WASHINGTON/RIYADH: Amerika Syarikat dan Arab Saudi melancarkan serangan udara bersama ke atas kumpulan bersenjata yang disokong Iran di timur Iraq selepas beberapa siri serangan dron menyasarkan kemudahan minyak Arab Saudi dan pangkalan tentera Amerika di Asia Barat.

Serangan itu menandakan penglibatan ketenteraan paling ketara Arab Saudi sejak konflik antara Amerika dengan Iran tercetus pada Februari lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa perang itu berpotensi merebak ke lebih banyak negara di rantau berkenaan.

Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan bahawa pesawat pejuang Amerika dan Arab Saudi melaksanakan serangan tepat ke atas beberapa pusat logistik, gudang senjata dan pangkalan operasi kumpulan proksi Iran di timur Iraq pada awal pagi 29 Julai.

Menurut Centcom, tindakan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap lebih 30 serangan dron dalam tempoh 72 jam yang didakwa diarahkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bagi menyasarkan anggota tentera Amerika dan kemudahan tenaga Arab Saudi.

“Pesawat pejuang Amerika dan Arab Saudi menyerang beberapa lokasi logistik dan simpanan senjata kumpulan pengganas di timur Iraq sebagai tindak balas tegas terhadap serangan dron yang diarahkan IRGC.

“IRGC dan kumpulan proksinya mesti menghentikan serangan ini bagi mengelakkan tindakan ketenteraan lanjut,” menurut kenyataan Centcom.

Jurucakap Centcom, Kapten Tim Hawkins, berkata serangan itu bertujuan menghantar mesej jelas bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya tidak akan membiarkan serangan terhadap kepentingan mereka berlalu tanpa tindak balas.

“Serangan terhadap anggota kami dan rakan Arab Saudi dilakukan tanpa sebarang provokasi. Kami tidak akan membiarkan tindakan sedemikian tidak dibalas,” katanya.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengesahkan tenteranya turut menyertai operasi berkenaan selepas beberapa dron dilancarkan dari wilayah Iraq cuba menyerang kemudahan minyak di Wilayah Timur negara itu.

Jurucakap kementerian, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, berkata serangan udara itu dilaksanakan bagi mempertahankan keselamatan negara dan aset strategik Arab Saudi.

“Angkatan Tentera Arab Saudi, dengan kerjasama Centcom, melancarkan serangan tepat terhadap sasaran kumpulan bersenjata di Iraq yang terbabit dalam serangan ke atas kemudahan minyak negara ini.

“Arab Saudi tidak mahu melihat ketegangan terus meningkat, tetapi kami mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang antarabangsa untuk mempertahankan negara serta kepentingan nasional,” katanya.

Kementerian Luar Arab Saudi pula menyatakan serangan kumpulan pro-Iran berlaku ketika Riyadh sedang berusaha membantu meredakan ketegangan di rantau Asia Barat.

“Malangnya, kumpulan pro-Iran memilih jalan peningkatan konflik yang tidak bertanggungjawab dengan menyerang kemudahan tenaga Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.

Sehari sebelum itu, sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas beberapa dron yang dilancarkan dari Iraq sebelum ia sempat mengenai sasaran di Wilayah Timur dan sekitar Riyadh.

Pemerintah Iraq berkata siasatan telah diarahkan bagi mengenal pasti pihak yang melancarkan serangan berkenaan selepas Arab Saudi menggesa Baghdad menghalang wilayahnya daripada digunakan sebagai pangkalan melancarkan serangan rentas sempadan.

Dalam perkembangan berasingan, IRGC mengumumkan tenteranya melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sasaran tentera Amerika di Jordan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan Amerika”.

Tentera Jordan bagaimanapun memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan lima peluru berpandu yang memasuki ruang udara negara itu pada awal pagi 29 Julai.

IRGC turut mendakwa menyerang tiga kapal tangki yang dikatakan mengabaikan amaran Iran dan melalui laluan yang dianggap tidak sah, namun tidak mendedahkan lokasi sebenar serangan itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Iran meningkatkan tekanan terhadap perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak mentah dunia.

Centcom pula memaklumkan tenteranya berjaya memintas beberapa peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran, namun tidak memperincikan sasaran atau lokasi serangan tersebut.

Ketegangan di rantau itu kembali memuncak selepas beberapa hari menyaksikan pertempuran berskala besar antara Amerika dan Iran reda.

Pada masa sama, kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman mendakwa melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap perkapalan Saudi yang diumumkan sebelum ini.

Arab Saudi turut berdepan puluhan serangan dron minggu ini yang kebanyakannya menyasarkan kemudahan minyak negara itu.

Walaupun Washington sebelum ini dilaporkan menangguhkan rancangan memperluaskan operasi ketenteraan terhadap Iran kerana kebimbangan terhadap stok peluru pertahanan udara yang semakin berkurangan serta kesan kepada ekonomi global, perkembangan terbaharu menunjukkan konflik itu kini semakin melibatkan sekutu utama Amerika Syarikat di rantau Asia Barat.

Pada masa ini, tumpuan utama kedua-dua pihak masih tertumpu di Selat Hormuz, laluan perkapalan paling penting bagi bekalan tenaga dunia, yang terus menjadi medan persaingan ketenteraan dan tekanan strategik antara Amerika Syarikat, Iran serta sekutu masing-masing. – Agensi berita.