WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada 27 Mei mengarahkan penggantungan pemprosesan visa pelajar ketika pentadbiran Presiden Donald Trump meningkatkan pemeriksaan media sosial mereka.
Ini langkah terbaru yang menyasarkan pelajar antarabangsa, sumber pendapatan utama universiti Amerika selepas Encik Rubio membatalkan ratusan visa dan pentadbiran Encik Trump bertindak menghalang Universiti Harvard daripada menerima mana-mana warga bukan Amerika.
Kabel yang ditandatangani oleh Encik Rubio dan dilihat oleh AFP mengarahkan kedutaan dan konsulat supaya tidak membenarkan “mana-mana pelajar tambahan atau visa pertukaran...pelantikan jawatan sehingga panduan lanjut dikeluarkan”.
Ia berkata Jabatan Negara “bercadang mengeluarkan panduan mengenai pemeriksaan media sosial yang diperluas untuk semua permohonan sedemikian”.
Kabel itu mencadangkan bahawa penggantungan itu boleh menjadi ringkas, memberitahu kedutaan untuk menerima panduan baru dalam “hari-hari mendatang”, meskipun kedutaan Amerika kini dibelanggu masalah tunggakan besar dalam memproses permohonan.
Jurucakap Jabatan Negara, Cik Tammy Bruce, tidak mengulas secara langsung tetapi berkata bahawa “kami mengambil serius proses menapis siapa yang datang ke negara ini”.
“Ia adalah satu matlamat, seperti yang dinyatakan oleh Presiden dan Encik Rubio, untuk memastikan mereka yang berada di sini mematuhi undang-undang, tidak mempunyai sebarang niat jenayah dan menjadi penyumbang kepada pengalaman di sini,” tambahnya.
Ditanya sama ada pelajar yang ingin belajar di universiti Amerika boleh mengharapkan visa mereka disediakan sebelum tempoh bermula pada musim luruh, Cik Bruce hanya berkata: “Jika anda memohon visa, ikut proses biasa, langkah biasa dan harapkan ia diteliti.”
Encik Rubio telah menggunakan undang-undang tidak jelas dan membenarkannya mengusir warga asing yang terlibat dalam aktiviti yang dianggap bertentangan dengan kepentingan dasar luar Amerika.
Sasaran paling ketara ialah pelajar yang terlibat dalam isu Gaza.
Pegawai pentadbiran Encik Trump sebelum ini telah menuduh pelajar terlibat dalam kegiatan anti-Semitisme, tuduhan yang dinafikan dengan keras oleh beberapa orang yang disasarkan.
Pada 22 Mei, pentadbiran Encik Trump telah membatalkan hak Harvard untuk mendaftarkan warga asing – lebih seperempat daripada bilangan pelajarnya – dalam peningkatan perjuangannya menentang universiti berprestij itu.
Ini memaksa pelajar asing universiti tersebut berpindah ke pusat pengajian lain atau kehilangan status sah mereka.
Minggu lalu, Encik Rubio memberitahu sidang Senat bahawa beliau telah membatalkan “beribu-ribu” visa sejak Encik Trump memegang jawatan pada 20 Januari. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg