Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran Iraq cari keseimbangan AS, Iran bagi menstabil Baghdad

PM Iraq mahu terus tarik pelaburan Amerika; bendung pengaruh kuat kumpulan militia bersenjata yang disokong Iran
Nov 24, 2025 | 5:30 AM
Iraq, keamanan, perang
Penyokong Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, melambaikan bendera kebangsaan sambil meraikan pengumuman keputusan awal pilihan raya di Baghdad pada 12 November 2025, yang berpihak kepadanya. - Foto AFP

BAGHDAD: Kemenangan Perdana Menteri Iraq, Encik Mohammed Shia al-Sudani, dalam pilihan raya umum pada 11 November lalu menandakan satu lembaran baru dalam politik Baghdad.

Dilantik semula untuk penggal kedua, beliau kini dilihat sebagai tokoh yang mampu mengekalkan keseimbangan antara dua pengaruh besar Amerika Syarikat dengan Iran sambil berusaha memperkukuh kestabilan dalam negara selepas puluhan tahun bergolak.

Sebagai mantan Datuk Bandar dan Menteri Hak Asasi Manusia, Encik Al-Sudani, pernah mengetuai usaha menjejak kubur besar mangsa rejim Saddam Hussein serta menyiasat kekejaman kumpulan militan ISIS.

Namun, sejak dilantik menjadi perdana menteri pada Oktober 2022, beliau memperlihatkan kemahiran baru – berjalan di atas tali halus diplomasi, menjaga hubungan dengan kuasa luar tanpa mengorbankan kedaulatan negaranya.

Dalam satu taklimat di kompleks rasmi Baghdad, Encik Al-Sudani, menegaskan bahawa masa kini adalah peluang terbaik bagi Iraq menentukan masa depannya sendiri.

“Iraq pada 2025 tidak sama seperti Iraq pada 2014.

“Pertempuran menentang ISIS sudah berakhir, dan kini negara berada dalam fasa kestabilan,” katanya.

Beliau merujuk kepada perjanjian damai antara Turkey dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dimeterai Mei lalu – konflik yang berlarutan sejak 1978 – sebagai satu kejayaan besar kerana ia menamatkan campur tangan ketenteraan asing di wilayah Iraq.

“Kehadiran tentera asing di tanah Iraq telah lama menjejas kedaulatan kami. Kini, Iraq berdiri atas kekuatannya sendiri,” ujar beliau.

Encik Al-Sudani turut menekankan peningkatan hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat.

Menurutnya, pelaburan Amerika di Baghdad meningkat pesat, terutama dalam sektor pembinaan dan tenaga.

“Hubungan ekonomi dengan Amerika kini berkembang pantas. Banyak syarikat Amerika kembali ke Iraq,” katanya kepada The Telegraph.

Namun, cabaran terbesar yang dihadapi oleh Encik Al-Sudani berpunca dari dalam negaranya sendiri, pengaruh kuat kumpulan militia bersenjata yang sebahagian besarnya bernaung di bawah sokongan Iran.

Kumpulan itu bukan sahaja memiliki kekuatan ketenteraan, bahkan turut mempunyai pengaruh politik yang luas melalui rangkaian perlindungan dan hubungan kepentingan.

Perdana menteri menegaskan bahawa semua senjata mesti berada di bawah kawalan negara.

“Tiada alasan untuk senjata berada di luar kawalan pemerintah. Mereka yang membawa senjata harus memilih, menyertai angkatan tentera atau memilih untuk terlibat dalam arena politik secara sah,” katanya.

Namun, penganalisis tetap berhati-hati dalam menilai keupayaan sebenar Encik Al-Sudani untuk melaksanakan visinya.

Mereka berpendapat usaha beliau untuk menyusun semula peranan kumpulan militia dan mengekang pengaruh luar mungkin akan berdepan halangan besar daripada kepentingan politik yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

Zamil di Institut Perkhidmatan Royal United (RUSI), Encik Tamer Badawi, berkata:

“Al-Sudani belum menjelaskan bagaimana beliau mahu melaksanakan proses ini. Jika ada pelan, beliau masih menyimpannya rapi.”

Di sebalik retorik kestabilan, rakyat Iraq semakin hilang keyakinan dan rasa peduli terhadap politik. Hanya 56 peratus keluar mengundi, dengan banyak kawasan mencatat penyertaan rendah.

Ini diperburuk oleh boikot besar-besaran oleh pengikut ulama Syiah populis, Encik Muqtada al-Sadr, yang sebelum ini menang besar dalam pilihan raya 2021.

Di jalan-jalan Baghdad, rasa sinis terhadap sistem politik masih menebal.

Seorang juruteknik teknologi maklumat (IT), Encik Azhar Zuhair, menambah: “Saya mengundi pada 2005, tapi selepas itu saya berhenti. Tiada apa yang berubah. Demokrasi di sini hanya memberi manfaat kepada parti, bukan rakyat.”

Jurutera muda Encik Wissam Salah menambah:

“Parti politik membeli undi dan mengawal pekerjaan. Jika anda tidak berada dalam jaringan mereka, anda tidak dapat apa-apa. Tapi saya masih percaya pada perubahan, walaupun kecil.”

Walaupun kemenangannya dilihat kukuh, Encik Al-Sudani kini berhadapan realiti politik Iraq yang kompleks, tiada parti mampu memerintah secara mutlak.

Pemerintah mesti dibentuk melalui gabungan, proses yang sering berlarutan berbulan-bulan.

Lebih membimbangkan, pemerhati menganggap struktur politik Iraq masih berakar pada sistem muhasasa, iaitu pengagihan kuasa berdasarkan kaum dan agama – Perdana Menteri dari Syiah; Presiden dari Kurdi; dan Speaker Parlimen dari Sunni.

Sistem itu mengekalkan keseimbangan, tetapi turut membantutkan pembaharuan.

Seorang diplomat Barat di Baghdad, berkata:

“Iraq nampak tenang, namun keadaan itu sebenarnya sekadar ketenangan yang menunggu badai mendatang. Sistemnya masih berasaskan rundingan tidak rasmi antara elit kuasa.”

Penganalisis Institut Timur Tengah, Encik Sarhang Hamasaeed, mengingatkan bahawa keadaan sekarang bukan tanda kestabilan sebenar.

“Keadaan lebih tenang, tapi tenang tidak bermakna stabil. Ia hanya rehat seketika sebelum krisis seterusnya,” kata beliau.

Dalam penggal baru ini, Encik Al-Sudani perlu menjawab persoalan penting bolehkah Iraq berdikari tanpa kehadiran tentera asing?

Beliau yakin negaranya mampu menjaga keselamatan sendiri.

“Iraq kini mampu mempertahankan kedaulatannya dan melindungi rakyatnya. Hubungan kami dengan sekutu luar akan lebih kepada pertukaran maklumat dan nasihat,” katanya.

Namun, ramai pemerhati bimbang pengaruh Iran akan terus membayangi Baghdad.

Walaupun hubungan diplomatik Iraq dengan Amerika kini lebih stabil, Teheran masih mengekalkan rangkaian ekonomi dan politiknya.

“Iran tidak lagi menguasai Iraq secara terbuka seperti dahulu, tetapi ia tetap ada, mengawal melalui saluran ekonomi dan militia,” ujar Penganalisis dari Universiti Baghdad, Dr Kareem Al-Tamimi.

Kejayaan Encik Al-Sudani membentuk pemerintah yang stabil akan bergantung pada kemampuannya mengimbangi tekanan domestik dan kuasa asing.

Keutamaannya kini termasuk menangani krisis air dan perubahan iklim, pengangguran belia, serta pengedaran dadah yang semakin meningkat.

Namun, bagi rakyat Iraq yang sudah lama hidup dalam ketidaktentuan, janji reformasi sering kali tinggal janji.

“Kami sudah dengar semua janji ini sebelum ini. Yang kami mahu hanyalah air bersih, elektrik stabil, dan pekerjaan,” ujar seorang peniaga di Basra.

Bagi ramai penganalisis, masa depan Iraq kini bergantung pada kemampuan elit politik mengubah sistem jaringan perlindungan politik menjadi tadbir urus sebenar.

Selagi keputusan besar ditentukan melalui perjanjian tertutup antara pemimpin parti, negara itu akan terus bergerak dalam bulatan.

Encik Hamasaeed menambah: “Iraq tahu bagaimana mengadakan pilihan raya, tetapi belum belajar bagaimana membina institusi yang boleh bertahan.”

Buat masa ini, kemenangan Encik Al-Sudani menandakan kesinambungan bukan revolusi.

Namun, dalam landskap Asia Barat yang sentiasa bergolak, kestabilan relatif yang dinikmati Iraq meskipun rapuh masih memberi sinar harapan bahawa negara itu akhirnya sedang menghampiri keseimbangan yang telah dikejar selama lebih dua dekad. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg