Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

China sahkan perjanjian dagang dengan AS

Jun 12, 2025 | 5:45 PM
China, Amerika Syarikat, Perdagangan, Tarif
Setelah Amerika Syarikat dan China melalui kebuntuan dan beberapa halangan untuk mencapai perjanjian perdagangan, akhirnya China mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai antara kededua negara tersebut. - Foto AFP

BEIJING: China mengesahkan satu perjanjian perdagangan yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump pada 12 Jun, dan menegaskan bahawa kededua pihak perlu mematuhi persetujuan yang telah dicapai.

China turut menekankan bahawa mereka sentiasa menepati janji.

Perjanjian tersebut dicapai selepas perbualan telefon antara Encik Trump dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, minggu lalu – satu langkah penting dalam meredakan ketegangan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

“China sentiasa menepati kata-kata dan mencapai matlamat,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri, Encik Lin Jian, dalam satu sidang media.

“Kini setelah permuafakatan dicapai, kededua pihak wajar mematuhinya,” tambah beliau.

Panggilan telefon antara Encik Trump dengan Encik Xi berjaya menamatkan kebuntuan yang tercetus beberapa minggu selepas perjanjian awal dipersetujui di Geneva.

Perbincangan lanjut kemudian berlangsung di London, yang menurut pihak Washington, berjaya memperincikan butiran penting dalam perjanjian Geneva bagi mengurangkan tarif timbal balas antara kededua negara.

Namun, perjanjian tersebut sebelum ini menghadapi halangan disebabkan sekatan berterusan China terhadap eksport mineral.

Sebagai tindak balas, pentadbiran Encik Trump telah mengenakan kawalan eksport terhadap enjin pesawat buatan China, dan beberapa barangan lain.

Encik Trump pada 11 Jun menyatakan beliau amat berpuas hati dengan perjanjian tersebut.

“Perjanjian kami dengan China telah selesai, hanya menunggu kelulusan akhir daripada saya dan Presiden Xi,” kata beliau di wadah media sosial, Truth Social.

“China akan membekalkan semua magnet penuh dan logam semula jadi yang diperlukan terlebih dahulu.

“Kami juga akan menunaikan komitmen, termasuk membenarkan pelajar China terus belajar di kolej dan universiti kami.

“Kami akan menerima kadar tarif keseluruhan sebanyak 55 peratus, manakala China pula akan dikenakan tarif 10 peratus.”

Bagaimanapun, butiran penuh perjanjian terbaru itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan masih belum jelas.

Menurut seorang pegawai Rumah Putih, angka 55 peratus itu merangkumi gabungan tarif.

Ia termasuk 10 peratus tarif “timbal balas” ke atas hampir semua rakan dagang Amerika; 20 peratus ke atas barangan dari China berkait dakwaan bahawa China gagal menghentikan aliran fentanyl ke Amerika.

Ia turut termasuk 25 peratus tarif sedia ada yang dikenakan sejak penggal pertama Encik Trump dilantik sebagai Presiden. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg