Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS serang pelancar periuk api Iran di Selat Hormuz
Iran serang balas tentera AS di Jordan selepas serangan AS di Pulau Larak - tingkat semula ketegangan selepas hampir sebulan
WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas dua pelancar Iran di sebuah pulau di Selat Hormuz pada 30 Ogos selepas mendakwa ia sedang digunakan untuk menyebarkan periuk api laut ke laluan perkapalan strategik itu.
Beberapa jam kemudian, Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke arah pangkalan tentera Amerika di Jordan, sekali gus meningkatkan semula ketegangan selepas hampir sebulan tanpa serangan langsung Amerika terhadap Iran.
Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata pasukannya menyerang dua pelancar di Pulau Larak selepas mengesan anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) bersiap untuk melancarkan roket yang membawa periuk api laut ke Selat Hormuz.
“Awal hari ini (30 Ogos), pasukan Amerika menyerang dua pelancar Iran di Pulau Larak,” kata jurucakap Centcom, Kapten Tentera Laut Tim Hawkins.
Menurut beliau, anggota IRGC dikesan “bersiap untuk melancarkan roket yang membawa periuk api laut ke Selat Hormuz”.
Serangan itu adalah yang pertama diakui Pentagon terhadap Iran sejak 29 Julai dan berlaku beberapa hari selepas tentera Amerika mengumumkan operasi membersihkan periuk api daripada laluan perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz telah selesai.
IRGC berkata serangan Amerika menyebabkan kematian dan kecederaan serta memberi amaran tindakan itu akan dibalas.
Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan dua orang terbunuh, tetapi angka itu belum dapat disahkan secara bebas.
Beberapa jam kemudian, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sasaran tentera Amerika di Jordan.
Menurut televisyen pemerintah Iran, IRGC menyasarkan prasarana teknikal, kemudahan penyelenggaraan dan kawasan pesawat pejuang di pangkalan yang dikendalikan Amerika di King Hussein dan Al-Azraq.
Iran mendakwa serangan itu menyebabkan “kerosakan besar”.
Bagaimanapun, seorang sumber yang mengetahui mengenai serangan itu berkata beberapa peluru berpandu Iran yang dilancarkan ke arah Jordan berjaya dipintas.
Beberapa ribu anggota tentera Amerika ditempatkan di pangkalan di Jordan.
Pertukaran serangan terbaru itu berlaku ketika perang Amerika-Iran melepasi tempoh enam bulan dan ketika pertempuran antara kedua-dua pihak sebelum ini menunjukkan tanda-tanda semakin reda.
Serangan Amerika kali ini dilihat lebih terbatas berbanding pengeboman besar-besaran sebelum ini, tetapi tindakan saling membalas meningkatkan risiko tercetusnya semula serangan ketenteraan lebih luas.
Sejak beberapa minggu lalu, pemerintahan Presiden Donald Trump memberi tumpuan kepada apa yang disifatkannya sebagai “perang ekonomi” terhadap Teheran menerusi sekatan dan tekanan ke atas eksport serta bekalan Iran, berbanding serangan ketenteraan secara langsung.
Presiden Trump sebelum ini berkata semua periuk api di perairan antarabangsa Selat Hormuz sudah diletupkan atau dialihkan.
Encik Trump turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal atau bot yang memasang periuk api baharu akan dimusnahkan.
Amerika sebelum ini memberi amaran kepada Iran supaya tidak memasang periuk api baharu di perairan antarabangsa.
Namun, Teheran berulang kali menegaskan haknya untuk mengawal pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.
Serangan Amerika yang terakhir diketahui terhadap Iran berlaku pada akhir Julai, ketika konflik kedua-dua negara menemui jalan buntu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Washington turut mengancam mengenakan sekatan berat terhadap negara yang menyokong Iran.
Serangan itu meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dan Tehran, khususnya membabitkan Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia.
Amerika dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu, sebelum Iran membalas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Konflik antara Iran dan Amerika kini memasuki bulan ketujuh.
Centcom berkata tindakan terbarunya bertujuan menghalang Iran daripada menyebarkan semula periuk api di Selat Hormuz.
Sebelum ini, Ketua Centcom, Laksamana Brad Cooper, berkata pasukan Amerika telah membersihkan periuk api yang dipasang Iran di laluan perkapalan antarabangsa di selat itu.
“Pasukan AS memantau kawasan ini dengan teliti dan kekal bersedia untuk melindungi kelancaran perdagangan melalui laluan air penting ini,” kata Kapten Hawkins.
Tentera Laut Amerika kini membantu mengiringi kapal dagang melalui bahagian selatan Selat Hormuz di perairan Oman.
Kapal perang, pesawat Tentera Udara dan helikopter Tentera Darat Amerika turut memantau kawasan itu dan bersedia bertindak terhadap pasukan Iran sekiranya kapal dagang diancam.
Namun, perjalanan melalui Selat Hormuz kekal berbahaya.
Dua kelasi terbunuh dalam tempoh dua minggu lalu dan seorang lagi masih hilang. Sekurang-kurangnya 71 serangan terhadap kapal dilaporkan sejak perang bermula, menyebabkan 19 kelasi terbunuh.
Selat Hormuz menjadi antara medan utama konflik sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran pada 28 Februari.
Sebelum perang, kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia melalui selat sempit itu.
Amerika dan Iran menandatangani perjanjian pada Jun untuk membuka semula Selat Hormuz.
Lebih 60 kapal sehari sempat melalui laluan itu selama tiga hari sebelum perjanjian tersebut gagal bertahan.
Amerika kemudian mengenakan semula sekatan laut terhadap pelabuhan Iran, manakala Teheran cuba menegaskan kawalannya ke atas Selat Hormuz dengan memperkenalkan sistem yang mengenakan bayaran kepada kapal untuk melaluinya.
Gangguan berterusan menyebabkan banyak syarikat perkapalan mengelakkan laluan tersebut.
Arab Saudi pula meningkatkan eksport minyak mentah melalui Laut Merah bagi mengurangkan pergantungan kepada Selat Hormuz.
Harga minyak meningkat selepas berita mengenai serangan terbaru Amerika.
Minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, kembali melepasi AS$90 ($114) setong kepada AS$90.31, manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat kepada AS$85.41 setong.
Usaha diplomatik yang diterajui pengantara termasuk Pakistan dan Qatar setakat ini gagal menghasilkan penyelesaian berkekalan.
Gencatan senjata yang dipersetujui pada April berjaya menghentikan fasa pertempuran paling sengit, manakala satu memorandum persefahaman ke arah perjanjian damai muktamad ditandatangani pada Jun.
Bagaimanapun, serangan secara berkala, terutama di sekitar Selat Hormuz, terus berlaku.
Sebelum serangan terbaru, kali terakhir Amerika menyerang Iran adalah pada 29 Julai apabila Centcom membedil puluhan sasaran termasuk pusat arahan, kemudahan peluru berpandu dan dron serta tapak pemantauan pantai.
Pada awal Julai, Centcom turut melancarkan serangan terhadap Iran selama 13 malam berturut-turut.
Sepanjang konflik itu, Iran membalas dengan menyerang kemudahan Amerika dan sekutunya di rantau Teluk, termasuk sasaran di Kuwait, Oman, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketegangan terbaru di Selat Hormuz kini menimbulkan persoalan sama ada tempoh serangan ketenteraan yang semakin berkurangan sejak beberapa minggu lalu akan berakhir, sekali gus membuka semula risiko peningkatan konflik antara Washington dengan Teheran. -Agensi berita
