Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel pertahan serang sekolah UNRWA, dakwa sasar 30 militan Hamas

PBB kutuk serangan; EU gesa siasatan segera dan senjata AS dilapor diguna dalam serangan Israel
Jun 7, 2024 | 3:17 PM
Penduduk Gaza menyaksikan sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang musnah berikutan serangan udara Israel di kem pelarian Al Nusairat di tengah Jaluran Gaza pada 6 Jun.
Penduduk Gaza menyaksikan sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang musnah berikutan serangan udara Israel di kem pelarian Al Nusairat di tengah Jaluran Gaza pada 6 Jun. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Berdepan dengan kritikan antarabangsa terhadap serangan terbarunya ke atas sekolah kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menjadi pusat perlindungan di Nuseirat, Israel, menegaskan tenteranya telah menyasarkan sekumpulan 30 anggota Hamas yang menggunakan tiga bilik darjah di situ sebagai pangkalan mereka.

Jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata Israel telah melakukan “serangan berasaskan perisikan yang tepat” terhadap “berpuluh-puluh militan Hamas dan Jihad Islam yang bersembunyi di dalam sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Menurutnya, beberapa militan tersebut telah mengambil bahagian dalam serangan terhadap Israel pada 7 Oktober.

Laksamana Hagari berkata operasi itu berlaku selepas “tiga hari pengawasan” dan disasarkan untuk memusnahkan tiga bilik darjah di sekolah tersebut yang tentera Israel percaya digunakan oleh sekitar 30 anggota Hamas untuk tinggal dan merancang operasi.

Israel telah dua kali menangguhkan serangan ke atas kompleks sekolah tersebut selepas mendapati orang awam berada di kompleks itu, tambahnya.

“Mereka merancang lebih banyak serangan terhadap warga Israel, beberapa daripadanya akan berlaku,” kata Laksamana Hagari sambil menegaskan “Kami telah menghentikan bom jangka yang berdetik”.

Pegawai kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam serangan pada 6 Jun.

Untuk menyokong dakwaannya bahawa serangan itu adalah sasaran tentera, tentera Israel mengeluarkan nama sembilan orang yang terbunuh dalam serangan itu yang dikatakan ada kaitan dengan Hamas dan Jihad Islam.

Adalah menjadi satu jenayah di bawah undang-undang antarabangsa untuk menyasarkan orang awam dengan sengaja.

Pejabat hak asasi manusia PBB berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan Israel di Nuseirat “mencadangkan kegagalan” oleh pihak tentera untuk “memastikan pematuhan ketat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Pejabat itu menambah bahawa walaupun orang Palestin bersenjata menggunakan sekolah itu sebagai pangkalan operasi, seperti yang didakwa Israel, ia tidak akan “membenarkan pelanggaran prinsip ini”.

Laksamana Hagari berkata tentera Israel telah mematuhi undang-undang antarabangsa dalam melaksanakan serangan itu dan menuduh beberapa media terpedaya dengan propaganda Hamas.

Mengulangi hujah yang digunakan Israel sepanjang perang, Laksamana Hagari menuduh Hamas memasukkan anggotanya dalam kalangan orang awam dan menggunakan mereka sebagai perisai.

Menurutnya, strategi militan bersembunyi di dalam kemudahan PBB itu sendiri adalah jenayah perang.

Senjata buatan Amerika Syarikat didakwa digunakan Israel dalam serangan ke atas sekolah itu.

Menurut analisis Al Jazeera, ia berdasarkan serpihan senjata yang ditemui di bawah runtuhan sekolah.

Antara yang ditemui, unit ukuran daripada peluru berpandu, yang digunakan untuk membantu penyasaran ketepatan dihasilkan oleh Honeywell, sebuah konglomerat Amerika yang pakar dalam reka bentuk dan penghantaran peranti penderia dan panduan yang digunakan dalam pelbagai senjata tentera.

Encik John F. Kirby, penyelaras Majlis Keselamatan Negara Amerika, dalam temu bual di CNN pada 6 Jun, berkata bahawa Israel “benar-benar” mempunyai hak untuk menyasarkan Hamas selepas mengetahui bahawa anggotanya berlindung di kemudahan awam”.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, pada 6 Jun mengutuk serangan udara Israel tersebut.

Bercakap pada sidang akhbar, jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata bahawa serangan tersebut “satu lagi peringatan tragis, mengerikan” tentang harga yang perlu dibayar oleh orang awam di Gaza.

Ketika ditanya sama ada Encik Guterres mengutuk serangan itu, Encik Dujarric berkata: “Sudah tentu, beliau mengutuknya.”

Tiada perkhidmatan pendidikan disediakan di Gaza.

Encik Dujarric berkata bahawa sekitar 300,000 kanak-kanak yang menerima pendidikan daripada UNRWA, tidak lagi dapat mengakses pendidikan disebabkan sekolah tersebut telah ditukar menjadi tempat perlindungan.

“Tiada tempat selamat,” kata Encik Dujarric, merujuk kepada Jaluran Gaza, yang telah mengalami serangan balas bertubi-tubi oleh tentera Israel ekoran serangan Hamas pada 7 Oktober yang mengakibatkan lebih 1,400 orang terbunuh dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan berterusan Israel itu telah membunuh lebih 36,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mengenai dakwaan Israel bahawa anggota Hamas berlindung di sekolah itu, Encik Dujarric berkata:

“Anda boleh mendengar apa yang orang lain katakan dan anda boleh melaporkannya.

“Anda boleh melaporkan apa yang saya katakan dan anda membuat analisis anda sendiri. Apa yang saya boleh beritahu anda adalah, sebilangan besar orang awam terbunuh, sebilangan kanak-kanak terbunuh juga.”

PBB telah berulang kali menggesa gencatan senjata, akses kemanusiaan dan pembebasan tebusan, tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Josep Borrell, pada 6 Jun, menggesa penyiasatan bebas segera dijalankan terhadap serangan terbaru Israel itu, lapor agensi berita Anadolu.

“Laporan yang datang dari Gaza berulang kali menunjukkan bahawa keganasan dan penderitaan masih merupakan satu-satunya realiti bagi ratusan ribu orang awam yang tidak bersalah,” katanya.

“Berita mengerikan ini mesti disiasat secara bebas, selaras dengan (perintah) Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang lalu,” gesa Encik Borrel.

Menggariskan gencatan senjata yang berkekalan adalah “satu-satunya cara” untuk melindungi orang awam dan mendapatkan pembebasan segera semua tebusan.

Beliau berkata kedua-dua pihak mesti bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tiga fasa yang diumumkan minggu lalu oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg