GAZA: Israel mengarahkan penutupan dan pemindahan salah sebuah hospital terakhir yang sebahagiannya masih berfungsi di kawasan terkepung di pinggir utara Jaluran Gaza, memaksa pegawai perubatan mencari jalan untuk membawa ratusan pesakit dan kakitangan ke tempat lebih selamat.
Ketua Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, Encik Husam Abu Safiya, mengirim mesej teks kepada Reuters pada 22 Disember bahawa arahan Israel itu “sangat mustahil dipatuhi” kerana tiada ambulans yang mencukupi untuk membawa pesakit keluar.
“Kami kini mempunyai hampir 400 orang awam di dalam hospital, termasuk bayi dalam unit neonatal, yang hidupnya bergantung kepada oksigen dan inkubator.
“Kami tidak boleh memindahkan pesakit ini dengan selamat tanpa bantuan, peralatan dan masa,” kata Encik Abu Safiya.
Menurutnya, beliau menghantar mesej tersebut di tengah-tengah pengeboman berat dan menyasarkan tangki bahan api, yang jika terkena akan menyebabkan letupan dan kematian besar orang awam di dalamnya.
Tentera Israel tidak menjawab permintaan untuk mengulas kenyataan Encik Abu Safiya.
Ia berkata pada 20 Disember bahawa pihaknya telah menghantar bahan api dan makanan ke hospital serta membantu memindahkan lebih 100 pesakit dan kakitangan ke hospital lain di Gaza, dengan kerjasama Palang Merah.
Hospital itu adalah salah sebuah daripada segelintir yang masih berfungsi sebahagiannya di pinggir utara Gaza yang dahulunya sesak, di bawah tekanan tentera Israel hampir tiga bulan dalam salah satu operasi paling dahsyat sejak perang meletus 14 bulan lalu.
Encik Abu Safiya mendakwa tentera Israel telah mengarahkan pesakit dan kakitangan dipindahkan ke hospital lain yang keadaannya lebih teruk.
Gambar dari dalam hospital menunjukkan pesakit di atas katil bersesak di koridor untuk menjauhkan mereka dari tingkap.
Reuters tidak dapat mengesahkan imej tersebut dengan segera.
Israel berkata operasinya di sekitar tiga komuniti di pinggir utara Gaza – Beit Lahiya, Beit Hanoun dan Jabalia – menyasarkan anggota Hamas.
Rakyat Palestin menuduh Israel berusaha menghapuskan penduduk secara kekal untuk mewujudkan zon penampan, yang dinafikan Israel. – Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg