Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump timbang serangan baharu terhadap Iran selepas pertempuran kembali tercetus
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pegawai kanan pentadbirannya dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk melancarkan semula serangan ketenteraan terhadap Iran bagi menghalang Teheran daripada menyerang kapal di Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan kebimbangan perang yang berlarutan enam bulan itu kembali memuncak.
Menurut laporan Axios yang memetik tiga pegawai Amerika, rancangan yang sedang dipertimbangkan itu disediakan Markas Pusat Amerika (Centcom) dan mendapat sokongan Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth.
Namun, pilihan yang dibincangkan bukan untuk kembali kepada perang berskala besar.
Sebaliknya, Amerika mungkin melancarkan serangan terhad dan berkala terhadap tapak peluru berpandu serta radar Iran bagi melemahkan keupayaan Teheran mengancam kapal yang melalui Selat Hormuz.
Seorang pegawai menyifatkan kemungkinan operasi itu sebagai usaha “memotong rumput” – istilah yang digunakan dalam kalangan pegawai tentera Israel bagi menggambarkan serangan berkala untuk melemahkan keupayaan ketenteraan pihak lawan.
“Presiden mempunyai semua pilihan yang boleh digunakan. Iran mahu mencapai persetujuan, tetapi mereka sentiasa terlambat dan tidak melakukan secukupnya,” kata seorang pegawai Rumah Putih kepada Axios.
Laporan itu muncul beberapa jam selepas Encik Trump mengancam akan menyerang Iran dengan amat dahsyat menyusuli pertukaran serangan antara kedua-dua pihak buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan.
“Kami akan menyerang mereka dengan keras,” kata Encik Trump kepada seorang wartawan Fox News.
“Akan ada tindak balas.”
Amerika pada lewat 30 Ogos melancarkan serangan terhadap pelancar roket Iran di Pulau Larak di Selat Hormuz.
Washington berkata serangan itu bertujuan menghalang Iran daripada menempatkan periuk api di laluan perkapalan strategik tersebut.
Media pemerintah Iran melaporkan dua orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan itu.
Teheran kemudian membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Jordan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dengan mendakwa ia menyasarkan kedudukan tentera Amerika di kedua-dua negara.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa serangannya terhadap dua pangkalan udara Amerika di Jordan menyebabkan kerosakan besar.
Tentera Jordan bagaimanapun berkata ia memintas lapan peluru berpandu, tanpa menyatakan dari mana ia dilancarkan.
Encik Trump pula berkata semua peluru berpandu yang menyasarkan tentera Amerika berjaya ditembak jatuh kecuali satu yang dinilai tidak mendatangkan ancaman.
Iran turut mendakwa menyasarkan anggota tentera Amerika di sebuah pangkalan udara di UAE dan menembak jatuh sebuah dron Amerika di ruang udara Selat Hormuz.
Abu Dhabi mengesahkan sebuah dron dipintas di perairan negara itu tetapi menolak dakwaan bahawa Pangkalan Udara Al Minhad menjadi sasaran, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Pertukaran serangan itu menamatkan beberapa minggu keadaan yang agak tenang selepas Washington mengalihkan tumpuan kepada tekanan ekonomi terhadap Iran.
Namun, Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada 31 Ogos memberi isyarat bahawa Teheran masih mahu mengelakkan perang kembali memuncak.
“Kami terus berusaha mencari jalan menuju persetujuan dan persefahaman, dan kami percaya meneruskan perang bukan untuk kepentingan kami mahupun rantau ini,” katanya pada satu sidang puncak di Kyrgyzstan.
“Penyelesaian kepada masalah yang ada ialah dialog dan kerjasama.”
Selat Hormuz kekal menjadi punca utama kebuntuan antara Washington dengan Teheran.
Iran terus menyekat laluan kapal dagang di selat itu sejak perang tercetus pada 28 Februari selepas gelombang serangan mengejut Amerika dan Israel terhadap Iran.
Sebelum perang, kira-kira satu perlima minyak dunia melalui Selat Hormuz, menjadikannya antara laluan tenaga paling penting di dunia.
Walaupun pergerakan kapal masih terjejas selepas enam bulan, Encik Trump mendakwa Tentera Laut Amerika kini mempunyai “kawalan penuh” terhadap selat tersebut.
Washington minggu lalu turut mengumumkan bahawa operasi membersihkan bahan letupan di laluan itu telah selesai.
Iran bagaimanapun menegaskan ia masih menguasai laluan perairan tersebut.
IRGC pada 31 Ogos mendakwa sebuah kapal tangki minyak terbakar berhampiran Selat Hormuz selepas terkena dua periuk api ketika cuba melalui apa yang disifatkannya sebagai “laluan haram”.
Tentera Amerika menolak dakwaan itu sebagai maklumat palsu dan menegaskan tiada kapal terkena periuk api di Selat Hormuz.
Pertikaian terbaru berlaku selepas usaha diplomatik selama berbulan-bulan gagal menghasilkan penyelesaian berkekalan.
Satu gencatan senjata dan memorandum persefahaman yang dicapai sebelum ini runtuh, menyebabkan serangan berselang-seli kembali berlaku sebelum beransur reda.
Sebelum serangan terbaru di Pulau Larak, Amerika kali terakhir menyerang Iran pada 29 Julai, selepas melancarkan serangan selama 13 malam berturut-turut pada awal bulan itu.
Dengan diplomasi terus menemui jalan buntu, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menuduh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memperdaya Washington sehingga terheret ke dalam perang dengan Iran.
Kini, pertimbangan Washington untuk kembali melancarkan serangan terhad menunjukkan bahawa selepas enam bulan perang, kedua-dua pihak masih belum menemui jalan keluar daripada kebuntuan – terutama mengenai siapa yang menguasai Selat Hormuz. - Agensi berita
