Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arsenal belasah Atletico Madrid 4-0 dalam Liga Juara-Juara

Oct 22, 2025 | 2:36 PM
Arsenal, Atletico Madrid, Liga Juara-Juara
Pemain Arsenal, Viktor Gyokeres, berlari kegembiraan selepas menyumbatkan gol keempat semasa kemenangan besar 4-0 ke atas Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Emirates pada 21 Oktober. - Foto REUTERS

LONDON: Arsenal membelasah Atletico Madrid 4-0 hasil jaringan separuh masa kedua di Stadium Emirates pada 21 Oktober untuk memastikan kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.

Perlawanan yang menarik itu menyaksikan The Gunners menjaringkan gol menerusi Gabriel Magalhaes, Gabriel Martinelli dan dua gol daripada Viktor Gyokeres, sekali gus mengecewakan pasukan pelawat pimpinan Diego Simeone.

Sejurus selepas tendangan Julian Alvarez terkena palang untuk pasukan pelawat, tonggak pertahanan Arsenal, Gabriel, memecahkan kebuntuan dengan menanduk masuk bola daripada hantaran sepakan percuma Declan Rice pada minit ke-57.

Martinelli menyudahkan gerakan kilat tujuh minit kemudian dan Gyokeres menjaringkan gol pertamanya pada malam itu – menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa gol untuk kelab dan negara.

Gyokeres meledakkan gol keduanya apabila Atletico sekali lagi tidak dapat menangani tendangannya.

Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah Arsenal kepada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan musim ini dan meletakkan mereka sembilan mata dalam kumpulannya dalam Liga Juara-Juara – selepas tiga kemenangan tanpa dibolosi – dalam perjalanan untuk layak ke peringkat kalah mati.

Atletico, dengan tiga mata, perlu bertungkus lumus selepas enam perlawanan tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan.

“Ia perlawanan yang sukar. Selepas gol pertama kami, mereka mula membuka sedikit (ruang) dan memudahkan kami mencari ruang (mengatur serangan). Namun, saya sangat gembira dengan keputusan ini,” ujar bos Arsenal, Mikel Arteta.

“Pada tahap ini dalam Liga Juara-Juara, anda benar-benar perlu lebih banyak menyerang dan kami dapat melakukannya dalam setiap fasa permainan.”

Simeone, yang turut merasai kekalahan di Liverpool bulan lalu, berkata pasukannya telah dihukum akibat kesilapan individu.

“Ia bukan disebabkan nasib malang, sebaliknya ia disebabkan kesilapan. Mereka memanfaatkan sebaik mungkin kesilapan kami dan semua peluang besar mereka bertukar menjadi gol,” kata bekas pemain Argentina itu kepada pemberita.

Beraksi dengan penuh keyakinan selepas mendaki ke puncak Liga Perdana England, Arsenal bermula dengan garang dan hampir mendahului apabila rembatan Eberechi Eze melencong dari David Hancko dan terkena palang dengan tendangan susulan Rice pula tersasar sedikit.

Myles Lewis-Skelly kemudian terlepas peluang dengan rembatannya tersasar, manakala bintang England, Bukayo Saka, terlepas peluang untuk mengatasi penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Pasukan pelawat terus mengharungi badai tetapi hampir dihadiahkan gol apabila penjaga gol Arsenal, David Raya, gagal mengawal bola, namun Alvarez gagal memanfaatkan peluang itu.

Dengan Atletico kucar kacir, Arsenal meledakkan kekuatan dalam babak kedua permainan untuk membolosi gawang lawan empat kali, bagi meneruskan permulaan hebat Arsenal pada awal musim ini. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg