LONDON: Arsenal telah mengadakan perbincangan dalaman untuk menambah kapasiti tempat duduk di kubu mereka, Stadium Emirates.
Perbincangan tersebut masih di peringkat awal dan belum ada rancangan muktamad tentang cara meneruskannya.
Namun, ada kemungkinan perlawanan di tempat sendiri dimainkan di Stadium Wembley jika kerja-kerja pengubahsuaian bermula.
Kelab yang mendapat julukan ‘The Gunners’ itu pernah beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Wembley lama pada musim 1998/1999 dan 1999/2000.
Seteru setempat mereka, Tottenham Hotspur, pernah bermain dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Wembley yang ada kini pada musim 2016/2017, diikuti semua perlawanan sebagai ‘tuan rumah’ di tempat sama pada musim 2017/2018.
Sementara menunggu stadium baru mereka siap dibina ketika itu, sebahagian besar perlawanan mereka pada musim 2018/2019 turut dimainkan di Stadium Wembley.
Tahun depan (2026) bakal menandakan ulang tahun ke-20 The Gunners di Stadium Emirates, sejak berpindah dari kubu lama mereka, Highbury, pada musim panas 2006.
Difahamkan bahawa perbincangan mengenai pengubahsuaian itu melibatkan kemungkinan mengubah susunan tempat duduk di stadium tersebut bagi menambah ribuan lagi tempat duduk, sedang mereka berusaha menyaingi stadium-stadium terbesar di England.
Arsenal mempunyai stadium kelima terbesar dalam kalangan kelab bola sepak England dengan kapasiti 60,704 tempat duduk.
Stadium Old Trafford milik Manchester United adalah yang terbesar dengan kapasiti 74,879 tempat duduk, diikuti stadium Tottenham Hotspur (62,850), West Ham (62,500) dan Liverpool (61,276).
Arsenal telah memenangi lima daripada tujuh perlawanan Liga Perdana England (EPL) 2025/26.
Mereka mencatat keputusan seri 1-1 menentang Manchester City pada 21 September, dan dibolosi 1-0 oleh Liverpool di Anfield pada 31 Ogos.
Di Emirates, Arsenal berjaya mencatat tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Perlawanan mereka di Emirates baru-baru ini adalah menentang West Ham pada 4 Oktober, dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Declan Rice dan Bukayo Saka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg