SANAA: Konflik di Asia Barat terus memuncak apabila kumpulan Houthi di Yaman mengumumkan mereka menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Laut Merah sebagai sebahagian daripada sekatan laut terhadap Riyadh, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak global.

Serangan itu berlaku ketika Amerika Syarikat meneruskan kempen ketenteraannya terhadap Iran untuk malam ke-12 berturut-turut atas arahan Presiden Donald Trump, sekali gus menandakan konflik semakin meluas merentasi Teluk Parsi dan Laut Merah.

Houthi yang disokong Iran berkata mereka melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas dua kapal tangki minyak Saudi, dikenali sebagai Encelia dan Layla, sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai sokongan Riyadh kepada operasi ketenteraan Amerika.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) mengesahkan kapal Encelia diserang sehingga mencetuskan kebakaran di bahagian hadapan kapal, manakala dakwaan serangan terhadap Layla belum disahkan.

Sumber keselamatan maritim berkata Encelia sempat menghantar isyarat kecemasan selepas dilaporkan terkena peluru berpandu berhampiran pelabuhan Jizan di Laut Merah pada lewat 22 Julai.

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Houthi mengisytiharkan sekatan laut terhadap Arab Saudi, satu langkah yang dilihat ramai penganalisis sebagai usaha Iran meningkatkan tekanan terhadap Amerika dan sekutunya.

Kedudukan Houthi yang menguasai kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb menjadikan kumpulan itu mampu mengancam satu lagi laluan perdagangan minyak utama dunia.

Selat Bab el-Mandeb menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan penting bagi kapal yang menuju ke Terusan Suez.

Perkembangan itu berlaku ketika Iran terus mengetatkan kawalan di Selat Hormuz, laluan paling penting bagi eksport minyak dunia.

Gabungan ancaman di Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb berpotensi menjejaskan dua laluan utama penghantaran minyak global, sekali gus meningkatkan risiko kenaikan harga tenaga dan inflasi di banyak negara.

Data perkapalan menunjukkan sekurang-kurangnya lima kapal tangki menukar haluan bagi mengelakkan Selat Bab el-Mandeb, manakala tiga kapal membawa minyak Saudi ke China dan India berpatah balik awal minggu ini.

Sejak Iran mengetatkan kawalan di Selat Hormuz, Arab Saudi meningkatkan penghantaran minyak melalui pelabuhan Yanbu di Laut Merah bagi mengelakkan laluan itu.

Bagaimanapun, jika laluan di selatan Laut Merah turut terjejas, kapal hanya mempunyai pilihan melalui Terusan Suez di utara, menyebabkan perjalanan menjadi lebih lama dan kos penghantaran meningkat.

Beberapa bekas pegawai kanan Amerika Syarikat memberi amaran ancaman Houthi boleh meluaskan lagi konflik dan memaksa Washington meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau itu.

Sementara itu, Encik Trump memberi amaran Amerika akan memusnahkan jambatan atau loji jana kuasa Iran setiap kali Teheran menyerang kapal di Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Markas Tentera Bersama Iran memberi amaran negara itu akan menyasarkan kemudahan minyak, gas, elektrik dan infrastruktur ekonomi di rantau Asia Barat sekiranya ancaman Amerika dilaksanakan.

Media Iran kemudian melaporkan berlaku letupan di satu laluan perkapalan yang dipasang periuk api di selatan Selat Hormuz.

Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, sebuah daripada tiga kapal tangki minyak terbakar manakala dua lagi berpatah balik.

IRGC turut mendakwa Selat Hormuz kini berada sepenuhnya di bawah kawalan Iran dan memberi amaran tiada kapal dibenarkan keluar atau masuk tanpa penyelarasan dengan Teheran.

Di medan perang, Markas Pusat Amerika (Centcom) mengesahkan tenteranya meneruskan serangan ke atas sasaran ketenteraan Iran bagi melemahkan keupayaan negara itu mengancam laluan perkapalan antarabangsa.

Media Iran melaporkan tentera Amerika menyerang dua kali sasaran ketenteraan di Bushehr, berhampiran satu-satunya loji jana kuasa nuklear komersial Iran, menjadikan tiga serangan di kawasan itu dalam tempoh dua hari.

Televisyen pemerintah Iran turut melaporkan dua orang terbunuh dan 11 lagi cedera dalam serangan peluru berpandu Amerika di lintasan sempadan Shalamcheh yang menghubungkan Iran dengan Iraq.

Walaupun Washington mendakwa keupayaan ketenteraan Iran semakin lemah, Teheran masih menunjukkan ia mampu melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron.

Terdahulu Iran turut melancarkan serangan ke atas loji penyahgaraman air dan kemudahan tenaga di Kuwait serta menyerang aset tentera Amerika di Kuwait, Bahrain dan Jordan.

Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 53 orang awam terbunuh dan 592 lagi cedera sejak serangan terbaru bermula pada penghujung bulan Jun lalu.

Sejak perang antara Amerika, Israel dan Iran tercetus pada 28 Februari lalu, ribuan orang dilaporkan terbunuh manakala jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.

Tentera Amerika pula memaklumkan 18 anggota tenteranya terbunuh dan lebih 450 lagi cedera sepanjang konflik itu.

Pada 22 Julai, Encik Trump menghadiri istiadat penghormatan di Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware bagi memperingati empat anggota tentera Amerika yang terbunuh dalam serangan Iran, termasuk tiga di Jordan dan seorang di Iraq.

“Bagi saya, ini antara perkara paling sukar sebagai seorang Presiden. Tetapi ia perlu dilakukan,” katanya sebelum menghadiri upacara berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian ketika berucap di negeri Georgia, Encik Trump merujuk konflik berkenaan sebagai “pertempuran kecil”, meskipun perang itu terus merebak dan mengancam kestabilan pasaran tenaga dunia. – Agensi berita.