Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kamala sanggup turun padang pikat pengundi pada saat akhir di Philadelphia

Oct 28, 2024 | 2:34 PM
Naib Presiden Amerika Syarikat yang juga calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, bergambar bersama seorang budak lelaki ketika singgah di sebuah kedai buku dan cenderahati di Philadelphia Barat, Pennsylvania, pada 27 Oktober.
Naib Presiden Amerika Syarikat yang juga calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, bergambar bersama seorang budak lelaki ketika singgah di sebuah kedai buku dan cenderahati di Philadelphia Barat, Pennsylvania, pada 27 Oktober. - Foto AFP

PHILADELPHIA: Pertarungan sengit pilihan raya presiden yang bakal menjelang pada 5 November menyaksikan calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, turun padang untuk mendapatkan sokongan di wilayah yang dijangka sengit persaingannya.

Berdepan pesaing calon presiden daripada Republikan, naib presiden Amerika Syarikat itu turun ke jalan raya di Philadelphia pada 27 Oktober untuk meneruskan kempennya yang semakin rancak berjalan.

Dalam jelajah merentasi kawasan kejiranan yang pelbagai etnik, Cik Harris mesra mendakap pengundi, memeluk bayi dan merayu kepada penduduk supaya mengundinya dalam pilihan raya presiden kelak.

Dengan tinggal hampir seminggu lagi, Cik Harris tidak meninggalkan sebarang ruang dan peluang untuk menambah jumlah undinya, sekali gus memenangi pilihan raya di wilayah medan pertarungan terbesar di Pennsylvania.

Dalam kempennya itu, Cik Harris sempat berkunjung ke kedai gunting rambut Philly Cuts di kawasan kejiranan yang kebanyakannya berkulit hitam di Philadelphia Barat untuk bertemu penduduk, sebelum singgah di Kedai Buku & Cenderahati Hakim yang bertemakan Afrika-Amerika.

“Saya sangat gembira dapat bertemu anda,” kata Cik Harris kepada seorang wanita warga emas, Cik Ann Hughes, sebelum memeluknya dan berkata: “Mereka bekerja keras untuk saya.”

Pilihan raya yang semakin hampir menyaksikan kedua-dua calon semakin giat berkempen dengan menggunakan bahasa konfrontasi, dengan Encik Donald Trump khususnya dituduh melakukan serangan toksik ke atas Cik Harris.

“Beliau sanggup turun padang!” kata Cik Myrda Scott, 43 tahun, seorang wanita Afrika-Amerika yang juga pemilik sebuah firma kewangan, sambil teruja menunggu ketibaan Cik Harris di tempat perhimpunan di pusat rekreasi bola keranjang remaja.

“Terutama di sini di Philadelphia, kami suka menyentuh, merasa, mendengar, melihat orang ramai bergaul secara peribadi dengan beliau,” tambahnya.

Beliau berkata dalam pada Encik Trump cuba memikat pengundi termasuk lelaki kulit putih, konservatif Kristian dan penduduk luar bandar, beliau juga cuba memastikan lelaki kulit hitam tidak menyokong Cik Harris.

Cik Rosa Jones, 68 tahun, seorang wanita kulit hitam yang mendakwa tertekan kerana anaknya mengundi Encik Trump, menyatakan Cik Harris perlu meneruskan kempen menerusi “perhimpunan kecil seperti ini yang memberinya peluang duduk dekat dengan orang biasa”.

“Sesungguhnya jalan menuju kemenangan hanyalah melalui Philadelphia dan Pennsylvania,” ujarnya.

Cik Awilda Cubero, 66 tahun, pula mencelah: “Kamala perlu datang dan bercakap secara peribadi dengan orang ramai. Itu politik sebenarnya.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg