Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Keselamatan PBB lulus rancangan gencatan senjata di Gaza

Jun 11, 2024 | 10:53 AM
Duta Besar Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Linda Thomas-Greenfield (kanan) dan Duta Besar United Kingdom, Cik Barbara Woodward (tiga dari kanan), mengangkat tangan tanda bersetuju ketika mengundi bagi resolusi pelaksanaan gencatan senjata kekal dan pembebasan tebusan di Gaza dalam sesi di ibu pejabat PBB pada 10 Jun.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Linda Thomas-Greenfield (kanan) dan Duta Besar United Kingdom, Cik Barbara Woodward (tiga dari kanan), mengangkat tangan tanda bersetuju ketika mengundi bagi resolusi pelaksanaan gencatan senjata kekal dan pembebasan tebusan di Gaza dalam sesi di ibu pejabat PBB pada 10 Jun. - Foto AFP

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenai cadangan Amerika Syarikat untuk pelaksanaan gencatan senjata kekal dan pembebasan tebusan di Gaza pada 10 Jun.

Resolusi tersebut diterima dengan 14 undi menyokong, tiada undi menentang dan satu undi berkecuali oleh Russia. Russia tidak mengundi, sementara 14 negara termasuk Amerika, mengundi menyokong resolusi tersebut.

Cadangan tersebut menetapkan syarat untuk “gencatan senjata penuh dan lengkap”, pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas, pemulangan jenazah tebusan yang telah meninggal dunia dan pertukaran tahanan Palestin.

Hamas dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi mengenai cadangan Amerika itu berkata mereka bersedia melibatkan diri dengan perantara dalam rundingan tidak langsung untuk melaksanakan langkah yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Menurut Hamas, pasukan itu komited untuk melaksanakan “pengunduran sepenuhnya (pasukan Israel) dari Semenanjung Gaza, pertukaran tahanan, pembinaan semula Gaza, pemulangan orang yang dipindahkan ke kawasan kediaman mereka, penolakan sebarang perubahan demografi atau pengurangan kawasan di Semenanjung Gaza dan pengenalan bantuan yang diperlukan kepada rakyat kita di Semenanjung.”

Rancangan itu terdiri daripada tiga fasa yang akan berakhir dengan rancangan pembinaan semula Gaza dalam jangka masa panjang berikutan kemusnahan akibat pertempuran.

Fasa pertama rancangan ini berkaitan dengan pertukaran tebusan dan tahanan serta gencatan senjata jangka pendek.

Fasa kedua termasuk “penghentian kekerasan secara kekal” serta pengunduran sepenuhnya pasukan Israel dari Gaza, berdasarkan teks draf resolusi Amerika.

Fasa ketiga memberi tumpuan pada pandangan jangka panjang kawasan tersebut dan ia akan memulakan rancangan pembinaan semula Gaza selama bertahun.

Kelulusan resolusi ini berlaku beberapa minggu selepas Presiden Amerika, Encik Joe Biden, memaklumkan Israel bersetuju dengan rancangan tiga fasa yang akan mencapai gencatan senjata kekal di Gaza.

Dalam ucapan selepas resolusi tersebut diluluskan, Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, memuji tindakan Majlis Keselamatan dengan menyifatkan “hari ini kita mengundi untuk keamanan”.

Duta Besar United Kingdom, Cik Barbara Woodward, pula menggambarkan situasi di Gaza sebagai “malapetaka” dengan menegaskan “penderitaan telah berlangsung terlalu lama.

“Kami menggesa pihak-pihak terlibat untuk mengambil peluang ini dan bergerak ke arah perdamaian yang berkekalan yang menjamin keselamatan dan kestabilan untuk rakyat Israel dan Palestin”, kata Cik Woodward.

Pada Mac 2024, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang menyeru gencatan senjata.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Encik Antony Blinken, menyeru rakan kongsi di Asia Barat “memberi tekanan kepada Hamas untuk berkata ya” kepada cadangan yang menggariskan gencatan senjata kekal di Gaza serta pembebasan tebusan Israel yang ditahan Hamas.

Diplomat kanan itu dalam lawatan kelapannya ke rantau berkenaan sejak 7 Oktober, bercakap kepada pemimpin utama dalam rundingan antara Israel dengan Hamas.

Bercakap sebelum berlepas dari Kahirah ke Tel Aviv, Encik Blinken berkata, rakan sejawatannya dari Mesir “berkomunikasi dengan Hamas beberapa jam lalu”.

Encik Blinken mengulangi bahawa cara terbaik meringankan penderitaan rakyat Palestin yang berterusan diserang Israel serta memastikan pembebasan tebusan dan sebaliknya adalah melalui cadangan di atas meja rundingan.

“Pemerintah Israel dan pertubuhan antarabangsa menyokong perjanjian itu,” katanya sambil menambah bahawa “satu-satunya yang menyekat pada masa ini ialah Hamas”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg