Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS bedil tapak tentera Iran, Teheran balas sasar pangkalan Amerika
AS perluas kempen asingkan ekonomi Iran, EU, Britain, UAE dilapor sedia sokong tekanan ekonomi AS
WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran melancarkan serangan balas terhadap satu sama lain pada 1 September, mencetuskan peningkatan ketegangan terbaru selepas beberapa minggu pertempuran antara kedua-dua negara berkurangan.
Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata tenteranya melancarkan gelombang serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran sebagai tindak balas terhadap percubaan serangan ke atas kapal komersial di Selat Hormuz dan anggota tentera Amerika di rantau itu.
Sasaran serangan termasuk tapak pertahanan udara, sistem radar, aset dan kemudahan maritim, keupayaan memasang periuk api serta kemudahan komunikasi milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
“Lebih 50,000 anggota tentera Amerika kini beroperasi di seluruh Timur Tengah dan kekal berwaspada serta bersedia melaksanakan operasi yang diarahkan Panglima Tertinggi,” kata Centcom.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyifatkan serangan itu sebagai “besar dan kuat”, sambil berkata ia dilakukan sebagai tindak balas terhadap percubaan Iran memasang periuk api di Selat Hormuz.
Beliau turut memberi amaran bahawa Iran akan berdepan serangan lebih hebat sekiranya membalas tindakan Amerika.
“Jika Iran bertindak balas terhadap serangan yang sangat wajar ini, mereka akan diserang sekali lagi pada tahap yang jauh lebih keras dan tinggi,” katanya menerusi media sosial.
Beberapa jam kemudian, IRGC mengumumkan ia melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan serta aset Amerika di rantau itu.
Iran mendakwa antara sasaran ialah kemudahan yang menempatkan tentera Amerika di Jordan, Bahrain dan Iraq.
IRGC mendakwa serangannya mengorbankan sejumlah besar anggota tentera Amerika serta memusnahkan kemudahan penting dan helikopter tempur.
Namun, dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Jordan berkata sistem pertahanan udaranya memintas 10 daripada 13 peluru berpandu balistik Iran yang memasuki ruang udaranya, manakala tiga lagi jatuh di kawasan terpencil tanpa menyebabkan kemalangan jiwa.
Kuwait pula melaporkan menjadi sasaran serangan dron Iran, sementara dalam serangan terdahulu, Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata tenteranya bertindak terhadap sebuah dron Iran.
Pertempuran terbaru berlaku hanya tiga hari selepas kedua-dua negara berbalas serangan buat kali pertama dalam tempoh sebulan.
Namun, serangan pada 1 September dilaporkan lebih meluas dan sengit, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa konflik yang berlarutan sejak enam bulan lalu boleh kembali memuncak.
Media Iran melaporkan letupan di beberapa kawasan di selatan negara itu, termasuk Sirik, Bandar Abbas, Pulau Qeshm dan Jask di wilayah Hormozgan, selain Konarak, Chabahar, Jiroft dan Asaluyeh.
Dua pegawai Iran berkata serangan Amerika menyebabkan kerosakan besar di beberapa lokasi, termasuk sebuah pangkalan tentera di Bandar Abbas dan kawasan berhampiran lapangan terbang komersial di Pulau Qeshm.
Serangan turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Hormozgan.
Iran mendakwa orang awam turut menjadi mangsa.
Timbalan Gabenor Hormozgan, Encik Ahmad Nafisi, berkata sebuah majlis perkahwinan dan sebuah rumah di Kuhestak terkena serangan.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pada awalnya melaporkan empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dan 53 yang lain cedera.
Pegawai Iran kemudian berkata sekurang-kurangnya lima orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang wanita, terbunuh dalam serangan ke atas majlis perkahwinan di daerah Sirik.
Keadaan sebenar serangan itu bagaimanapun belum dapat disahkan secara bebas.
Centcom berkata ia mengetahui mengenai laporan korban awam tetapi menegaskan tentera Amerika tidak menyasarkan orang awam.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berikrar Teheran akan bertindak balas dengan tegas.
“Iran akan membalas jenayah kejam ini dengan ketegasan,” katanya.
Komand utama tentera Iran, Markas Pusat Khatam al-Anbiya, pula memberi amaran angkatan bersenjatanya akan membalas apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan udara” Amerika dengan serangan lebih keras.
Episod terbaru itu menunjukkan betapa sukarnya Washington dan Teheran mencari jalan keluar daripada konflik yang bermula pada akhir Februari lalu.
Memorandum persefahaman yang dimeterai kedua-dua pihak pada akhir Jun gagal bertahan, sementara usaha mencapai penyelesaian mengenai Selat Hormuz turut menemui jalan buntu.
Iran sejak itu menyerang kapal yang melalui selat berkenaan, laluan penting perdagangan minyak dan gas dunia, sekali gus menjejaskan keupayaan beberapa sekutu Amerika mengeksport tenaga.
Harga minyak melonjak kira-kira 4 peratus selepas serangan terbaru diumumkan.
Penganalisis memberi amaran serangan secara berbalas-balas mungkin menjadi corak baru konflik tersebut.
Zamil kanan Carnegie Endowment for International Peace, Encik Aaron David Miller, berkata belum kelihatan perubahan asas daripada kedua-dua pihak yang boleh membuka jalan kepada penyelesaian.
Presiden Council on Foreign Relations, Encik Michael Froman, pula menjangkakan tindakan “serang dan balas” akan berterusan untuk suatu tempoh.
“Ini mungkin keadaan normal yang baru bagi kita,” katanya.
Dalam pada itu, pemerintahan Trump terus meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran menerusi sekatan dan kempen “Operasi Pemulauan Ekonomi”.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata di luar mesyuarat menteri kewangan Kumpulan 20 (G20) bahawa Washington menerima sokongan besar bagi usaha tersebut.
Beliau berkata Kesatuan Eropah (EU), Britain dan UAE menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan Amerika dalam meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Iran.
Encik Bessent percaya kempen itu boleh mencapai titik perubahan “dalam beberapa minggu atau bulan”.
Namun, peningkatan serangan terbaru menunjukkan strategi tekanan ekonomi Washington belum berjaya meredakan konfrontasi ketenteraan.
Sebaliknya, dengan Selat Hormuz masih menjadi titik pertikaian utama dan kedua-dua pihak terus menunjukkan kesediaan untuk menyerang balas, risiko konflik kembali meningkat kekal tinggi. - Agensi berita
