Tentera AS musnahkan 16 kapal pemasang periuk api Iran di Selat Hormuz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera AS musnahkan 16 kapal pemasang periuk api Iran di Selat Hormuz

Iran tegaskan akan pertahan kepentingan di kawasan itu
Mar 11, 2026 | 12:47 PM

Tentera AS musnahkan 16 kapal pemasang periuk api Iran di Selat Hormuz

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
selat hormuz, Strait of Hormuz, Iran, United States, mine, vessel
Rakaman skrin daripada video yang dikeluarkan oleh Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom) di akaun X @CENTCOM pada 10 Mac menunjukkan sebuah kapal tentera laut Iran beberapa saat sebelum terkena serangan peluru berhampiran Selat Hormuz. - Foto AFP

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap kapal pemasang periuk api milik Iran berhampiran Selat Hormuz selepas timbul kebimbangan bahawa Teheran mungkin cuba menyekat laluan utama penghantaran minyak dunia.

Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom) pada 10 Mac menyatakan bahawa pasukan tenteranya menyerang 16 kapal yang dipercayai digunakan untuk memasang periuk api laut berhampiran selat strategik tersebut.

Rakaman video yang dimuat naik oleh Centcom di media sosial memperlihatkan sekurang-kurangnya sembilan kapal Iran menjadi sasaran serangan peluru berpandu, kebanyakannya ketika kapal tersebut berada dalam keadaan berlabuh.

CNN sebelum ini melaporkan Iran mula meletakkan periuk api di Selat Hormuz yang menjadi laluan tenaga paling penting di dunia dan mengendalikan kira-kira satu perlima daripada keseluruhan penghantaran minyak mentah global.

Jumlah berkenaan adalah berdasarkan dua sumber yang maklum mengenai laporan risikan Amerika berhubung perkara itu.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata tentera Amerika telah memusnahkan sebahagian kapal tersebut bagi menghalang sebarang usaha Iran menanam periuk api di laluan perkapalan penting itu.

“Tentera Amerika telah menyerang dan memusnahkan sepenuhnya 10 kapal peletak periuk api yang tidak aktif,” kata Encik Trump.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang periuk api yang mungkin telah diletakkan oleh Iran di Selat Hormuz mesti dikeluarkan dengan segera.

“Jika Iran telah memasang periuk api di Selat Hormuz, kami mahu ia dikeluarkan serta-merta. Jika tidak, akibat ketenteraan terhadap Iran akan berada pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Susulan kenyataan itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth yang bertindak atas arahan Encik Trump memuat naik hantaran di platform X, menjelaskan Centcom bertindak balas terhadap tindakan itu tanpa kompromi.

Katanya, Centcom juga sedang memusnahkan kapal pemasang periuk api tidak aktif di Selat Hormuz, selain menegaskan tidak akan membenarkan pengganas menjadikan laluan itu sebagai tawanan dengan arahan rasmi sudah diberikan kepada Iran.

Namun setakat ini masih tidak jelas sama ada Iran benar-benar telah meletakkan periuk api di laluan tersebut sejak perang tercetus.

Seorang pegawai Amerika berkata Washington percaya Iran mungkin sedang membuat persiapan untuk melaksanakan operasi itu, namun belum memulakannya.

Persiapan tersebut bagaimanapun sudah cukup menimbulkan kebimbangan kepada pentadbiran Rumah Putih, sekali gus mendorong arahan ketenteraan untuk memusnahkan kapal dan peralatan berkaitan periuk api milik Iran.

Selat Hormuz adalah laluan maritim kritikal dunia, dengan lebih 20 juta tong minyak dan produk petroleum melalui kawasan itu setiap hari, merangkumi kira-kira 20 peratus daripada penggunaan global.

Ketika ini, laluan itu berdepan gangguan besar susulan serangan terhadap Iran dilancarkan Amerika dan Israel pada 28 Februari lalu, menyebabkan lonjakan harga minyak.

Gangguan terhadap penghantaran minyak itu turut menyumbang kepada kenaikan harga minyak global, sekali gus meningkatkan kos bahan api di beberapa negara termasuk Amerika.

Banyak pengeluar minyak di Asia Barat juga dilaporkan kehabisan ruang simpanan kerana penghantaran minyak melalui selat tersebut semakin terganggu.

Pada masa yang sama, pentadbiran Encik Trump turut mencetuskan kekeliruan mengenai situasi sebenar di Selat Hormuz.

Setiausaha Tenaga Amerika, Encik Chris Wright, pada awalnya menulis di platform X bahawa sebuah kapal perang tentera laut Amerika telah berjaya mengiringi kapal tangki minyak melalui selat itu bagi memastikan bekalan tenaga dunia terus mengalir.

Namun kenyataan tersebut dipadam tidak lama kemudian.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, kemudian menjelaskan bahawa tentera Amerika sebenarnya belum mengiringi mana-mana kapal komersial melalui Selat Hormuz setakat ini.

“Amerika belum mengiringi mana-mana kapal tangki minyak atau kapal komersial melalui Selat Hormuz,” katanya dalam sidang media.

Ketua turus bersama tentera Amerika, Jeneral Dan Caine, berkata Pentagon sedang menilai beberapa pilihan sekiranya diminta untuk melindungi kapal dagang di laluan tersebut.

“Kami sedang meneliti pelbagai pilihan berhubung perkara itu,” katanya.

Iran pula memberi amaran bahawa sebarang pergerakan armada tentera Amerika di rantau itu akan menjadi sasaran serangan.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Encik Ali-Mohammad Naini, berkata Iran bersedia mempertahankan kepentingannya di kawasan tersebut.

“Sebarang pergerakan armada Amerika dan sekutunya akan dihentikan oleh peluru berpandu dan dron kami,” katanya seperti dipetik media negara Iran.

Dalam usaha mengekalkan aliran perdagangan tenaga, Amerika turut memperkenalkan kemudahan insurans semula bernilai AS$20 bilion ($25.4 bilion) bagi kapal yang melalui Selat Hormuz.

Program tersebut diumumkan oleh Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (DFC).

Kemudahan itu bertujuan melindungi kerugian kapal yang melalui laluan berisiko tinggi tersebut dan memastikan perdagangan minyak global tidak terhenti.

Ketegangan berkaitan periuk api laut di Teluk Parsi bukan perkara baharu.

Pada tahun 1980-an, Iran pernah menanam periuk api di kawasan itu ketika konflik dengan Barat.

Pada April 1988, sebuah kapal perang Amerika rosak teruk selepas terkena periuk api Iran, sekali gus mencetuskan serangan balas oleh tentera Amerika terhadap sasaran Iran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg