Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS beri amaran sekutu Timur Tengah bersiap hadapi serangan ke atas Iran selepas 3 Nov
AS beri amaran sekutu Timur Tengah bersiap hadapi serangan ke atas Iran selepas 3 Nov
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada beberapa negara Timur Tengah dan sekutu serantaunya supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan tentera baru terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.
Amaran itu turut membabitkan kemungkinan Iran melancarkan serangan balas terhadap negara yang mempunyai hubungan ketenteraan atau keselamatan dengan Washington, sekali gus meningkatkan kebimbangan konflik lebih besar bakal tercetus di rantau tersebut.
Menurut dua diplomat yang diberi taklimat mengenai perkara itu, pegawai diplomatik dan pertahanan Amerika telah meminta negara sekutu meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan operasi ketenteraan baru.
Bagaimanapun, kedua-dua diplomat yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan membincangkan perkara sensitif itu menegaskan bahawa Presiden Donald Trump belum membuat keputusan muktamad untuk menyerang Iran.
Encik Trump sebelum ini beberapa kali menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan tindakan ketenteraan selepas pilihan raya penting Amerika selesai.
Rumah Putih dan pegawai Amerika enggan mengulas mengenai amaran terbaru tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika usaha diplomatik sedang dipergiat bagi mengelakkan pertempuran baru antara AS, Israel dan Iran.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata Teheran masih memberikan peluang kepada rundingan damai dan terus berhubung rapat dengan negara pengantara bagi mencari penyelesaian.
Dalam kenyataan menerusi platform X pada 28 Oktober, beliau berkata Iran sedang meneliti beberapa cadangan berdasarkan pelan damai tujuh hari yang dikemukakan Tehran bulan lalu.
Cadangan itu sebelum ini ditolak Encik Trump, namun Iran masih mahu menjadikannya asas bagi mencapai semula gencatan senjata.
Menurut sumber diplomatik yang dipetik Al Arabiya English, Iran kini berusaha memendekkan tempoh pelaksanaan perjanjian daripada tujuh kepada empat hari.
Rundingan turut dijalankan bagi mengadakan pertemuan di Turkey sebelum 4 November, dengan matlamat mengelakkan serangan ketenteraan baru.
Antara perkara utama yang sedang dibincangkan ialah pembukaan semula Selat Hormuz, penamatan sekatan tentera laut AS terhadap pelabuhan Iran dan penyelesaian pertikaian berhubung program nuklear Tehran.
Cadangan itu turut merangkumi kemungkinan membenarkan pemeriksa antarabangsa memasuki kemudahan nuklear Iran.
Menurut laporan Axios, Qatar mengetuai usaha pengantaraan dengan sokongan Arab Saudi, Pakistan, Mesir dan Turkey.
Seorang perunding Qatar, Encik Ali al-Thawadi, dilaporkan mengunjungi Tehran minggu ini bagi membincangkan kemungkinan mencapai persetujuan dengan pentadbiran Encik Trump.
Bagaimanapun, perbezaan pendirian antara kedua-dua pihak masih menjadi halangan utama.
Washington mahu Iran menyerahkan simpanan uranium yang telah diperkaya, manakala Tehran mendesak AS terlebih dahulu menarik balik sekatan tentera laut dan membebaskan aset Iran yang dibekukan.
Pengantara kini berusaha mencari jalan tengah bagi membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan tuntutan masing-masing secara berperingkat.
Satu pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah menghidupkan semula perjanjian antara Iran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dicapai di Kaherah pada September 2025.
Perjanjian itu menyediakan rangka kerja bagi membolehkan pemeriksa antarabangsa kembali memeriksa kemudahan nuklear Iran.
Bagaimanapun, pelaksanaannya digantung selepas sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Tehran dikuatkuasakan semula pada bulan berikutnya.
Di bawah cadangan terbaru, Iran mungkin diberikan kelonggaran sekatan tertentu, termasuk kebenaran mengeksport minyak dan menggunakan sebahagian dana yang dibekukan untuk membeli makanan serta bekalan kemanusiaan.
Sebagai balasan, Tehran perlu membenarkan pemeriksa IAEA memasuki kemudahan nuklear yang rosak akibat serangan AS dan Israel sebelum ini.
Pegawai Iran dilaporkan akan mendapatkan persetujuan Pemimpin Agung, Mojtaba Khamenei, mengenai cadangan tersebut dalam beberapa hari akan datang.
Ketua Pengarah IAEA, Encik Rafael Grossi, turut menyatakan bahawa perjanjian Kaherah boleh dijadikan asas bagi memulihkan pemeriksaan nuklear antarabangsa.
Sementara itu, laporan media Amerik mendedahkan Naib Presiden JD Vance didakwa menghantar surat kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Encik Mohsen Rezaei, bagi meneroka kemungkinan rundingan langsung.
Menurut The Wall Street Journal dan The New York Times, surat yang disampaikan melalui pengantara Qatar itu bertujuan menguji kesediaan kedua-dua negara mencapai persefahaman bagi mengelakkan serangan baru.
Bagaimanapun, Encik Trump menafikan laporan bahawa beliau mengarahkan Encik Vance memulakan rundingan damai dengan Iran.
Walaupun usaha diplomatik diteruskan, persiapan ketenteraan dilaporkan semakin meningkat.
Ketua tentera Israel, Encik Eyal Zamir, dilaporkan membincangkan persediaan menghadapi kemungkinan serangan terhadap Iran dengan Ketua Pemerintah Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, pada 26 Oktober.
Menurut Axios, operasi yang sedang dipertimbangkan mungkin membabitkan serangan intensif selama seminggu terhadap pemimpin Iran, kemudahan tenaga, tapak nuklear dan prasarana penting negara itu.
Bagaimanapun, Arab Saudi dilaporkan menggesa Washington memberikan lebih banyak masa kepada usaha diplomatik sebelum mengambil tindakan ketenteraan.
Riyadh bimbang serangan baru akan mencetuskan tindak balas Iran dan mengancam kestabilan seluruh Timur Tengah.
Kebimbangan itu turut berkait rapat dengan Selat Hormuz, laluan perdagangan tenaga paling penting di rantau tersebut.
Sebelum konflik, kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui selat berkenaan.
Sekatan lalu lintas kapal oleh Iran dan tindakan Amerika menyekat pelabuhan Tehran telah mengganggu perdagangan tenaga serta meningkatkan tekanan terhadap ekonomi serantau.
Dalam kenyataan kepada Axios pada 28 Oktober, Encik Trump mengesahkan rundingan sedang berlangsung melalui pengantara, namun beliau tidak pasti sama ada usaha itu akan berjaya.
Beliau menegaskan Washington mahu menyelesaikan pertikaian dengan Iran, sama ada melalui perjanjian atau tindakan lain.
Dengan pilihan raya Amerika semakin hampir, negara Timur Tengah kini berdepan dua kemungkinan — kejayaan diplomasi yang membuka jalan kepada gencatan senjata atau serangan baru yang boleh mencetuskan konflik lebih luas.
Buat masa ini, keputusan akhir terletak pada Encik Trump, sementara pengantara serantau berlumba dengan masa untuk mengelakkan satu lagi peperangan besar di Timur Tengah. – Agensi berita