TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel Katz dilaporkan memberitahu Anggota Parlimen Knesset pada 16 Disember bahawa Israel “lebih dekat berbanding sebelum ini” untuk mencapai perjanjian dengan Hamas bagi membebaskan tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Kenyataannya itu menguatkan laporan media Arab tentang keyakinan mendalam terhadap peluang mencapai perjanjian dalam minggu-minggu mendatang.
Komen Encik Katz kepada Jawatankuasa Ehwal Luar dan Pertahanan Knesset dibuat secara tertutup tetapi kebocoran kenyataannya dilaporkan secara meluas dalam akhbar Ibrani.
“Israel lebih dekat berbanding sebelum ini dengan satu lagi perjanjian tebusan,” ujar Encik Katz dipetik sebagai berkata demikian.
Beliau menambah bahawa adalah lebih baik kurang bercakap, mengulangi komen yang dibuat oleh Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, pada 15 Disember selepas beliau berbincang dengan bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam usaha berterusan untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas di Gaza.
“Kami bekerja sepanjang masa, tanpa rehat, untuk membawa pulang tebusan kami,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan selepas panggilan itu, memberikan banyak butiran.
“Semakin kurang kita bercakap mengenainya, lebih baik – dengan cara itu, dengan bantuan Tuhan, kita akan berjaya,” tambah Encik Netanyahu.
Encik Katz turut meramalkan bahawa perjanjian itu akan disokong oleh kebanyakan pakatan dan tidak sepatutnya menghadapi halangan dalaman.
Beliau seolah-olah menunjukkan bahawa perjanjian itu tidak termasuk penghentian permusuhan secara terbuka, satu langkah yang diharapkan oleh Hamas.
“Terdapat fleksibiliti di sisi lain. Mereka faham kita tidak akan menamatkan perang,” kata Encik Katz, dalam petunjuk terkini bahawa pihak berkenaan mungkin bergerak lebih dekat ke arah perjanjian untuk membebaskan tebusan dan menghentikan pertempuran dengan Hamas yang meletus pada 7 Oktober 2023, walaupun buat sementara waktu.
Menurutnya, kehadiran berterusan Angkatan Tentera Israel (IDF) di Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir dan di Koridor Neztarim yang membelah bahagian utara dan selatan Gaza, “tidak akan menjadi halangan kepada perjanjian; terdapat kelonggaran daripada Hamas dalam isu ini”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg