Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Keselamatan PBB lulus resolusi AS hapus sekatan ke atas Presiden Syria

Nov 7, 2025 | 12:05 PM
Presiden Syria, Ahmad Al Sharaa, menghadiri Sesi Pleno Umum Pemimpin dalam rangka Persidangan Perubahan Iklim PBB COP30 di Belem, Negeri Para, Brazil, pada 6 November 2025.
Presiden Syria, Ahmad Al Sharaa, menghadiri Sesi Pleno Umum Pemimpin dalam rangka Persidangan Perubahan Iklim PBB COP30 di Belem, Negeri Para, Brazil, pada 6 November 2025. - Foto AFP

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 6 November meluluskan satu resolusi yang disokong Amerika Syarikat untuk menghapuskan sekatan terhadap Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, menjelang lawatannya ke Rumah Putih minggu depan - langkah yang dilihat sebagai simbolik tetapi penting dari sudut politik antarabangsa.

Resolusi itu, yang diluluskan dengan 14 undi menyokong dan satu berkecuali oleh China, mengeluarkan nama Encik al-Sharaa dan Menteri Dalam Negerinya, Encik Anas Khattab, daripada senarai sekatan ISIL dan al-Qaeda di bawah PBB.

“Majlis Keselamatan telah menghantar isyarat politik yang kuat bahawa Syria kini memasuki era baru,” kata Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, selepas undian tersebut.

Walaupun sekatan ke atas Encik al-Sharaa sebelum ini sering diketepikan bagi membolehkan beliau melakukan perjalanan rasmi, tindakan PBB ini melambangkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan baru Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu.

“Ini bukan sekadar penghapusan sekatan. Ia adalah tanda bahawa dunia mula menerima Syria yang baru bebas daripada pemerintahan keluarga Assad,” ujar Encik Waltz lagi.

Encik Al-Sharaa, bekas pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), mengetuai serangan besar pada November 2024 yang menumbangkan pemerintahan Assad hanya dalam tempoh 12 hari, sekali gus menamatkan 53 tahun pemerintahan keluarga tersebut.

Kejatuhan rejim Assad dilihat sebagai detik bersejarah, hampir 14 tahun selepas rakyat Syria bangkit menentang pemerintah yang menindas mereka pada 2011, yang kemudiannya mencetuskan perang saudara berdarah.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dijangka menerima lawatan rasmi Encik al-Sharaa ke Washington minggu depan, memuji langkah PBB itu sebagai “satu langkah penting ke arah keamanan dan pembinaan semula Syria.”

Encik Trump, yang pernah bertemu al-Sharaa di Riyadh pada Mei lalu, berkata beliau melihat pemimpin baharu Syria itu sebagai “seorang tokoh tegas dengan sejarah perjuangan yang kuat.”

“Presiden al-Sharaa telah menunjukkan kemajuan besar dalam usaha menamatkan konflik dan memulihkan kestabilan di Syria,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Encik Marco Rubio menyatakan bahawa Washington sedang bekerjasama dengan Kongres untuk menilai semula sekatan sedia ada di bawah Akta Perlindungan Orang Awam Syria Caesar 2019 - antara undang-undang paling ketat terhadap Damsyik.

Dalam kenyataan bersama, dua ahli kanan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, Senator Jim Risch (Republikan) dan Cik Jeanne Shaheen (Demokrat), menyambut baik tindakan PBB dan menyeru Kongres untuk “mengembalikan ekonomi Syria ke abad ke-21.”

“Sudah tiba masanya kita mengutamakan pembinaan semula dan kestabilan berbanding pengasingan yang hanya menambah penderitaan rakyat Syria,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Kementerian Luar Syria menyambut baik keputusan itu, dengan menulis di media sosial bahawa Syria “menghargai sokongan Amerika Syarikat dan negara-negara sahabat atas sokongan mereka terhadap Syria dan rakyatnya.”

Lawatan rasmi al-Sharaa ke Washington minggu depan dijangka menjadi kunjungan pertama oleh seorang presiden Syria ke Amerika sejak kemerdekaan negara itu pada 1946.
Walaupun Israel dan Syria secara rasmi masih berada dalam keadaan perang, Encik Trump menyatakan keyakinannya bahawa kedua-dua negara “mampu memulihkan hubungan” dalam tempoh terdekat.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Encik al-Sharaa semakin aktif di arena antarabangsa. Pada September lalu, beliau menjadi pemimpin Syria pertama dalam hampir enam dekad berucap di Perhimpunan Agung PBB di New York.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Syria kini sedang “mengembalikan tempatnya yang sah di kalangan negara-negara dunia” dan menyatakan solidariti terhadap rakyat Gaza.
“Syria bukan lagi negara yang terperangkap dalam konflik, tetapi sebuah negara yang sedang membina masa depan baharu,” katanya di PBB.

Langkah penghapusan sekatan ini dilihat sebagai titik permulaan kepada kemasukan semula Syria ke dalam masyarakat antarabangsa menandakan peralihan daripada perang kepada proses diplomasi dan pembangunan semula negara yang musnah akibat peperangan selama lebih sedekad. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg