LONDON: Kekuatan bangku simpanan Arsenal yang lebih mantap dan memastikan gawang tidak dibolosi meletakkan kelab tersebut pada kedudukan baik untuk satu lagi kempen cemerlang dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Demikian kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta, pada 1 Oktober selepas menundukkan pasukan dari Greece, Olympiacos, 2-0.
Penyerang sayap Arsenal, Gabriel Martinelli, membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas memanfaatkan pantulan bola.
Namun, beberapa peluang lain disia-siakan sebelum pemain gantian Bukayo Saka memastikan kemenangan pada masa kecederaan.
“Kami mempunyai dua hingga tiga peluang besar lagi dan jika anda tidak menyudahkannya dalam pertandingan ini, anda harus lebih berhati-hati,” kongsi Arteta kepada wartawan.
Olympiacos memiliki rekod membanggakan menentang Arsenal, setelah menang dalam tiga kunjungan terakhir mereka ke Stadium Emirates.
Pasukan Greece itu bangkit daripada ketinggalan awal untuk sekali-sekala menyulitkan malam buat pasukan tuan rumah.
Arteta berkata pasukannya sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol jika bukan kerana beberapa aksi cemerlang penjaga gol Olympiacos, Kostas Tzolakis.
Di samping itu, Arteta turut menekankan rekod 11 kali tidak bolos dalam 14 perlawanan Liga Juara-Juara Eropah terakhir mereka.
Selepas membelanjakan lebih 250 juta paun untuk pemain dalam jendela perpindahan lalu, pengurus Arsenal itu kini memiliki skuad yang lebih mantap berbanding pada bila-bila masa sejak beliau mengambil alih pada 2019.
Pada 1 Oktober, Arteta memasukkan lima pemain gantian dan membuat enam pertukaran daripada perlawanan menentang Newcastle hujung minggu lalu dalam Liga Perdana England (EPL), di mana Arsenal meraih kemenangan lewat 2-1 di St James’ Park.
“Kami juga merasakan dari segi fizikal kami mula menurun kerana kami bermain perlawanan yang sangat sengit di Newcastle beberapa hari lalu.
“Pemain gantian yang dimasukkan sekali lagi menaikkan tahap prestasi, mereka membantu kami untuk memenangi perlawanan,” tambah Arteta. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg