WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, memberi amaran syarikat penerbangan Iran mungkin tidak lagi dapat beroperasi di banyak negara mulai 23 September, sedang pentadbiran Presiden Donald Trump memperhebat tekanan ekonomi terhadap Teheran.

Encik Bessent berkata sekatan Amerika bukan sahaja menyasarkan syarikat penerbangan Iran, malah lapangan terbang, pembekal bahan api, syarikat pengendalian darat dan penjual tiket yang terus memberikan perkhidmatan kepada pesawat Iran.

“Pada 23 September, semua syarikat penerbangan Iran akan ditutup di seluruh dunia,” katanya dalam wawancara dengan CNBC pada 21 September.

Menurut beliau, syarikat yang terus membantu penerbangan Iran berisiko dikenakan sekatan sekunder Amerika dan kehilangan akses kepada sistem kewangan yang menggunakan dolar Amerika.

“Jika mereka mendarat, anda tidak boleh membekalkan bahan api, menyediakan perkhidmatan pendaratan atau menjual tiket kepada mereka, atau anda akan disingkirkan daripada sistem dolar,” katanya.

Ancaman itu menyusuli langkah Jabatan Perbendaharaan Amerika pada 8 September yang mengenakan sekatan terhadap 36 sasaran berkaitan sektor penerbangan Iran, termasuk 27 syarikat penerbangan Iran yang sebelum itu belum dikenakan sekatan.

Washington mendakwa sektor penerbangan komersial Iran turut digunakan untuk membantu pemerintah negara itu memindahkan senjata dan anggota tentera serta mendapatkan pesawat dan teknologi melalui rangkaian perantara di luar negara.

Langkah terbaru itu mula memberi kesan kepada hubungan udara Iran dengan beberapa negara.

Dua sumber pemerintah Iraq memberitahu AFP pada 21 September bahawa Baghdad akan menggantung penerbangan syarikat Iran yang dikenakan sekatan Amerika.

Syarikat penerbangan Iran, Mahan Air pula menggantung penerbangannya ke Turkey dan Georgia mulai 21 September sehingga diberitahu kelak.

Laluan Teheran-Muscat telah digantung lebih awal pada 17 September.

Mahan Air berkata penggantungan tersebut dibuat susulan keputusan pihak berkuasa penerbangan negara terbabit.

Syarikat itu sendiri telah berada dalam senarai sekatan Amerika sejak 2011.

Sektor penerbangan Iran sudah lama terjejas oleh sekatan Washington yang menyukarkan syarikat penerbangan negara itu mendapatkan pesawat baru, alat ganti dan khidmat penyelenggaraan.

Sekatan terbaru memperluas tekanan itu dengan menyasarkan rangkaian sokongan di luar Iran yang diperlukan bagi membolehkan pesawatnya beroperasi di peringkat antarabangsa.

Ini bermakna sebuah syarikat penerbangan Iran mungkin masih mempunyai pesawat untuk melakukan penerbangan, tetapi operasinya boleh terjejas jika lapangan terbang asing enggan menyediakan bahan api, pengendalian darat atau kemudahan lain kerana bimbang dikenakan tindakan Amerika.

Langkah itu adalah sebahagian daripada kempen ekonomi lebih luas Washington untuk mengasingkan Iran daripada sistem kewangan antarabangsa ketika perang Amerika-Iran berterusan.

Pentadbiran Trump telah memperluas sekatan kepada institusi kewangan dan rangkaian lain yang didakwa membantu Teheran mengelakkan sekatan.

Amaran Encik Bessent dibuat menjelang pertemuan Presiden Trump dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, pada 24 September.

China merupakan antara rakan ekonomi utama Iran, menjadikan hubungan Beijing dengan Teheran antara isu yang mendapat perhatian ketika Washington meningkatkan tekanan ekonominya.

Bagi rakyat Iran, kesannya boleh melangkaui tekanan terhadap pemerintah.

Sekiranya lebih banyak negara dan syarikat enggan memberikan perkhidmatan kepada pesawat Iran, pilihan perjalanan antarabangsa rakyat negara itu boleh semakin terbatas, termasuk bagi mereka yang mahu melawat keluarga, mendapatkan rawatan atau melakukan perjalanan atas urusan perniagaan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti