Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Timur Tengah untuk menghantar bantuan kepada orang awam yang terjejas di Gaza, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Ini setelah Israel melarang Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di dalam Israel dan Baitulmakdis Timur.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan yang difailkan oleh Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), pada 12 November.
Encik Zhulkarnain bertanya bagaimana pemerintah akan memastikan bantuan kemanusiaan atau bantuan kewangan dari Singapura dapat terus disampaikan untuk membantu orang awam Palestin berikutan larangan itu.
Dalam jawapannya, Dr Balakrishnan berkata pemerintah akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Timur Tengah dan meneroka cadangan lain untuk menyampaikan bantuan tepat pada masanya melalui cara yang paling berkesan.
Ini termasuk bekerjasama dengan Mesir, Jordan, Cyprus dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan agensi kemanusiaan seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Pertubuhan Amal Hashemite Jordan.
“Singapura amat bimbang tentang kelulusan undang-undang baru-baru ini dalam Knesset Israel yang melarang kegiatan UNRWA dalam wilayah Israel dan melarang hubungan pihak berkuasa negara dengan UNRWA.
“Ini akan menghalang pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Kami menggesa semua pihak supaya menghormati dan menyokong peranan kemanusiaan yang dimainkan oleh agensi PBB di Wilayah Palestin, membenarkan mereka akses tanpa halangan untuk menjalankan kerja mereka, dan memastikan keselamatan kakitangan mereka,” kata Dr Balakrishnan.
Tambahnya, sehingga kini, Singapura telah menyumbang lima pakej bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Ini termasuk mengerahkan Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), yang menghantar bekalan perubatan, selimut, barangan sanitasi, penapis air dan pek makanan ke Al Arish, Mesir, yang kemudiannya diangkut ke Gaza pada akhir 2023.
Pada Mac, RSAF turut mengerahkan pesawat C-130 dari Jordan untuk menggugurkan lebih 20 tan bekalan makanan terus ke Gaza.
Dr Balakrishnan menambah bantuan keempat Singapura yang diumumkan pada Julai, terdiri daripada beras dan sardin dalam tin, telah tiba di Cyprus dan akan dihantar ke Gaza dengan bantuan UAE.
Sejak konflik bermula, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah menderma $8.1 juta kepada UNRWA dan $2.7 juta kepada Unicef.
Palang Merah Singapura juga telah menyumbang barangan kemanusiaan bernilai AS$100,000 ($130,277) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir pada November 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg