GAZA/KAHIRAH: Sedang Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar terus berusaha melakukan rundingan untuk menghentikan perang di Gaza dan memastikan pembebasan puluhan tebusan yang masih ditahan di wilayah itu, Israel terus melancarkan serangan ke atas penduduk di wilayah itu.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan serangan udara Israel semalaman membunuh sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin, dengan tentera Israel memberi alasan mereka menyasarkan militan Hamas.
Jurucakap agensi pertahanan awam, Encik Mahmud Bassal, berkata serangan di dua sekolah di timur Bandar Gaza itu membunuh sekurang-kurangnya 13 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Ada sekurang-kurangnya 13 maut, termasuk kanak-kanak dan wanita, susulan serangan Israel terhadap sekolah Shabaan al-Rayes dan sekolah Al-Karama di kawasan kejiranan Al-Daraj, timur Bandar Gaza,” kata Encik Bassal kepada AFP.
Beliau berkata sekurang-kurangnya 30 orang lagi cedera dalam serangan menyasarkan lokasi ratusan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat perang berada di kededua sekolah itu.
“Israel terus melakukan dasar kejam dengan menyasarkan orang yang kehilangan tempat tinggal dan tempat perlindungan mereka,” tambah Encik Bassal.
Tentera Israel pula menyatakan mereka melancarkan ‘serangan tepat terhadap pengganas’ yang beroperasi di kawasan sekolah yang terletak di kejiranan Al-Daraj.
“Hamas menggunakan kawasan ini untuk kegiatan keganasan dan merancang serta melaksanakan serangan terhadap tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan negara Israel,” kata kenyataan tentera Israel.
Menurut Encik Bassal, dalam serangan di lokasi lain pula seramai 13 orang lagi terbunuh apabila sebuah pesawat perang Israel menyasarkan sekumpulan penduduk Palestin yang sedang mengisi air di kem pelarian Al-Shati di barat Bandar Gaza.
Empat lagi kematian dilaporkan dalam satu serangan ke atas sebuah rumah, juga di kawasan kejiranan Al-Daraj, timur Bandar Gaza.
Tentera Israel bagaimanapun belum memberi sebarang kenyataan mengenai serangan terhadap rumah dan di kem Al-Shati.
Pada masa sama, perunding Amerika, Mesir dan Qatar terus berusaha mencapai satu perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, menurut sumber rapat dengan rundingan itu.
Perunding cuba memeterai perjanjian untuk menghentikan perang selama 14 bulan itu termasuk pembebasan tebusan yang dirampas dari Israel pada 7 Oktober 2023, seiring tawanan Palestin yang ditahan pihak Israel.
Perunding telah berjaya merapatkan beberapa jurang yang dipertikaikan, namun perbezaan tetap ada, kata sumber itu.
Selain itu, satu laporan yang diterbitkan Doctors Without Borders (MSF) pada 19 Disember menyatakan terdapat tanda jelas penghapusan etnik dalam serangan berterusan Israel apabila rakyat Palestin dipindahkan secara paksa dan dibom.
“Tanda penghapusan etnik dan kemusnahan yang berterusan – termasuk pembunuhan besar-besaran, kecederaan kesihatan fizikal dan mental yang teruk, pemindahan paksa dan keadaan hidup yang mustahil bagi rakyat Palestin yang dikepung dan dibom – tidak dapat dinafikan,” kata ketua kumpulan bantuan itu, Encik Christopher Lockyear, dalam laporan tersebut.
“Rakyat Palestin telah dibunuh di rumah mereka dan di katil hospital... Orang ramai tidak dapat mencari walaupun keperluan asas seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan sabun di tengah-tengah kepungan dan sekatan yang menghukum,” kata MSF. – Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg