Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Palestin minta sokongan jadi anggota penuh PBB

May 7, 2024 | 1:47 PM
Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.
Bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat. - Foto Reuters

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mengundi pada 10 Mei mengenai draf resolusi yang akan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai layak untuk menjadi anggota penuh PBB dan “menimbang semula perkara itu dengan baik.”

Ia secara berkesan akan bertindak sebagai tinjauan global tentang berapa banyak sokongan terhadap bidaan mereka, yang telah diveto oleh Amerika Syarikat pada April lalu.

Permohonan menjadi anggota penuh PBB perlu diluluskan oleh 15 anggota Majlis Keselamatan dan kemudian Perhimpunan Agung.

Diplomat berkata Perhimpunan Agung melibatkan 193 anggota berkemungkinan menyokong bidaan Palestin. Tetapi perubahan masih boleh dibuat ke atas draf itu selepas beberapa diplomat membangkitkan kebimbangan dengan draf teks yang juga memberi hak dan keistimewaan tambahan kepada rakyat Palestin.

Beberapa diplomat berkata ini boleh menjadi contoh bagi situasi lain, memetik Kosovo dan Taiwan sebagai contoh.

Duta Israel ke PBB, Encik Gilad Erdan, pada 5 Mei mengecam draf resolusi tersebut dengan menyatakan ia akan memberi Palestin status de facto dan hak sebuah negara. Ia juga bertentangan dengan Piagam PBB.

“Jika ia diluluskan, saya jangkakan Amerika akan menghentikan sepenuhnya pembiayaan PBB dan institusinya, mengikut undang-undang Amerika,” kata Encik Erdan.

Di bawah undang-undang Amerika, Washington tidak boleh membiayai mana-mana organisasi PBB yang memberi keanggotaan penuh kepada mana-mana kumpulan yang tidak mempunyai “nilai kenegaraan yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa”.

“Amerika tetap berpandangan bahawa jalan menuju kenegaraan bagi rakyat Palestin adalah melalui rundingan terus,” kata Cik Nate Evans, jurucakap duta Amerika ke PBB.

Rakyat Palestin mahu sebuah negara di Tebing Barat, timur Baitulmakdis dan Jaluran Gaza, semua wilayah ditawan Israel pada 1967. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg