BEIJING: China bertindak balas dengan pantas terhadap tarif baru Amerika Syarikat dengan mengenakan duti import ke atas barangan Amerika pada 4 Februari, sekali gus memperbaharui ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu
Langkah itu diambil selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas semua barangan China yang memasuki pasaran Amerika mulai 12.01 tengah malam 4 Februari.
Sebagai tindak balas, Kementerian Kewangan China mengumumkan tarif 15 peratus akan dikenakan terhadap arang batu dan gas asli cair (LNG) dari Amerika, manakala 10 peratus dikenakan ke atas minyak mentah, peralatan pertanian dan beberapa jenis kenderaan. Tarif baru itu berkuat kuasa pada 10 Februari.
Selain tarif balas, Kementerian Perdagangan China dan Pentadbiran Kastam mengumumkan kawalan eksport terhadap beberapa bahan mentah penting, termasuk tungsten, telurium, rutenium, dan molibdenum. Beijing menyatakan langkah itu bertujuan “melindungi kepentingan keselamatan negara”.
Sementara itu, Encik Trump pada 4 Februari menggantung ancaman tarif 25 peratus terhadap Mexico dan Canada dengan menangguhkan pelaksanaannya selama 30 hari, setelah dua negara itu bersetuju memperketat penguatkuasaan sempadan bagi membanteras penghijrahan haram dan penyeludupan dadah.
Namun, tiada pengecualian diberikan kepada China.
Jurucakap Rumah Putih mengesahkan Encik Trump tidak akan berbincang dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, hingga akhir minggu ini.
Encik Trump memulakan perang dagang sengit terhadap China pada 2018, menyebabkan dua negara itu mengenakan tarif berjumlah ratusan bilion dolar ke atas barangan satu sama lain.
Untuk mengakhiri konflik itu, Beijing bersetuju pada 2020 untuk meningkatkan pembelian barangan Amerika sebanyak AS$200 bilion ($272 bilion) setahun, tetapi perjanjian tersebut tergendala akibat pandemik Covid-19.
Data kastam China yang dikeluarkan pada Januari menunjukkan defisit perdagangan tahunannya dengan Amerika telah meningkat kepada AS$361 bilion, mencetuskan reaksi agresif daripada pentadbiran Encik Trump.
Penganalisis Oxford Economics memberi amaran “perang dagang ini masih pada peringkat awal dan kemungkinan tarif tambahan dikenakan adalah tinggi”, sambil menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi China.
Encik Trump turut memberi amaran beliau mungkin menaikkan tarif lebih tinggi terhadap China jika Beijing tidak menghentikan penghantaran fentanyl ke Amerika.
“Harapnya China akan berhenti menghantar fentanyl (sejenis bahan pelega kesakitan sintetik) kepada kami, dan jika tidak, tarif akan dinaikkan dengan lebih drastik,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan pada 4 Februari.
Beijing menolak tuduhan tersebut dan menegaskan fentanyl adalah masalah dalaman Amerika. China juga menyatakan hasrat mencabar tarif baru itu di Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) serta melaksana langkah balas lain, namun tidak menutup pintu rundingan dengan Washington.
Pada masa sama, Encik Trump pada 3 Februari menandatangani perintah eksekutif untuk menubuhkan dana kekayaan negara dalam setahun, dan menegaskan dana itu berpotensi membeli aplikasi video pendek TikTok.
Beliau, bagaimanapun, tidak memberi butiran lanjut atau menjelaskan bagaimana dana itu akan berfungsi.
Encik Trump mencadangkan dana kekayaan itu boleh membeli TikTok, yang masa depannya menjadi tanda tanya selepas undang-undang yang mengarahkan pemiliknya dari China, ByteDance, supaya menjual aplikasi itu atas alasan keselamatan negara atau berdepan larangan, berkuat kuasa pada 19 Januari.
Selepas memegang jawatan Presiden pada 20 Januari, Encik Trump menandatangani perintah eksekutif bagi menangguhkan penguatkuasaan undang-undang tersebut selama 75 hari.
Encik Trump berkata beliau sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai pembelian TikTok dan dijangka membuat keputusan mengenai masa depan aplikasi itu pada Februari. TikTok kini mempunyai sekitar 170 juta pengguna di Amerika.
“Kami akan melakukan sesuatu, mungkin dengan TikTok, mungkin tidak. Jika kami mendapat perjanjian yang baik, kami akan melakukannya. Jika tidak, kami tidak akan buat... mungkin kami akan memasukkan ia ke dalam dana kekayaan,” ujar Encik Trump. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg