Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif Trump kekal buat masa ini, selepas hakim tangguh keputusan

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa telah batalkan sebahagian besar cukai import, atas alasan Presiden AS langkaui batas kuasa
May 30, 2025 | 11:49 AM
Donald Trump, tarif,
Cukai import yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bertujuan memberi tekanan kepada negara-negara yang mencatatkan jumlah eksport lebih tinggi ke Amerika berbanding jumlah import. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, meraikan keputusan sementara yang menyebelahi strategi tarifnya, apabila mahkamah rayuan mengekalkan cukai import besar-besaran terhadap China dan rakan dagang lain, buat masa ini.

Keputusan itu memberi ruang kepada proses rayuan diteruskan, selepas Mahkamah Perdagangan Antarabangsa pada 28 Mei membatalkan sebahagian besar tarif yang diumumkan Encik Trump sejak beliau kembali menjadi presiden, dengan alasan beliau telah melangkaui batas kuasa yang dibenarkan.

Menyambut perkembangan terbaru dalam pertikaian undang-undang berhubung dasar perdagangannya itu, Encik Trump mengecam Mahkamah Perdagangan yang berpangkalan di Manhattan itu dengan menyifatkannya sebagai “teruk”.

Beliau turut berkata halangan yang dikenakan oleh mahkamah tersebut perlu dimansuhkan secara “pantas dan tegas”.

“Pihak licik di belakang tabir tidak boleh dibiarkan memusnahkan negara kita!” kata Encik Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social, sambil menggambarkan dirinya sebagai mangsa sistem kehakiman yang berat sebelah.

Sejak Januari, Encik Trump telah mula menyusun semula hubungan perdagangan Amerika dengan dunia, sambil menggunakan tarif sebagai tekanan untuk memaksa pemerintah asing ke meja rundingan.

Pelaksanaan tarif yang tidak menentu itu telah memberi kesan kepada kedua-dua pihak – rakan dan seteru dagang – serta menggoncang pasaran dan mengganggu rantaian bekalan.

Sebelum keputusan Mahkamah Rayuan Amerika pada 29 Mei itu, yang dikenali sebagai ‘penangguhan pentadbiran’, Rumah Putih telah diberikan masa 10 hari untuk menghentikan tarif tersebut. 

Pentadbiran Encik Trump menggelar penangguhan itu sebagai “kesalahan jelas”, lalu memfailkan rayuan dan menyatakan keyakinan bahawa keputusan mahkamah rayuan akan memihak kepadanya.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, memberitahu wartawan bahawa hakim “dengan berani menyalahgunakan kuasa kehakiman mereka untuk merampas kuasa Presiden Trump”.

Cik Leavitt berkata Mahkamah Agung “harus menghentikan” cabaran terhadap tarif tersebut, sambil menegaskan bahawa Encik Trump mempunyai cara lain untuk mengenakan cukai.

Dalam keputusan berasingan, seorang hakim persekutuan di Washington turut mendapati sebahagian tarif yang dikenakan Encik Trump itu tidak sah, dan memberi pentadbiran itu masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

Pengarah Majlis Ekonomi Nasional, Encik Kevin Hassett, memberitahu Fox Business bahawa “gangguan kecil” yang disebabkan keputusan “hakim aktivis” itu tidak akan menjejaskan rundingan dengan rakan dagang, dan menambah bahawa tiga perjanjian hampir dimuktamadkan.

Menurut penasihat perdagangan Encik Trump, Encik Peter Navarro, pentadbiran itu telah menerima “banyak panggilan telefon dari negara-negara terjejas” yang berkata mereka akan terus “berunding dengan cara baik”, tanpa memberikan butir-butir lanjut.

Cukai import yang dikenakan oleh Encik Trump itu bertujuan memberi tekanan ke atas negara-negara yang mencatatkan jumlah eksport lebih tinggi ke Amerika berbanding jumlah import daripada negara tersebut.

Beliau berhujah bahawa defisit perdagangan serta ancaman penyeludupan dadah merupakan “kecemasan nasional” yang membenarkan pelaksanaan tarif meluas, namun alasan itu ditolak oleh Mahkamah Perdagangan Antarabangsa.

Pada April, Encik Trump mengenakan tarif meluas pada hampir semua rakan dagang dengan kadar asas 10 peratus, serta tarif lebih tinggi ke atas beberapa ekonomi termasuk China dan Kesatuan Eropah (EU), yang kini ditangguhkan.

Pasaran Asia meningkat pada 29 Mei, indeks saham Amerika naik manakala saham Eropah ditutup sedikit rendah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg