara Cik Harris nampaknya berkempen berasaskan prinsip yang terbukti berjaya, Encik Trump meraih kelebihan dalam undian teknikal.

“Kami tidak pernah melihat ketidakserasian seperti ini dalam mana-mana pilihan raya presiden moden,” kata Encik Miller.

Profesor Allan Lichtman, dari Universiti American yang telah meramal tepat sembilan daripada 10 pilihan raya presiden terakhir, menganggap pendekatan fundamental sebagai kunci kemenangan Cik Harris.

Menggunakan sistem, “13 kunci ke Rumah Putih,” Profesor Lichtman memberi kelebihan kepada Encik Harris dalam aspek ekonomi yang stabil dan beberapa kejayaan dasar luar, walaupun terdapat kegagalan pada aspek konflik antarabangsa.

Menurut Profesor Lichtman, untuk memenangi pilihan raya, calon yang memegang jawatan penyandang perlu menguasai sekurang-kurangnya tujuh daripada 13 kunci, sementara pencabar memerlukan enam untuk menang.

Berdasarkan penilaian Profesor Lichtman, Encik Trump hanya mempunyai empat kunci utama, termasuk isu kurangnya karisma Cik Harris dan kegagalan dasar luar berhubung dengan konflik Israel, Lebanon dan Iran.

Namun, beliau tetap optimis bahawa Cik Harris akan menang, menegaskan bahawa undian dan pasaran ramalan tidak dapat dipercayai sepenuhnya kerana mereka sering kali gagal menggambarkan sokongan pengundi Demokrat.

“Saya percaya Harris akan menang, walaupun undian mungkin menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Persepsi Ekonomi dan Realiti Rakyat

Walaupun data ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif, realiti yang dihadapi oleh rakyat Amerika adalah berbeza.

“Rakyat tidak rasakan manfaat pertumbuhan ekonomi ini; mereka bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelas Encik Miller.

Ini menggambarkan bagaimana persepsi rakyat boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, walaupun angka makroekonomi mungkin menunjukkan keadaan yang baik.

Ketika Amerika menghampiri hari penentuan, keadaan politik semakin tidak menentu.

Pada 28 Oktober, harga dalam pasaran ramalan menunjukkan sedikit perubahan ke arah Cik Harris, mungkin disebabkan oleh kejadian kontroversi dalam perhimpunan Encik Trump di Madison Square Garden.

Ucapan dan tindakan yang melampau mungkin menjadi punca kurangnya sokongan terhadap Encik Trump dalam kalangan pengundi tertentu.

Namun, dalam kempen yang dipenuhi dengan ketegangan dan kejutan ini, satu perkara jelas: pilihan raya ini bukan sekadar pertarungan antara dua calon, bahkan satu ujian terhadap masa depan negara.

Masyarakat Amerika yang terbahagi akan menentukan arah tuju yang mereka inginkan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg