Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, China muktamad perjanjian dagang

Jun 27, 2025 | 11:17 AM
Amerika Syarikat, China, perdagangan, nadir bumi
Setiausaha Perdagangan, Amerika Syarikat, Encik Howard Lutnick, menghadiri sesi wawancara di luar Rumah Putih, Washington D.C., Amerika Syarikat, pada 11 Jun 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan China akhirnya memuktamadkan satu perjanjian dagangan penting yang dimeterai pada 25 Jun, kata Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Encik Howard Lutnick, pada 26 Jun.

Perjanjian tersebut merupakan hasil rundingan yang diadakan pada Mei di Geneva dan mengandungi komitmen penting dari China untuk mengeksport bahan nadir bumi yang amat diperlukan oleh industri teknologi tinggi seperti turbin angin dan enjin jet.

“Mereka akan hantar nadir bumi kepada kami,” kata Encik Lutnick dalam wawancara bersama Bloomberg News.

“Apabila ia mula dihantar, kita akan tarik semula langkah balas kita,” tambahnya.

Perjanjian itu dianggap satu pencapaian penting dalam hubungan dagangan antara Washington dengan Beijing yang sebelum ini tegang akibat tuduhan pelanggaran terhadap perjanjian lisan terdahulu.

Bagaimanapun, Encik Lutnick menegaskan keberkesanan perjanjian itu masih bergantung kepada tindakan susulan kedua-dua negara, terutama China yang perlu membuktikan kesediaannya untuk menghantar bahan mentah strategik itu.

Perjanjian ini turut menetapkan bahawa Amerika akan menarik balik beberapa langkah balas perdagangan termasuk sekatan eksport ke atas bahan seperti etana yang digunakan untuk membuat plastik, perisian cip, dan komponen enjin pesawat – hanya selepas penghantaran nadir bumi dari China benar-benar bermula.

Encik Lutnick turut mendedahkan bahawa Presiden Donald Trump kini dalam perancangan memuktamadkan beberapa lagi perjanjian dagangan dengan sekumpulan 10 rakan dagang utama menjelang 9 Julai – tarikh akhir yang ditetapkan Encik Trump untuk mengembalikan tarif tinggi yang digantung sejak April.

“Kami akan selesaikan 10 perjanjian utama dahulu. Negara-negara lain akan masuk dalam senarai susulan,” ujar Encik Lutnick kepada Bloomberg Television.

Walaupun beliau tidak menyebut nama kesemua negara yang terlibat, Encik Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa Amerika hampir mencapai persetujuan dengan India.

Encik Trump turut memberi amaran beliau akan menghantar “surat” kepada negara yang gagal mencapai kesepakatan, menetapkan syarat perdagangan secara sepihak.

“Negara yang sudah capai perjanjian akan dimuktamadkan. Yang lain akan diberi maklum balas dan diletakkan dalam pakej tertentu,” kata Encik Lutnick.

“Jika mereka mahu terus berunding, mereka boleh, tapi kadar tarif akan tetap ditetapkan,” tambahnya.

Pada 2 April, Encik Trump mengumumkan kadar tarif balas yang mencecah sehingga 50 peratus ke atas pelbagai produk import, tetapi menangguhkannya selama 90 hari untuk memberi ruang rundingan.

Kini, tempoh itu hampir tamat dan pelbagai negara sedang berusaha mendapatkan perjanjian bagi mengelakkan tarif berat dikenakan.

Namun begitu, ramai penganalisis menegaskan tempoh masa yang singkat tidak mencukupi untuk menghasilkan perjanjian dagangan yang menyeluruh.

Misalnya, perjanjian terdahulu antara Amerika dengan Britain masih meninggalkan isu tertangguh termasuk kadar cukai import terhadap logam tertentu.

Encik Lutnick sendiri mengakui perjanjian terbaru dengan China bukan perjanjian menyeluruh yang menangani isu besar lain seperti akses pasaran eksport Amerika di China atau penyeludupan bahan terlarang seperti fentanyl.

Namun, ia tetap dianggap satu langkah positif selepas rundingan yang berlangsung di London pada Jun menghasilkan persefahaman bersama antara kedua-dua pihak, sebelum dimuktamadkan oleh Encik Trump dan Presiden China, Encik Xi Jinping, minggu ini.

Sementara itu, Jabatan Perdagangan Amerika telah memulakan langkah melonggarkan sekatan eksport terhadap etana, dengan syarikat tenaga kini dibenarkan memuatkan gas petroleum itu ke kapal tangki untuk dihantar ke China.

Namun, ia masih tertakluk kepada kelulusan sebelum dibenarkan dipunggah di pelabuhan China.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, syarikat Amerika yang bergantung kepada bahan nadir bumi dari China masih menunggu kelulusan rasmi dari Beijing bagi memulakan penghantaran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg