WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mahu negara-negara memberikan tawaran terbaik dalam rundingan perdagangan menjelang 4 Jun sedang pegawainya menyegerakan perbincangan dengan berbilang rakan kongsi menjelang tarikh akhir pelaksanaan tarif dalam masa lima minggu.
Demikian menurut draf surat kepada rakan perundingan yang dilihat oleh agensi berita, Reuters.
Draf daripada pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) itu memberi gambaran tentang bagaimana Encik Trump merancang merumuskan rundingan sukar dengan berpuluh-puluh negara di dunia.
Rundingan bermula pada 9 April apabila beliau menggantung sementara tarif “Hari Pembebasan” selama 90 hari sehingga 8 Julai selepas pasaran saham, bon dan mata wang terjejas teruk ekoran tarif meluas itu.
Dokumen itu mencadangkan keperluan mendesak pihak pentadbiran Encik Trump untuk menyelesaikan perjanjian pada tarikh akhir yang ketat.
Walaupun pegawai seperti penasihat ekonomi Rumah Putih, Encik Kevin Hassett, telah berulang kali berjanji bahawa beberapa perjanjian hampir selesai, setakat ini hanya satu perjanjian telah dicapai dengan rakan dagang utama Amerika iaitu Britain.
Malah perjanjian terhad itu lebih mirip kepada rangka kerja untuk perbincangan berterusan – dan bukan satu perjanjian.
Menurut draf dokumen itu, Amerika meminta negara-negara supaya menyenaraikan cadangan terbaik mereka dalam beberapa bidang utama, termasuk tawaran tarif dan kuota untuk pembelian produk perindustrian dan pertanian Amerika dan merancang memperbaiki sebarang halangan bukan tarif.
Perkara lain yang diminta termasuk iltizam berhubung perdagangan digital dan keselamatan ekonomi, seiring komitmen khusus negara yang terjejas, tambah draf tersebut.
Amerika kemudian akan menilai respons itu dalam beberapa hari dan memberikan tawaran, termasuk kadar tarif timbal balas.
Tidak jelas negara yang diberikan surat itu tetapi ia ditujukan kepada negara yang terlibat dalam rundingan secara aktif seperti Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Vietnam dan India.
Naib Presiden Dasar Perdagangan Sejagat di Majlis Perdagangan Luar Negara, Cik Tiffany Smith, mengalu-alukan langkah USTR itu.
“Kami gembira kerana USTR menggerakkan rundingan ke hadapan secepat mungkin,” katanya sambil menambah bahawa perjanjian dagangan yang menghapuskan halangan bagi syarikat Amerika di luar negara dan menurunkan tarif akan menjadi “saling menguntungkan jika ia dilakukan dengan cara yang boleh mengembalikan ramalan dan kestabilan kepada hubungan dagangan”.
Dasar tarif Encik Trump yang bercelaru mewakili sebahagian besar agenda ekonominya ‘Dahulukan Amerika’ ketika beliau membentuk semula hubungan dagangan, mengurangkan defisit negara dan melindungi industri Amerika.
Penggubal undang-undang Republikan juga bergantung kepada tarif untuk menambah pendapatan negara dan sekali gus mengimbangi kos pemotongan cukai yang sedang diusahakan melalui Kongres.
Kesahihan pendekatan yang digunakan untuk mengenakan tarif paling tinggi telah diragui banyak pihak.
Mahkamah Perdagangan Antarabangsa pada 28 Mei memutuskan bahawa Encik Trump telah melampaui kuasanya dengan tarif yang dirangka di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa, termasuk tarif “Hari Pembebasan” dan tarif lebih awal yang dikenakan ke atas barangan dari Canada, Mexico dan China.
Namun, kurang 24 jam kemudian, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan itu buat sementara waktu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg