AS cetus perang dengan Iran, Negara Teluk tanggung kesan
AS cetus perang dengan Iran, Negara Teluk tanggung kesan
DUBAI: Amerika Syarikat mungkin memulakan perang terhadap Iran, namun negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak dijangka menanggung kesan terbesar daripada konflik tersebut, menurut sumber serantau dan penganalisis.
Mereka berkata situasi itu menimbulkan kegelisahan dalam hubungan antara negara Teluk dengan Washington, walaupun rantau tersebut selama ini bergantung kepada Amerika Syarikat untuk perlindungan keselamatan.
Di sebalik tabir, beberapa sumber serantau berkata rasa tidak puas hati semakin meningkat dalam kalangan pemerintah Arab Teluk kerana mereka terheret ke dalam konflik yang tidak mereka mulakan dan tidak pernah mereka sokong.
Menurut tiga sumber serantau yang enggan dinamakan, serangan balas Iran telah menjejaskan beberapa kemudahan penting di rantau itu, termasuk lapangan terbang, hotel, pelabuhan serta kemudahan ketenteraan dan tenaga.
“Ini bukan perang kami. Kami tidak mahukan konflik ini, namun kami yang menanggung kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi,” kata Presiden Emirates Policy Center, Cik Ebtesam Al-Ketbi.
Walaupun negara Teluk menegaskan bahawa wilayah mereka tidak akan digunakan oleh Washington untuk melancarkan serangan terhadap Iran, Teheran tetap melancarkan gelombang serangan dron dan peluru berpandu ke beberapa negara di rantau itu.
Serangan tersebut turut menjejaskan keyakinan pelabur dan sektor perniagaan di rantau Teluk yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan stabil dan selamat.
Kebimbangan terhadap Iran selepas perang
Sebahagian penganalisis juga bimbang tentang senario selepas perang, khususnya jika konflik itu berakhir tanpa penyelesaian yang jelas.
Menurut Cik Al-Ketbi, jika Amerika Syarikat menghentikan perang tanpa mencapai kemenangan, Iran mungkin kekal sebagai ancaman kepada rantau tersebut.
“Jika Amerika meninggalkan perang ini tanpa mencapai kemenangan, ia seperti meninggalkan seekor singa yang cedera. Iran akan terus menjadi ancaman kepada rantau ini dan mampu menyerang semula,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumah Putih berkata serangan Amerika dan Israel telah berjaya mengurangkan keupayaan Iran untuk melancarkan serangan balas.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Anna Kelly, berkata serangan tersebut telah mengurangkan serangan peluru berpandu Iran sebanyak 90 peratus.
“Serangan ini telah melemahkan keupayaan Iran untuk melancarkan dan menghasilkan peluru berpandu,” katanya, sambil menambah bahawa Presiden Donald Trump kekal berhubung rapat dengan sekutu di Asia Barat.
Konflik tersebut tercetus selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh pada hari pertama serangan Amerika dan Israel terhadap Iran.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan terhadap Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika .
Keadaan itu turut menjejaskan laluan penting perdagangan tenaga dunia di Selat Hormuz, yang menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan petroleum dan gas asli cecair global.
Kesan kepada ekonomi dan penerbangan
Di seluruh rantau Asia Barat, penutupan ruang udara telah menyebabkan kira-kira 40,000 penerbangan dibatalkan, menjadikannya gangguan terbesar kepada industri penerbangan global sejak pandemik Covid-19.
Pada masa sama, sektor pelancongan di negara Teluk turut terjejas, sekali gus mengancam imej rantau itu sebagai destinasi pelancongan mewah dan selamat.
Walaupun berdepan tekanan tersebut, negara-negara Teluk berusaha menunjukkan ketenangan dan keteguhan.
Presiden Amiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, berkata negaranya berada dalam keadaan perang namun tetap kuat dan bersedia menghadapi ancaman.
Negara Teluk nilai semula strategi keselamatan
Menurut penganalisis, perang ini juga mendorong negara Teluk menilai semula pergantungan mereka terhadap Amerika Syarikat dalam soal keselamatan.
Profesor Fawaz Gerges dari London School of Economics berkata hubungan antara Washington dan negara Teluk selama ini berasaskan pertukaran tidak rasmi.
Negara Teluk membekalkan tenaga dan pelaburan besar kepada Amerika Syarikat, termasuk pembelian senjata bernilai ratusan bilion dolar, manakala Washington pula menyediakan perlindungan keselamatan.
Namun menurut beliau, perang tersebut telah menggugat andaian lama itu.
“Negara Teluk kini menyedari bahawa mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat untuk melindungi tenaga, minyak, gas, rakyat dan kedaulatan mereka,” katanya.
Pengerusi Gulf Research Center yang berpangkalan di Arab Saudi, Encik Abdulaziz Sager, turut berkata konflik itu menunjukkan had bergantung kepada kuasa luar untuk jaminan keselamatan.
“Kuasa luar sering membuat keputusan berdasarkan kepentingan strategik mereka sendiri, bukan kepentingan negara Teluk,” katanya.
Beliau menambah bahawa negara Teluk perlu memperkukuh keupayaan pertahanan sendiri serta bersedia menghadapi krisis pada masa hadapan.
Dalam kenyataan yang jarang dibuat secara terbuka, ahli perniagaan Amiriah Arab Bersatu, Encik Khalaf Al Habtoor, turut mempersoalkan tujuan perang yang dilancarkan terhadap Iran.
“Jika serangan itu bertujuan mengekang Iran, adakah kesan terhadap rantau ini benar-benar dipertimbangkan, atau kos menyeret Teluk ke dalam konflik yang bukan miliknya diabaikan?” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Encik Amin Nasser, turut memberi amaran bahawa gangguan berterusan terhadap penghantaran minyak melalui Selat Hormuz boleh membawa kesan “bencana” kepada pasaran tenaga dunia.
Pada masa sama, Pengawal Revolusi Iran menegaskan mereka tidak akan membenarkan “walau setitik minyak” dihantar dari Asia Barat sekiranya serangan Amerika Syarikat dan Israel berterusan.
Sumber yang rapat dengan pemerintah Teluk berkata rasa kecewa terhadap pentadbiran Presiden Trump semakin meningkat secara senyap di rantau itu.
Ramai percaya negara Teluk telah ditarik masuk ke dalam konflik yang banyak dipengaruhi oleh Israel, tanpa perancangan jelas dan tanpa mengambil kira kesan politik serta ekonomi terhadap sekutu Washington. – Agensi berita.

