Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir, Jordan tolak cadangan Trump paksa warga Gaza pindah

Jan 30, 2025 | 1:39 PM
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, berkata memindahkan  rakyat Palestin dari tanah air mereka di Gaza ke Mesir atau Jordan adalah “satu ketidakadilan yang kami tidak boleh setuju”.
Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, berkata memindahkan rakyat Palestin dari tanah air mereka di Gaza ke Mesir atau Jordan adalah “satu ketidakadilan yang kami tidak boleh setuju”. - Foto AFP

KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, dan Raja Jordan, Raja Abdullah II, pada 29 Januari menolak sembarang idea bagi pemindahan paksa penduduk Gaza.

Ini selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencadangkan memindah rakyat Palestine dari wilayah itu ke Mesir dan Jordan.

Dalam respons awam pertamanya kepada komen Encik Trump, Encik Sisi berkata pemindahan “rakyat Palestin dari tanah air mereka adalah satu ketidakadilan yang kami tidak boleh setuju”.

Semasa satu sidang media di Kahirah bersama Presiden Kenya, Encik William Ruto, Encik Sisi menambah bahawa pendirian Mesir yang sejak lama memihak kepada penciptaan sebuah negara Palestin “sesekali tidak boleh ditolak ansur”.

Namun, Encik Sisi berkata Mesir “bertekad bekerjasama dengan Encik Trump, yang berusaha mencapai keamanan yang diinginkan berdasarkan penyelesaian dua negara”.

“Kami percaya Encik Trump berupaya mencapai matlamat mewujudkan keamanan adil dan berkekalan di Timur Tengah itu, yang telah lama ditunggu-tunggu,” tambahnya.

Semasa di Brussels bagi satu lawatan kerja, Raja Abdullah II menekankan bahawa Jordan mempunyai “pendirian tegas mengekalkan warga Palestin di tanah air mereka dan menjamin hak sah mereka, selaras dengan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin”.

Selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari, Encik Trump mengemukakan rancangan “membersihkan” Semenanjung Gaza.

Beliau mengulangi idea itu pada 27 Januari sambil menyeru warga Palestin supaya berpindah ke lokasi “lebih selamat” seperti Mesir atau Jordan.

Bercakap kepada media pada 27 Januari, Encik Trump berkata beliau berharap Encik Sisi “akan mengambil masuk beberapa” warga Gaza.

“Kami banyak membantu mereka, dan saya pasti beliau (Encik Sisi) akan membantu kami.

“Seperti yang orang ramai katakan, ia (Gaza) adalah sebuah kawasan kejiranan yang penuh dengan kepayahan, tetapi saya fikir beliau akan melakukannya, dan saya fikir Raja Jordan akan melakukannya juga,” kata Encik Trump.

Sejak Encik Trump mengemukakan ideanya itu, ia telah ditolak sama sekali oleh para pemimpin serantau, serta oleh Jerman dan Perancis, dengan kedua-duanya mengatakan bahawa ia “tidak boleh diterima”.

Namun, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, menyifatkannya sebagai “idea bagus”, dan berkata beliau sedang bekerjasama dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, untuk “menyediakan pelan operasi bagi memastikan visi Encik Trump menjadi kenyataan”. – AFP.

Sejak bermulanya konflik antara Israel dengan Hamas pada Oktober 2023, kedua-dua Mesir dan Jordan telah memberi amaran tentang rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat merentasi sempadan mereka.

Encik Sisi telah berulang kali mengatakan bahawa pemindahan sedemikian akan menamatkan sebab untuk mewujudkan kenegaraan Palestin.

Kedua-dua Mesir dan Joran, yang merupakan sekutu utama Amerika Syarikat di rantau itu, sangat bergantung kepada bantuan asing. Ibu negara Amerika Syarikat, Washington, ialah salah satu penderma terbesar mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg