Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah Putih buat pusingan U: Ambil alih Gaza hanya sementara

Amerika jelaskan ia tiada komitmen untuk hantar tentera ke Gaza
Feb 6, 2025 | 2:13 PM
Penduduk Palestin yang melarikan diri berkali-kali akibat serangan Israel dalam perang 15 bulan di Gaza, berbondong-bondong pulang ke rumah untuk membina semula kehidupan selepas gencatan senjata dilaksanakan mulai 19 Januari 2025.
Penduduk Palestin yang melarikan diri berkali-kali akibat serangan Israel dalam perang 15 bulan di Gaza, berbondong-bondong pulang ke rumah untuk membina semula kehidupan selepas gencatan senjata dilaksanakan mulai 19 Januari 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat berundur daripada cadangannya untuk mengambil alih Gaza susulan timbulnya kekecohan, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya “pembersihan etnik” di wilayah Palestin.

Berdepan dengan gelombang kritikan daripada rakyat Palestin, negara-negara Arab dan pemimpin dunia, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata sebarang pemindahan rakyat Gaza adalah bersifat sementara.

Rumah Putih pula menegaskan tidak ada komitmen untuk menghantar tentera Amerika ke Gaza.

Namun, Encik Trump menegaskan bahawa “semua orang suka” cadangannya itu, yang diumumkan dengan tercungap-cungap semasa sidang akhbar dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih, pada 4 Februari.

Menawarkan sekelumit perincian bagaimana Amerika boleh memindahkan lebih dua juta rakyat Palestin atau mengawal wilayah yang dilanda perang, Encik Trump memberitahu sidang akhbar itu bahawa “Amerika akan mengambil alih Jaluran Gaza dan kami akan melakukan sesuatu mengenainya. Kami akan memilikinya”.

Encik Rubio menarik perhatian bahawa idea itu “tidak bermaksud bermusuhan”, menyifatkannya sebagai “langkah murah hati – tawaran untuk membina semula dan bertanggungjawab ke atas kerja-kerja itu”.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, kemudian berkata Washington tidak akan membiayai pembinaan semula Gaza selepas lebih 15 bulan perang antara Israel dengan Hamas.

Penglibatan Amerika “tidak bermakna ia akan melakukannya” atau “pembayar cukai Amerika akan membiayai usaha ini,” tegas Cik Leavitt.

PBB memberi amaran terhadap penghapusan etnik di Gaza.

“Pada asasnya, pelaksanaan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dipisahkan adalah mengenai hak rakyat Palestin untuk hanya hidup sebagai manusia di tanah air mereka sendiri,” kata Setiausaha Agung, Encik Antonio Guterres, dalam ucapan kepada jawatankuasa PBB yang berurusan dengan hak rakyat Palestin.

Jurucakap Encik Guterres, Encik Stephane Dujarric, memberitahu wartawan: “Sebarang pemindahan penduduk secara paksa adalah sama dengan pembersihan etnik.”

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron dan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, berkata sebarang pemindahan rakyat Palestin secara paksa tidak akan diterima.

“Ia mencabul undang-undang antarabangsa yang serius, halangan kepada penyelesaian dua negara dan menjejas kestabilan Mesir dan Jordan,” kata kedua-dua pemimpin dalam satu kenyataan dari pejabat presiden Perancis.

Cik Leavitt berkata Encik Trump hanya mahu rakyat Palestin, “dipindahkan keluar buat sementara waktu”, dari Gaza.

“Ia adalah tapak yang telah musnah dan bukan tempat yang boleh didiami untuk mana-mana manusia,” katanya.

Pegawai Palestin, pemimpin Arab dan kumpulan hak asasi manusia dengan pantas mengecam kenyataan Encik Trump.

Hamas, yang menguasai Gaza pada 2007, menolak cadangan itu, dan menyifatkannya sebagai “perkauman”, “agresif” dan menghasut.

Serangan tentera Israel telah menyebabkan sebahagian besar Gaza musnah, termasuk sekolah, hospital dan prasarana awam.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) berkata kemusnahan Gaza “mencerminkan dasar Israel yang mahu menjadikan sebahagian jalur itu tidak dapat didiami”.

Cadangan Encik Trump “akan menyaksikan Amerika daripada terlibat dalam jenayah perang, kepada mengarahkan kekejaman,” kata pengarah wilayah HRW, Cik Lama Fakih. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg