Topik diikuti
Pergi ke BHkuBaghdad arah siasatan dakwaan serangan dron ke Arab Saudi
Baghdad arah siasatan dakwaan serangan dron ke Arab Saudi
Pemerintah Yaman sedia hadapi sebarang peningkatan konflik dengan Houthi
Baghdad arah siasatan dakwaan serangan dron ke Arab Saudi
BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Encik Ali al-Zaidi, mengarahkan siasatan segera terhadap dakwaan Arab Saudi bahawa beberapa dron yang menyasarkan kemudahan minyak negara itu dilancarkan dari wilayah Iraq oleh kumpulan militia disokong Iran, ketika ketegangan di Asia Barat terus meningkat.
Arahan itu dikeluarkan selepas Kementerian Pertahanan Arab Saudi mendakwa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan beberapa dron yang menyasarkan kemudahan minyak di Wilayah Timur dan kawasan Riyadh dalam tempoh beberapa jam.
Jurucakap Perdana Menteri Iraq, Encik Sabah al-Numan, berkata Enci Al-Zaidi, mengarahkan agensi keselamatan berkaitan menyiasat dakwaan itu bagi mengenal pasti sama ada wilayah Iraq digunakan sebagai lokasi pelancaran serangan.
“Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa keselamatan yang berkaitan menyiasat kenyataan Kementerian Pertahanan Arab Saudi berhubung dakwaan dron yang menyasarkan negara itu dilancarkan dari wilayah Iraq,” katanya dalam satu kenyataan.
Arab Saudi menuduh serangan itu dilakukan oleh “militia pengganas yang disokong Iran” yang beroperasi di Iraq.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, berkata semua dron berjaya dipintas sebelum mencapai sasaran.
Beliau berkata Arab Saudi mempunyai hak sah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan berhak mengambil tindakan balas pada masa serta tempat yang difikirkan sesuai.
Kementerian Luar Arab Saudi turut mengecam serangan dron itu sebagai tindakan yang “tidak boleh diterima” dan menggesa pemerintah Iraq mengambil segala langkah perlu bagi memastikan wilayahnya tidak digunakan untuk melancarkan serangan terhadap kerajaan itu.
Bagaimanapun, Kumpulan Penentangan Islam di Iraq – sebuah gabungan kumpulan militia Syiah yang disokong Iran, menafikan dakwaan berkenaan.
Gabungan yang sebelum ini mengaku melancarkan serangan terhadap sasaran Amerika Syarikat dan Israel itu menyifatkan tuduhan Arab Saudi sebagai “rekaan semata-mata” bagi menutup kegagalan Riyadh menangani serangan Houthi dari Yaman.
Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa sebarang “tindakan melulu” oleh Arab Saudi di Iraq akan dibalas dengan tindakan yang lebih keras.
Perkembangan itu berlaku ketika pemerintah Yaman memberi amaran bahawa konflik dengan kumpulan Houthi berisiko kembali memuncak susulan siri serangan dron dan sekatan maritim yang dilancarkan kumpulan disokong Iran itu terhadap Arab Saudi.
Menteri Luar Yaman, Encik Afrah al-Zouba, berkata pemerintahnya bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik jika Houthi terus memperluaskan serangan terhadap kepentingan Arab Saudi.
“Pada akhirnya, kami bersedia menghadapi sebarang peningkatan konflik,” katanya pada taklimat media di Riyadh.
Beliau berkata Houthi kini dipercayai cuba meniru strategi Iran di Selat Hormuz dengan menjadikan Selat Bab al-Mandeb sebagai kawasan tekanan strategik terhadap Arab Saudi.
Menurutnya, laluan sempit yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden itu menjadi nadi penting perdagangan global dan penghantaran minyak mentah Arab Saudi ke pasaran dunia.
“Houthi mahu meniru pengalaman Iran di Hormuz. Mereka percaya mampu menguasai Laut Merah,” katanya.
Sebelum ini, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mendakwa melancarkan beberapa serangan ke atas kapal tangki minyak serta kemudahan tenaga negara itu.
Serangan itu meningkatkan kebimbangan bahawa konflik yang sebelum ini lebih tertumpu di Yaman kini boleh merebak ke laluan perdagangan antarabangsa yang strategik.
Encik Al-Zouba berkata keadaan keselamatan di Yaman juga kekal tidak menentu apabila pertempuran antara tentera pemerintah dan pejuang Houthi berlaku hampir setiap hari di beberapa wilayah.
Beliau turut memberi amaran bahawa peningkatan serangan Houthi boleh mengancam kestabilan Semenanjung Arab dan keselamatan bekalan tenaga global.
Gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi mula campur tangan dalam perang saudara Yaman pada 2015 bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa selepas Houthi merampas ibu negara, Sanaa.
Walaupun gencatan senjata yang dimeterai pada 2022 berjaya mengurangkan pertempuran berskala besar, ketegangan antara kedua-dua pihak kembali meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan konflik yang lebih luas di Asia Barat.
Penganalisis berpendapat dakwaan Arab Saudi terhadap militia di Iraq serta ancaman Houthi untuk menguasai Selat Bab al-Mandeb menunjukkan konflik serantau kini semakin saling berkait, dengan kumpulan yang disokong Iran dilihat memperluaskan tekanan terhadap sekutu Amerika Syarikat di rantau itu.
Sekiranya serangan rentas sempadan terus meningkat, kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak dan keselamatan laluan perdagangan utama dunia dijangka kembali menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa. – Agensi berita.