WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata ia “amat bimbang” mengenai serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Bandar Gaza pada 10 Ogos yang menurut pegawai pertahanan awam Gaza, telah mengorbankan kira-kira 100 jiwa.
Serangan itu turut menerima kecaman daripada beberapa negara Arab, Turkey, Britain dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU).
Sekolah tersebut menempatkan keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza, yang mempunyai rekod baik dalam menyatakan jumlah mangsa sebenar, berkata kira-kira 100 orang terbunuh dalam serangan di sekolah Al-Taba’een itu.
Laporan media sebelum ini menyatakan serangan itu terkena tingkat atas dan bawah sekolah itu.
Pejabat media Gaza berkata bahawa serangan Israel itu menyasarkan penduduk Gaza yang sedang menunaikan solat subuh, menyebabkan angka korban melonjak.
Israel menyatakan kira-kira 20 anggota dan komander Hamas telah beroperasi di pekarangan sekolah itu.
Video dari tapak serangan itu menunjukkan bahagian badan manusia bergelimpangan di atas tanah dan runtuhan bangunan, selain banyak mayat yang diusung keluar dan ditutup dengan selimut.
“Kami amat bimbang tentang beberapa laporan mangsa orang awam di Gaza berikutan satu serangan oleh Angkatan Pertahanan Israel di pekarangan yang termasuk sebuah sekolah,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa Washington sedang berhubung dengan Israel untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Washington menghadapi kritikan serta kutukan domestik dan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk daripada kumpulan hak asasi manusia, atas sokongan ketenteraannya kepada Israel.
Serangan udara tersebut berlaku sehari selepas jurucakap Jabatan Negara Amerika berkata bahawa Amerika akan menyediakan Israel sebanyak AS$3.5 bilion ($4.6 bilion) untuk dibelanjakan bagi pembelian senjata dan peralatan tentera Amerika selepas Kongres memperuntuk dana tersebut pada April.
“Kami tahu Hamas menggunakan sekolah sebagai tempat untuk berkumpul dan beroperasi, tetapi kami juga berulang kali dan secara konsisten mengatakan Israel mesti mengambil langkah mengurangkan bahaya terhadap orang awam,” tambah Rumah Putih.
Kenyataan itu juga menyatakan “terlalu ramai orang awam terus terbunuh dan cedera” dalam konflik di Gaza dan mengulangi gesaan untuk perjanjian gencatan senjata.
Kenyataan Amerika itu menyusuli kecaman terhadap serangan Israel daripada Mesir, Qatar, Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Turkey.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Encik Josep Borrell, melahirkan rasa ngeri melihat gambar-gambar dari sekolah itu selepas serangan tersebut, manakala Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, berkata beliau “berasa terkejut dan kecewa” dengan serangan itu.
Puluhan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berlindung dalam banyak bangunan sekolah di Gaza, yang kebanyakannya telah ditutup sejak konflik di Gaza bermula 10 bulan lalu.
Sejak itu, hampir 40,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh manakala lebih 91,700 lagi cedera.
Hampir kesemua daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, membentangkan cadangan pelan gencatan senjata tiga fasa pada 31 Mei.
Sejak itu, Washington dan beberapa pengantara dari negara Timur Tengah cuba mengatur perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan, namun berulang kali menghadapi halangan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg