Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran teliti tawaran AS ketika Trump sifatkan rundingan damai di ‘garisan penentu’
Iran teliti tawaran AS ketika Trump sifatkan rundingan damai di ‘garisan penentu’
Iran teliti tawaran AS ketika Trump sifatkan rundingan damai di ‘garisan penentu’
TEHERAN: Iran mengesahkan sedang meneliti cadangan baharu daripada Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik di Asia Barat, ketika Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran bahawa rundingan kini berada di “garisan penentu” antara perdamaian dan serangan baharu.
Encik Trump berkata rundingan yang sedang berlangsung boleh menghasilkan perjanjian dalam tempoh terdekat, namun menegaskan Washington bersedia melancarkan tindakan ketenteraan sekiranya Teheran gagal memenuhi tuntutan Amerika.
“Ia berada tepat di garisan penentu. Jika kami tidak mendapat jawapan yang betul, keadaan boleh berubah dengan sangat pantas. Kami semua sudah bersedia,” katanya kepada wartawan di Pangkalan Bersama Andrews berhampiran Washington.
Encik Trump berkata perjanjian mungkin dicapai “dalam masa beberapa hari”, tetapi Iran perlu memberikan “jawapan yang 100 peratus memuaskan”.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata Teheran telah menerima pandangan daripada pihak Amerika dan sedang menilai kandungannya.
Beliau turut mengulangi tuntutan utama Iran, termasuk pembebasan aset negara itu yang dibekukan serta penamatan sekatan Amerika terhadap pelabuhan Iran.
“Kami telah menerima pandangan pihak Amerika dan sedang menelitinya,” katanya.
Sementara itu, ketua perunding Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menuduh Washington cuba menghidupkan semula perang selepas Encik Trump mengancam untuk melancarkan serangan baharu jika Iran enggan menerima perjanjian yang dicadangkan.
Menurut Encik Ghalibaf, Iran akan memberikan tindak balas keras sekiranya konflik kembali tercetus.
“Pergerakan musuh secara terbuka dan tersembunyi menunjukkan mereka masih belum meninggalkan objektif ketenteraan dan sedang berusaha memulakan perang baharu,” katanya.
Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran bahawa sebarang konflik baharu tidak akan terhad kepada Asia Barat sahaja.
“Jika pencerobohan terhadap Iran berulang, perang pada masa depan akan melangkaui rantau ini dan serangan balas kami akan menghancurkan musuh,” menurut kenyataan pasukan itu.
Walaupun ketegangan terus meningkat, usaha diplomatik dengan pengantaraan Pakistan masih diteruskan bagi mencari penyelesaian rasmi kepada konflik yang bermula selepas serangan Amerika dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Gencatan senjata yang bermula pada 8 April berjaya menghentikan pertempuran terbuka, namun perang kenyataan antara kedua-dua pihak terus berlarutan.
Agensi berita rasmi Iran, Irna, melaporkan Menteri Dalam Negeri Pakistan telah tiba di Teheran bagi lawatan kedua dalam tempoh kurang seminggu untuk meneruskan rundingan damai. Perkembangan itu turut memberi kesan segera kepada pasaran global.
Harga minyak dunia jatuh lebih lima peratus selepas kenyataan Encik Trump bahawa perjanjian mungkin hampir dicapai, manakala pasaran saham Amerika Syarikat pula meningkat.
Namun, penganalisis memberi amaran bahawa pelabur masih berhati-hati kerana rundingan sebelum ini beberapa kali gagal mencapai kemajuan nyata.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah AS$100 (S$127) setong, walaupun masih jauh lebih tinggi berbanding sebelum perang bermula.
Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga dunia, masih belum kembali beroperasi sepenuhnya.
Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud, memuji keputusan Encik Trump untuk memberi peluang kepada diplomasi.
“Kami menggesa Iran merebut peluang ini untuk mengelakkan implikasi berbahaya akibat peningkatan konflik,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Tentera Israel, Encik Eyal Zamir, berkata tenteranya masih berada pada tahap berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Konflik berpanjangan itu kini turut memberi tekanan politik kepada Encik Trump di dalam negara ketika harga tenaga meningkat dan menjejaskan ekonomi Amerika.
Walaupun gencatan senjata menghentikan peperangan terbuka, Selat Hormuz masih belum dibuka sepenuhnya kepada kapal perdagangan antarabangsa.
Tentera laut Pengawal Revolusi Iran berkata mereka membenarkan 26 kapal, termasuk kapal tangki minyak, melalui selat tersebut dalam tempoh 24 jam lalu selepas “penyelarasan keselamatan” dilakukan.
Pada masa sama, Amerika meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.
Komand Pusat Amerika (Centcom) berkata anggota marin Amerika telah menaiki sebuah kapal tangki minyak berbendera Iran di Teluk Oman kerana disyaki cuba melanggar sekatan yang dikenakan.
Menurut Centcom, kapal itu dibebaskan selepas diperiksa dan diarahkan mengubah haluan.
Washington turut mendakwa sebanyak 91 kapal perdagangan telah diarahkan berpatah balik sejak sekatan dimulakan.
Masa depan Selat Hormuz kini menjadi isu paling sensitif dalam rundingan kerana laluan itu membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan sebahagian besar eksport gas asli cecair global.
Selain tenaga, selat tersebut juga menjadi laluan utama hampir satu pertiga penghantaran baja dunia.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) memberi amaran bahawa penutupan berpanjangan Selat Hormuz boleh mencetuskan “krisis harga makanan global yang serius” serta menggugat sistem bekalan makanan dunia. – Agensi berita.
