BANDAR GAZA: Mesir sedang melatih ratusan pegawai polis Palestin sebagai persiapan untuk menyepadukan mereka dalam pasukan keselamatan di Gaza pasca perang, menurut seorang pegawai tempatan Palestin.
Menteri Ehwal Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, mengumumkan rancangan untuk melatih 5,000 pegawai bagi Gaza semasa rundingan dengan Perdana Menteri Penguasa Palestin (PA), Dr Mohammad Mustafa, pada Ogos.
Kumpulan pertama seramai lebih 500 pegawai telah dilatih di Kahirah pada Mac dan sejak September, kursus dua bulan itu telah melatih ratusan lagi pegawai, menurut pegawai tempatan itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Pegawai itu berkata semua anggota pasukan itu akan berasal dari Jaluran Gaza dan akan ditampung oleh PA, yang berpangkalan di Ramallah di Tebing Barat.
“Saya sangat gembira dengan latihan ini.
“Kami mahu perang dan pencerobohan ini berakhir secara kekal dan kami bersemangat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat,” kata seorang pegawai polis Palestin berusia 26 tahun.
Tambahnya, beliau berharap pasukan keselamatan itu akan bersifat bebas, setia hanya kepada Palestin dan tidak terikat kepada pakatan atau matlamat dari luar.
Latihan itu juga menarik perhatian peranan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin dan menekankan pentingnya melindungi impian untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bebas.
Seorang pegawai kanan keselamatan PA mengesahkan bahawa presidennya, Encik Mahmud Abbas, telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Encik Ziad Hab al-Reeh, untuk menyelaraskan urusan latihan itu dengan Mesir.
Dalam rundingan yang ditaja oleh Mesir pada lewat 2024, gerakan-gerakan Palestin - termasuk dua gerakan utama, Hamas dan Fatah - bersetuju untuk membentuk pasukan polis dengan kira-kira 10,000 pegawai.
Separuh daripada mereka akan dilatih oleh Mesir manakala bakinya akan datang daripada pasukan polis sedia ada di Gaza, yang berada di bawah kawalan Hamas sejak kumpulan militan itu merampas kuasa pada 2007.
Di bawah perjanjian itu, pasukan keselamatan tersebut akan diselia oleh sebuah jawatankuasa teknokrat yang diluluskan oleh gerakan Palestin.
Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) juga mahu melatih hingga 3,000 pegawai polis Palestin di Jaluran Gaza, di bawah skim serupa dengan skim yang dikendalikannya di Tebing Barat. EU telah membiayai misi latihan polis di Tebing Barat sejak 2006, dengan anggaran belanjawan sekitar €13 juta ($19.54 juta).
Bagaimanapun, pemerintah Israel menentang untuk memberi sebarang peranan kepada Hamas atau PA di Gaza selepas perang berakhir.
Hamas, yang telah menyatakan bahawa ia tidak lagi mahu memerintah Gaza, menegaskan bahawa ia tidak berhasrat untuk hilang dan mahu kekal sebagai bahagian utama dalam kehidupan politik di Palestin. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg