GAZA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata Hamas meminta banyak perubahan terhadap cadangan gencatan senjata dengan Israel di Gaza, dengan beberapa usulnya tidak dapat dilaksana.
Namun, negara perantara Mesir dan Qatar bertekad merapatkan jurang yang timbul ekoran beberapa perubahan yang Hamas minta itu.
Seorang pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, bagaimanapun, menafikan kumpulannya telah mengemukakan idea-idea baru.
Bercakap kepada stesen televisyen, Pan-Arab Al-Araby, beliau mengulangi pendirian Hamas bahawa Israel telah menolak cadangan yang dikemukakan bagi gencatan senjata dan menuduh pentadbiran Amerika mengikut sahaja sekutu rapatnya itu.
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, berkata banyak perubahan yang dicadangkan Hamas adalah kecil “dan bukan tidak dijangka”, manakala yang lain ketara berbeza daripada yang digariskan dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Jun, yang menyokong rancangan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden.
“Matlamat kami ialah membawa proses ini kepada satu kesudahan. Pandangan kami ialah masa untuk tawar-menawar sudah tamat,” kata Encik Sullivan kepada pemberita.
Hamas turut mahukan jaminan bertulis daripada Amerika mengenai rancangan gencatan senjata itu, ujar dua sumber keselamatan Mesir kepada Reuters.
Lewat pada 12 Jun, Hamas mengeluarkan satu kenyataan yang menekankan sikap “positifnya” dalam rundingan dan menggesa Amerika supaya mendesak Israel agar menerima perjanjian yang membawa kepada gencatan senjata kekal di Gaza serta pengunduran sepenuhnya dari wilayah itu, pembinaan semula dan pembebasan tahanan Palestin.
Kumpulan Palestin itu berkata walaupun pegawai Amerika berkata Israel telah menerima cadangan gencatan senjata yang digariskan oleh Encik Biden pada 31 Mei, “kami tidak mendengar sembarang pegawai Israel mengesahkan penerimaan itu”.
Cadangan Encik Biden membayangkan gencatan senjata dan pembebasan berperingkat tebusan Israel di Gaza sebagai pertukaran bagi rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel, yang akhirnya membawa kepada penamatan kekal perang.
Dalam satu sidang media bersama perdana menteri Qatar di Doha pada 12 Jun, Encik Blinken berkata beberapa cadangan balas daripada Hamas, yang memerintah Gaza sejak 2007, berusaha untuk meminda syarat-syarat yang telah diterima dalam perbincangan sebelum ini.
Perunding dari Amerika, Mesir dan Qatar telah berbulan-bulan mengusahakan gencatan senjata bagi konflik antara Israel dengan Hamas yang telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza serta membebaskan tebusan.
“Hamas boleh menjawab dengan satu perkataan. Sebaliknya, Hamas menunggu hampir dua minggu dan kemudian mencadangkan lebih banyak perubahan, beberapa daripadanya melangkau persetujuan yang diterimanya sebelum ini,” kata Encik Blinken.
Dalam kenyataannya pada 12 Jun, Hamas berkata ia telah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama tetapi Israel menyatakan “tidak”.
Pendirian Encik Blinken ialah “penerusan dasar Amerika yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, kata Hamas, sambil menambah bahawa Amerika menyediakan perlindungan politik dan ketenteraan kepada Israel untuk meneruskan serangannya ke atas Gaza.
Menurut Amerika, Israel telah menerima cadangannya. Namun, Israel tidak menyatakannya secara terbuka.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah berulang kali berkata Israel tidak akan komited untuk menamatkan kempen ketenteraannya sebelum Hamas dihapuskan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg