JALURAN GAZA: Operasi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Jaluran Gaza diteruskan sehari selepas pegawai kanannya berkata usaha kemanusiaan terhenti kerana arahan pemindahan baru oleh Israel menyebabkan ia terpaksa menutup pusat operasi utamanya.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, pada 27 Ogos kelihatan cuba meredakan kenyataan pegawai PBB itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Apabila ditanya sama ada keadaan di Gaza telah menyebabkan penyampaian bantuan PBB terhenti, Encik Dujarric berkata: “Keadaan di Gaza semalam (26 Ogos)sangat, sangat menyukarkan kami melakukan kerja kami.”
“Kami melakukan apa yang kami mampu dengan apa yang kami ada,” katanya.
“Kami telah berkata dari awal – ini adalah penyaluran bantuan dengan merebut setiap peluang, merebut setiap celah yang boleh kami isi. Jadi setiap situasi dinilai dari hari ke hari, jam ke jam.”
PBB terpaksa mengosongkan hab bantuan kemanusiaannya di Jaluran Gaza buat kali kedua sejak permulaan perang atas arahan tentera Israel.
Hab itu, dengan gudang dan penginapan untuk kakitangan, telah dipindahkan sebelum ini disebabkan pencerobohan darat Israel ke atas Rafah di selatan Gaza pada awal Mei.
Hab baru itu, dengan penginapan, pejabat dan bilik simpanan untuk bantuan kemanusiaan, telah ditubuhkan di Deir el-Balah, tengah Gaza, tetapi perintah pemindahan pada 25 Ogos itu juga termasuk ibu pejabat baru.
Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata di Geneva bahawa sejak 23 Ogos, perintah pemindahan telah dikeluarkan untuk 19 kawasan kejiranan di utara Gaza dan Deir el-Balah, dengan 15 premis yang menempatkan kakitangan PBB dan badan amal serta keluarga mereka.
Turut terjejas ialah empat gudang PBB bagi bekalan bantuan, sebuah takungan air, loji penyahgaraman, tiga telaga, dua kemudahan kesihatan yang lebih kecil dan sebuah hospital.
Terdapat 29 pusat perlindungan kecemasan untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kawasan tersebut.
Ketua Keselamatan PBB, Encik Gilles Michaud, berkata tentera Israel hanya memberi notis pemberitahuan beberapa jam bagi lebih 200 kakitangan badan dunia itu berpindah dari pejabat dan ruang kediaman di Deir el-Balah.
Beliau berkata “masanya mungkin tidak sesuai sangat” kerana kempen vaksinasi polio akan dimulakan tidak lama lagi, yang memerlukan sejumlah besar kakitangan PBB memasuki Gaza.
“PBB bertekad tinggal di Gaza. Penyaluran bantuan kemanusiaan akan diteruskan di sebalik berdepan dengan risiko,” kata Encik Michaud dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa berkata pada 27 Ogos bahawa arahan pemindahan terkini Israel memaksa badan kebajikan dan kumpulan kemanusiaan lain “menghentikan operasi bantuan, sedang keadaan semasa mencemaskan orang awam”.
“Seharusnya kakitangan bantuan kemanusiaan dibolehkan meneruskan kerja mereka tanpa ancaman daripada pemindahan atau operasi ketenteraan.
“Kami menggesa semua pihak supaya melindungi orang awam dan memudahkan akses kemanusiaan pada setiap masa,” kata badan itu menerusi platform X. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg