WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan hasrat untuk menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja pengganasan, menamatkan status yang dikenakan sejak 1979 dan membuka laluan kepada perdagangan, pelaburan serta usaha membangunkan semula negara yang musnah akibat perang.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Presiden Donald Trump secara rasmi telah memaklumkan Kongres mengenai keputusan itu dan ia dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 45 hari, kecuali jika ditolak oleh penggubal undang-undang.

“Ini merupakan satu lagi langkah bersejarah oleh Presiden Trump untuk memberi peluang kepada rakyat Syria membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Encik Rubio berkata pengguguran status itu menjadi titik penting dalam hubungan baharu antara Washington dengan Damsyik selepas perubahan kepimpinan di Syria.

“Hari ini menandakan satu detik penting dalam hubungan dua hala Amerika-Syria yang sedang dipulihkan serta sejarah baharu Syria sebagai sebuah negara,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu akan membuka ruang kepada perdagangan antarabangsa, kemasukan pelaburan asing dan usaha membangunkan semula ekonomi Syria yang lumpuh akibat konflik berpanjangan.

“Pengguguran sekatan ini akan membuka peluang perdagangan dan pelaburan antarabangsa, memberi peluang kepada Syria untuk membina semula negaranya.

“Syria yang stabil, bersatu dan hidup aman dengan jirannya bukan sahaja memberi manfaat kepada rantau ini, malah kepada seluruh dunia,” katanya.

Keputusan itu diumumkan selepas Encik Trump mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, di luar Sidang Puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Ankara, Turkey.

Pertemuan itu dilihat sebagai satu lagi isyarat bahawa Washington semakin yakin terhadap kepimpinan baharu Syria selepas kejatuhan pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad pada penghujung 2024.

Encik Trump memuji usaha Encik Sharaa menyatukan negara yang berpecah akibat perang saudara selama lebih sedekad.

“Beliau melakukan tugas yang luar biasa dalam menyatukan Syria. Syria berada dalam keadaan huru-hara di bawah pemerintah terdahulu,” kata Encik Trump.

Encik Sharaa, yang pernah mengetuai kumpulan pemberontak sebelum menjadi presiden, kini berusaha menampilkan imej sebagai pemimpin yang mampu menyatukan rakyat dan memulihkan hubungan Syria dengan masyarakat antarabangsa.

Encik Rubio berkata keputusan Washington dibuat selepas Syria memberikan jaminan rasmi bahawa negara itu tidak akan lagi menyokong sebarang kegiatan keganasan antarabangsa.

Status sebagai negara penaja keganasan selama ini menjadi antara halangan terbesar kepada pemulihan ekonomi Syria kerana ia mengehadkan bantuan keselamatan, urusan kewangan dan pelaburan asing, selain mendedahkan syarikat Amerika kepada risiko undang-undang jika menjalankan perniagaan di negara itu.

Dengan pengguguran status berkenaan, Syria dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan luar bagi membina semula prasarana, sektor kesihatan, pendidikan dan industri yang musnah akibat perang.

Ketika ini hanya Iran, Korea Utara dan Cuba akan kekal dalam senarai negara penaja keganasan Amerika selepas Syria dikeluarkan.

Syria dimasukkan ke dalam senarai itu pada 1979 kerana didakwa menyokong kumpulan bersenjata Palestin dan terbabit dalam beberapa kejadian keganasan antarabangsa.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, status tersebut turut dikaitkan dengan hubungan rapat Encik Assad dengan Iran dan kumpulan Hezbollah di Lebanon.

Walaupun keputusan Encik Trump disambut baik oleh pemerintah Syria, langkah itu dilaporkan menimbulkan kebimbangan di Israel yang sejak sekian lama menganggap Syria sebagai musuh tradisi dan masih meneruskan serangan udara terhadap sasaran tertentu di negara itu.

Sebelum ini, Encik Trump turut menggesa Syria menjalin hubungan damai dengan Israel, namun keputusan menggugurkan status penaja keganasan diteruskan walaupun belum terdapat kemajuan ketara ke arah pemulihan hubungan kedua-dua negara.

Penganalisis berpendapat langkah Washington itu mencerminkan perubahan besar dalam dasar luar Amerika terhadap Syria, dengan keutamaan kini beralih kepada usaha menstabilkan negara berkenaan, mempercepatkan pemulihan ekonomi dan mengurangkan pengaruh Iran di rantau Asia Barat. – Agensi berita.