Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aroma kopi semakin harum di Pu’er

May 26, 2025 | 10:51 AM
Pu’er, coffee
Yunnan, yang terletak berhampiran dengan tiga sempadan negara Asia Tenggara, menyumbang hampir semua pengeluaran kopi di China, dengan sebahagian besar tertumpu di Pu’er. - Foto AFP

Di sebuah kafe di lereng gunung di Pu’er di barat daya China, Encik Liao Shihao menyeduh segenggam biji kopi yang ditanam di perkebunan di situ.

Selama berabad-abad, Pu’er di wilayah Yunnan terkenal dengan sejenis teh yang diperam, dikenali sebagai ‘pu-erh’ yang tersohor di seluruh Asia Timur.

Bagaimana hari ini, generasi muda di China sudah mulai menyukai espreso yang pekat, ‘latte’ berbuih dan ‘flat white’, menyaksikan penanam teh semakin beralih daripada warisan pertanian tradisional itu.

Encik Liao, 25 tahun, ketika ditemui AFP berkata orang ramai masih datang ke Pu’er tetapi kini kunjungan itu untuk menikmati kopi.

“Pada masa lalu, mereka kebanyakannya memilih kopi komersial dan tidak mencuba jenis-jenis kopi yang dihasilkan secara tradisional,” tambahnya.

Encik Liao adalah generasi ketiga daripada keluarga yang mengusahakan ladang kopi Xiaowazi, atau Little Hollow.

Terletak di sebuah lembah yang teduh, pokok-pokok kopi yang tinggi meliputi lereng bukit curam, dengan buahnya mirip ceri dikeringkan di atas palet kayu.

Ketika AFP mengunjungi ladang itu awal Mei, sekumpulan pelancong sedang menikmati kopi di kafe butik yang menghadap ke lereng hijau yang subur.

Seorang pengunjung, Encik Cai Shuwen, 21 tahun, menyifatkan kopi yang dinikmati sangat menepati selera.

“Ia sangat bagus. Walaupun ada biji yang lebih kelat daripada yang saya bayangkan, yang lain melebihi jangkaan saya,” katanya

Setiap tahun, ladang-ladang di Pu’er menjual puluhan ribu tan kopi ke bandar-bandar besar di China, menurut data kerajaan.

Di bandar-bandar besar seperti Beijing dan Shanghai, budaya kafe yang berkembang pesat muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh golongan berusia antara 20 dengan 40 tahun.

Bagi Encik Liao, seorang barista terlatih, kopi dari kampung halamannya itu memiliki “nikmat krim dengan rasa yang licin dan pekat”.

Ladang komersial moden hanya muncul di Pu’er pada 1980-an dan kawasan ini masih lebih dikenali dengan perdagangan teh yang sudah mencecah berabad lamanya.

Datuk Liao, Encik Liao Xiugui, 83 tahun, berkata ketika beliau sampai ke Pu’er beberapa dekad lalu, tiada siapa yang tahu apa-apa mengenai kopi.

Ketika itu katanya, beliau adalah salah seorang daripada kumpulan sangat sedikit di negara berkenaan mempelajari penanaman kopi.

Ketinggian dan iklim yang sederhana di kawasan berkenaan sangat sesuai untuk tanaman kopi yang ketika itu tidak dikenali.

“Kualiti kopi yang kami tanam di sini ‘kuat’ tetapi tidak terlalu pahit. Ia berbau bunga tetapi tidak terlalu kuat dan sedikit rasa buah,” tambahnya.

Bebas daripada racun perosak tiruan dan ditanam dengan diselangi spesies lain untuk kepelbagaian biologi, Little Hollow menghasilkan kira-kira 500 tan buah kopi mentah setiap tahun.

Encik Liao Xiugui sendiri mengakui beliau minum dua hingga tiga cawan kopi setiap hari dan menganggap minuman berkafein itu yang membuatnya kekal bertenaga di usia tua.

“Minum kopi boleh menjadikan anda lebih muda dan sihat... dan mencegah penuaan.

“Selain itu, semua orang penat bekerja hari ini... dan mereka ingin memberi rangsangan kepada otak,” katanya.

Pengeluaran kopi di China semakin meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding negara pengeluar tradisional seperti Brazil, Vietnam dan Colombia.

Yunnan, yang terletak berhampiran dengan tiga sempadan negara Asia Tenggara, menyumbang hampir semua pengeluaran kopi di China, dengan sebahagian besar tertumpu di Pu’er.

Semasa lawatannya ke Yunnan pada April, Presiden Xi Jinping berkata kopi dari wilayah itu “mewakili China”, menurut media negara.

Dalam usaha untuk mengembangkan lagi sektor itu, pihak berkuasa negara berkenaan melancarkan dasar untuk meningkatkan pengeluaran, menarik pelaburan dan meningkatkan eksport, menurut kenyataan kerajaan.

Mereka juga menggabungkan pengeluaran kopi dengan pelancongan, selaras dengan usaha kerajaan pusat untuk meningkatkan penggunaan domestik.

Bagi petani konvensional, Cik Yu Dun, 51 tahun, berkata beliau sudah mempelbagaikan aliran pendapatan baru dengan lawatan ladang, penginapan inap desa dan restoran yang menggabungkan kopi dengan masakan etnik Dai.

Katanya, prospek masa depan kelihatan cerah malah setakat ini beliau sudah memperoleh 10 kali ganda pendapatan daripada biji kopinya sejak belajar untuk memproses dan memanggangnya sendiri.

“Dulu kami berkata hanya orang kaya yang boleh minum kopi, tetapi semua itu sudah berubah sekarang,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg