Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS ancam henti bantuan ke Jordan, Mesir jika tolak pemindahan Gaza

Feb 11, 2025 | 12:42 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau boleh menghentikan bantuan kepada Jordan dan Mesir jika mereka menolak cadangannya untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau boleh menghentikan bantuan kepada Jordan dan Mesir jika mereka menolak cadangannya untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada 10 Februari bahawa beliau boleh menghentikan bantuan kepada Jordan dan Mesir jika mereka menolak cadangannya untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Ini sekali gus meningkatkan tekanan ke atas sekutu utama di rantau itu untuk menyokong cadangannya bagi menempatkan semula seluruh penduduk wilayah itu ke Jordan dan Mesir bagi proses pembangunan semula.

“Sekiranya mereka tidak bersetuju, saya mungkin akan menghentikan bantuan,” kata Encik Trump kepada pemberita di Pejabat Meja Bundar sehari sebelum pertemuan dengan Raja Abdullah II dari Jordan.

Kededua Jordan dan Mesir telah menolak sebarang cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin ke negara mereka.

Rancangan pemindahan paksa melibatkan lebih 2 juta rakyat Palestin itu disifatkan beberapa penganalisis sebagai menyamai jenayah perang dan pembersihan etnik.

Dalam temu bual dengan stesen penyiar, Fox News, pada 10 Februari, Encik Trump berkata beliau tidak menjangkakan rakyat Palestin yang meninggalkan Gaza bagi memberi laluan kepada pembangunan semula itu akan kembali.

Ditanya sama ada rakyat Palestin akhirnya “mempunyai hak untuk kembali” ke Gaza selepas projek pembangunan semulanya telah siap, Encik Trump berkata: “Tidak, mereka tidak akan.”

Mengenai ke mana rakyat Palestin mungkin pergi, beliau berkata: “Saya rasa saya boleh membuat perjanjian dengan Jordan dan Mesir.”

Usulan Encik Trump itu telah menyebabkan gelombang kejutan di seluruh Timur Tengah dan pasti akan mendominasi pertemuannya dengan pemimpin Jordan itu kelak.

Beliau selanjutnya berkata jika Hamas tidak membebaskan semua baki tebusan Israel pada 15 Februari, perjanjian gencatan senjata dengan Israel harus dibatalkan.

“Semua neraka akan meletus,” kata Encik Trump, sambil mengakui bahawa pilihan untuk menamatkan gencatan senjata akhirnya terletak di tangan Israel.

Kenyataan Encik Trump mengenai rancangan pemindahan paksa itu menimbulkan tekanan ke atas Raja Abdullah, yang mungkin akan diselubungi krisis dalaman sendiri jika rakyat Palestin dipaksa berpindah ke Jordan.

Kehadirian rakyat Palestin – yang membentuk lebih separuh daripada penduduk Jordan – telah menimbulkan ketegangan antara kededua warga negara, kata penganalisis.

“Apa yang telah dilakukan oleh Encik Trump ialah meletakkan masa depan kerajaan Jordan dalam pertaruhan,” kata pengarah eksekutif Pusat Arab Washington D.C., Encik Khalil Jahshan.

“Pergerakan politik terkuat di Jordan tidak menerima idea bahawa Jordan adalah Palestin,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg