GENEVA: Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada 26 Jun bahawa beliau bimbang dengan kemungkinan merebaknya perang Gaza di seluruh rantau termasuk ke Tebing Barat, walaupun agensi bantuan telah bersedia secukupnya untuk menghadapinya.
Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat yang diiktiraf antarabangsa bagi menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di bawah pendudukan Israel, mengalami pergolakan paling teruk selama beberapa dekad selari dengan perang di Gaza, yang dikawal Hamas.
Pejabat hak asasi manusia PBB berkata bahawa 528 rakyat Palestin, termasuk 133 kanak-kanak, telah dibunuh pasukan keselamatan atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak perang Gaza bermula, dan menampilkan “kebimbangan serius mengenai pembunuhan yang menyalahi undang-undang” dalam beberapa kes.
“Kami bimbang tentang potensi tragedi dan kematian selanjutnya dan peristiwa di Tebing Barat, serta tentu saja ancaman dan kemungkinan (konflik) di Lebanon,” kata Encik Martin Griffiths, yang mengetuai Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), kepada pemberita di Geneva.
“Masalahnya ialah menghentikan perang ini daripada menjadi lebih teruk dan tindakan menghalang rakyat Palestin daripada hak mereka untuk menentukan masa depan mereka. Itulah kebimbangan yang saya fikir kita semua harus beri perhatian,” tambahnya.
Israel, yang melancarkan operasi ketenteraan di Gaza selepas serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, berkata ia telah memperluas usaha untuk memudahkan aliran bantuan ke Gaza dan menyalahkan agensi bantuan atas masalah pengagihan di dalam kawasan itu.
“Kami mahu semua titik persimpangan itu dibuka, kami mahu protokol keselamatan, kami mahu konflik diredakan dan kami mahu pekerja bantuan dan institusi kesihatan tidak menjadi mangsa perang,” katanya, sambil menyeru gencatan senjata segera dilaksanakan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg