WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada 28 Mei mengumumkan langkah “secara agresif” untuk membatalkan visa pelajar China, salah satu sumber pendapatan terbesar untuk universiti Amerika Syarikat.
Pengumuman oleh Setiausaha Negara Encik Marco Rubio menandakan sikap tegas Amerika selepas China mengkritik keputusan sehari sebelumnya untuk menangguhkan proses permohonan visa pelajar dari seantero dunia buat sementara waktu.
Pentadbiran Encik Trump tidak lagi memberi kebenaran kepada pelajar antarabangsa yang ingin menuntut di Universiti Harvard kerana menolak tekanan daripada Encik Trump berkaitan protes pelajar.
Amerika akan “memansuhkan visa secara agresif untuk pelajar China, termasuk mereka yang mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China atau belajar dalam bidang kritikal”, kata Encik Rubio dalam satu kenyataan.
“Kami juga akan menyemak semula kriteria visa untuk meningkatkan penelitian terhadap semua permohonan visa pada masa depan dari Republik Rakyat China dan Hong Kong,” ujarnya.
Pelajar daripada China menyumbang besar kepada universiti Amerika, yang bergantung kepada pelajar antarabangsa yang membayar tuisyen penuh.
China menghantar 277,398 pelajar pada tahun akademik 2023 dan 2024, walaupun India buat kali pertama dalam beberapa tahun mengatasinya, menurut laporan Institut Pendidikan Antarabangsa yang disokong Jabatan Negara.
Encik Trump dalam penggal sebelumnya juga menyasarkan pelajar China tetapi menumpukan perhatian kepada mereka yang berada dalam bidang sensitif atau yang mempunyai hubungan jelas dengan tentera.
Mengulas mengenai langkah terbaru Pentadbiran Encik Trump itu, jurucakap Kementerian Luar China, Encik Mao Ning, berkata Beijing menggesa Washington supaya “menjaga hak dan kepentingan sah pelajar antarabangsa, termasuk dari China”.
Encik Rubio telah pun membatalkan beribu-ribu visa, kebanyakannya pelajar antarabangsa yang terlibat dalam kegiatan mengkritik Israel.
Kabel yang ditandatangani oleh Encik Rubio 27 Mei, mengarahkan kedutaan dan konsulat Amerika supaya tidak membenarkan “mana-mana visa pelajar tambahan atau pertukaran visa sehingga panduan lanjut dikeluarkan” selepas meningkatkan pemeriksaan akaun media sosial pemohon.
Langkah itu juga mengancam memberi tekanan kepada pelajar dari negara yang mesra dengan Amerika.
Encik Trump berang terhadap Universiti Harvard kerana menolak desakan pentadbirannya untuk mengenakan pengawasan terhadap kemasukan dan pengambilan pekerja, di tengah-tengah dakwaannya bahawa pusat pengajian itu menjadi sarang anti-Semitisme dan ideologi liberal yang “dilindungi”.
Seorang hakim telah menghentikan sementara perintah untuk menghalang pelajar asing sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada 29 Mei. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg