Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, China setuju reda ketegangan dagang

Jun 11, 2025 | 1:48 PM
 Encik Scott Bessent, Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, dan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, bergambar bersama Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer; Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick; Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao; serta Wakil Perdagangan Antarabangsa dan Timbalan Menteri Perdagangan China, Encik Li Chenggang, di London pada 9 Jun. - Foto REUTERS

LONDON: Amerika Syarikat dan China bersetuju meredakan ketegangan dagangan, dengan perjanjian awal mengenai cara melaksanakan persetujuan bersama yang dicapai oleh kedua-dua pihak di Geneva, kata perunding kedua-dua negara.

Meskipun butiran penuh perjanjian itu belum didedahkan, namun perunding Amerika berkata mereka yakin isu mengenai penghantaran mineral dan magnet nadir bumi akan diselesaikan dengan pelaksanaan rangka kerja.

“Kami telah mencapai rangka kerja untuk melaksanakan konsensus Geneva,” kata Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, kepada pemberita di London.

Delegasi Amerika dan China kini akan menyerahkan cadangan itu kepada pemimpin masing-masing, kata ketua perunding perdagangan China, Encik Li Chenggang, selepas dua hari perbincangan yang berlangsung hampir 20 jam di sebuah rumah era Georgia berhampiran Istana Buckingham.

“Apabila presiden meluluskannya, kami kemudian akan berusaha untuk melaksanakannya,” tambah Encik Lutnick.

Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, berkata tiada mesyuarat lain yang dijadual, tetapi menambah pihak Amerika dan China kerap berhubung dan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa mereka perlu.

Rundingan di London dibuat atas desakan pentadbiran Encik Trump untuk mengukuhkan hasrat pemerintah China memudahkan penghantaran nadir bumi semasa rundingan perdagangan pada Mei di Geneva, yang menghasilkan pelaksanaan tarif ditangguhkan.

Perselisihan pendapat mengenai eksport mineral kritikal mencetuskan semula konflik ekonomi terbuka antara Amerika dengan China dan menimbulkan prospek perjanjian baru mereka boleh runtuh, yang akan menimbulkan ancaman baru kepada ekonomi dunia.

“Kami benar-benar menjangkakan bahawa topik mineral nadir bumi dan magnet berkenaan dengan Amerika akan diselesaikan dalam pelaksanaan rangka kerja ini.

“Selain itu, terdapat beberapa langkah yang dibuat oleh Amerika apabila nadir bumi itu tidak diperolehi,” tambah Encik Lutnick. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg