AS ancam henti sokongan keatas Iraq jika al-Maliki kembali berkuasa
AS ancam henti sokongan keatas Iraq jika al-Maliki kembali berkuasa
BAGHDAD/WASHINGTON: Bekas Perdana Menteri Iraq, Encik Nouri al-Maliki, yang sebelum ini dilihat berpotensi membuat kemunculan semula politik meskipun dibayangi dakwaan mencetuskan perpecahan sektarian dan membuka ruang kepada kebangkitan kumpulan IS kini berdepan tekanan terbuka daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam satu campur tangan langsung terbaharu terhadap politik negara lain, Encik Trump memberi amaran kepada Iraq bahawa Washington akan menghentikan sokongan sekiranya negara itu sekali lagi melantik Encik al-Maliki sebagai perdana menteri. Amaran itu dikeluarkan pada 27 Januari, beberapa hari selepas Encik al-Maliki dicalonkan oleh Kerangka Penyelarasan, gabungan terbesar blok Syiah di Parlimen Iraq, sebagai calon bagi jawatan tertinggi negara itu.
Encik Trump menyifatkan pemilihan semula Encik al-Maliki sebagai “pilihan yang sangat buruk”, sambil mengaitkan pentadbiran lalu tokoh itu dengan kemiskinan dan kekacauan. “Kali terakhir Maliki berkuasa, negara itu terjerumus ke dalam kemiskinan dan kekacauan menyeluruh. Perkara itu tidak boleh dibiarkan berulang,” tulis Encik Trump di platform Truth Social miliknya.
Beliau menambah bahawa disebabkan apa yang disifatkannya sebagai “dasar dan ideologi yang tidak masuk akal”, Amerika Syarikat tidak lagi akan membantu Iraq sekiranya Encik al-Maliki dilantik semula. “Jika kami tidak berada di sana untuk membantu, Iraq langsung tidak mempunyai peluang untuk berjaya, makmur atau bebas,” tulis Encik Trump, sebelum menutup kenyataannya dengan slogan, “MAKE IRAQ GREAT AGAIN!” (“JADIKAN IRAQ HEBAT SEMULA!”)
Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras daripada Encik al-Maliki, yang pada 28 Januari menolak ancaman tersebut dan menyifatkannya sebagai campur tangan terang-terangan Amerika Syarikat dalam urusan dalaman Iraq.
“Kami menolak sepenuhnya campur tangan Amerika Syarikat yang jelas dalam hal ehwal dalaman Iraq, dan menganggapnya sebagai pelanggaran kedaulatan negara,” kata Encik al-Maliki dalam satu kenyataan di platform X.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan dialog antara negara adalah satu-satunya jalan wajar dalam hubungan antarabangsa, bukannya bahasa ugutan. “Bahasa dialog antara negara adalah satu-satunya pilihan politik yang beradab, bukan bahasa arahan dan ancaman,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada pencalonan tersebut.
Encik Al-Maliki menegaskan pencalonannya dibuat berdasarkan kehendak politik nasional dan keputusan Kerangka Penyelarasan yang menurutnya selari dengan Perlembagaan Iraq. “Saya akan terus berusaha sehingga ke penghujung demi mencapai kepentingan tertinggi rakyat Iraq,” katanya.
Tokoh berusia 75 tahun itu merupakan pemimpin kanan Parti Dawa, sebuah parti Islamis Syiah. Beliau pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama dua penggal dari 2006 hingga 2014, satu tempoh yang menyaksikan keganasan sektarian, perebutan kuasa dengan pemimpin Sunni dan Kurdish, tuduhan rasuah meluas serta hubungan yang semakin tegang dengan Amerika Syarikat.
Encik Al-Maliki meletak jawatan pada 2014 selepas kumpulan IS merampas sebahagian besar wilayah Iraq, termasuk bandar utama Mosul, apabila pasukan keselamatan runtuh. Namun, beliau kekal sebagai pemain politik berpengaruh, mengetuai Gabungan Negara Berasaskan Undang-Undang dan mengekalkan hubungan rapat dengan kumpulan bersenjata yang disokong Iran.
Amerika Syarikat mempunyai pengaruh besar ke atas Iraq, khususnya dalam aspek kewangan. Hasil eksport minyak Iraq, yang menjadi sumber utama pendapatan negara itu, disimpan di Rizab Persekutuan Amerika Syarikat di New York, hasil satu pengaturan yang diwujudkan selepas pencerobohan Amerika Syarikat pada 2003 yang menggulingkan Saddam Hussein.
Kenyataan Encik Trump dilihat sebagai contoh paling jelas setakat ini dalam kempen pentadbirannya untuk mengekang pengaruh kumpulan berkait Iran di Iraq, sebuah negara yang sejak sekian lama cuba mengimbangi hubungan antara dua sekutu terbesarnya, Washington dan Teheran.
Pencalonan semula Encik al-Maliki mengejutkan ramai rakyat Iraq, yang masih mengaitkan beliau dengan dasar berteraskan sektarianisme yang didakwa memihak kepada majoriti Syiah, serta menolak masyarakat Sunni sehingga mendorong sebahagian mereka menyokong kumpulan militan ekstremis.
Pada 2015, sebuah jawatankuasa Parlimen Iraq pernah mengesyorkan agar Encik al-Maliki dan puluhan pegawai kanan lain dibicarakan berhubung kejatuhan Mosul kepada IS. Namun, beliau tidak pernah didakwa dan terus mengukuhkan pengaruhnya melalui jaringan politik, kumpulan bersenjata, pasukan keselamatan dan badan kehakiman, menurut penganalisis.
Encik Al-Maliki dilahirkan pada 1950 di Janaja, sebuah perkampungan di selatan Iraq di tebing Sungai Euphrates. Beliau berasal daripada keluarga yang aktif secara politik, dengan datuknya menulis puisi yang menghasut penentangan terhadap penjajah British, manakala bapanya seorang nasionalis Arab tegar. Beliau melarikan diri dari Iraq pada 1979 selepas ditahan secara singkat oleh rejim Saddam Hussein.
Sepanjang tempoh buangan hampir 25 tahun, kebanyakannya di Syria dan Iran, Encik al-Maliki terlibat aktif dalam usaha menjatuhkan Saddam, dan dijatuhi hukuman mati secara in absentia atau tanpa kehadiran tertuduh kerana penglibatannya dalam Parti Dawa yang diharamkan.
Selepas kejatuhan Saddam, Encik al-Maliki kembali ke Iraq dan dipilih sebagai perdana menteri kompromi pada 2006. Beberapa bulan selepas memegang jawatan, beliau menandatangani perintah pelaksanaan hukuman mati terhadap Saddam Hussein.
Namun, usaha Encik al-Maliki untuk mengukuhkan dominasi politik Syiah kemudiannya mencetuskan perpecahan mendalam. Dalam satu memo pemerintah Amerika Syarikat yang bocor, Penasihat Keselamatan Negara ketika itu, Stephen Hadley, menyuarakan kebimbangan terhadap pentadbiran Encik al-Maliki, termasuk kegagalan menyediakan perkhidmatan kepada kawasan Sunni dan penyingkiran pegawai keselamatan berdasarkan garis sektarian.
Al-Maliki menafikan tuduhan bersifat sektarian. “Saya tidak berperang di Anbar kerana mereka Sunni. Saya juga memerangi militia Syiah. Al-Qaeda dan militia adalah sama, kedua-duanya membunuh dan meletupkan orang,” katanya kepada Reuters pada 2014.
Kini, di tengah-tengah tekanan terbuka dari Washington dan perpecahan dalaman Iraq, usaha al-Maliki untuk kembali ke puncak kuasa sekali lagi menguji kedaulatan politik Iraq serta keseimbangan rapuh antara kuasa besar serantau dan antarabangsa. - Agensi berita

