Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekanan antarabangsa terhadap Israel, Hamas agar segera tamat perang di Gaza

Mesir, Qatar terima maklum balas Hamas mengenai cadangan gencatan senjata di Gaza
Jun 12, 2024 | 2:47 PM
Gaza
Seorang lelaki Palestin membersihkan serpihan dari sebuah apartmen ketika beliau berdiri di balkoni bangunan yang musnah sedang masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Israel dan Hamas supaya segera menamatkan perang di Gaza. - Foto AFP

GAZA: Sehari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir sebulat sua­ra menyokong pelan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat untuk Gaza, tumpuan beralih kepada kesediaan Israel dan Hamas di bawah tekanan antarabangsa yang semakin memuncak agar menamatkan perang dan mengatur perjanjian damai.

Setiap pihak membuat kenyataan positif tetapi masih samar-samar mengenai rancangan gencatan senjata dan menyalahkan satu sama lain kerana memanjangkan peperangan yang telah memusnahkan Gaza.

Namun kedua-duanya tidak menyatakan ia akan menerima cadangan itu secara rasmi seperti yang digariskan ketetapan tersebut untuk menerima ‘gencatan senjata lengkap dan sepenuhnya’.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, masih belum menyatakan sokongan secara terbuka kepada pelan Washing­ton itu.

Di sebalik inisiatif damai itu, Washington sedar Tel Aviv menerima rancangan gencatan itu dengan berat hati.

Delegasi Hamas dan Jihad Islam menyatakan kesediaan mereka “untuk terlibat secara positif” bagi mencapai persetujuan menamatkan perang di Gaza.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, pada 11 Jun memaklumkan bahawa Encik Netanyahu ‘mengesahkan komitmen’ terhadap cadangan gencatan senjata Gaza.

“Sambutan Hamas terhadap undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai ketetapan gencatan senjata yang digubal Amerika turut memberi ‘harapan tinggi’.

“Ia adalah tanda keyakinan, sama seperti kenyataan yang dikeluarkan selepas Presiden Amerika (Joe Biden) membuat cadangannya 10 hari lalu, ini adalah harapan,” kata Encik Blinken.

Pengantara Qatar dan Mesir memaklumkan bahawa Hamas telah menjawab cadangan yang disokong Amerika untuk gencatan senjata Gaza dan pertukaran tawanan dengan beberapa komentar berkenaan pelan tersebut.

Encik Blinken berkata pendekatan ketenteraan tidak selalu mencukupi dan harus ada rancangan politik serta kemanusiaan yang jelas untuk memastikan Hamas tidak mengawal Gaza dalam apa cara sekali pun serta Israel dapat bergerak ke hadapan bagi mencapai keamanan berkekalan.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi; Raja Jordan Abdullah II dan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, pada 11 Jun mendesak masyarakat antarabangsa agar memberi tekanan maksimum ke atas Israel, bagi menghentikan operasi ketenteraannya di Jaluran Gaza.

Pemimpin itu mengadakan sidang puncak tiga pihak di luar persidangan ‘Seruan Bertindak: Tindak Balas Kemanusiaan Segera untuk Gaza’ yang diadakan di Jordan, lapor agensi berita Sputnik yang berpangkalan di Moscow, memetik kenyataan pejabat Presiden Sisi.

Mereka turut menyeru penyatuan usaha antarabangsa bagi mencapai penyelesaian dua negara dan menyeluruh bagi isu Palestin, kata kenyataan itu.

Mereka juga menyokong gencatan senjata seperti yang dicadangkan Amerika sebagai penyelesaian jangka panjang.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, memberitahu sidang puncak itu Israel melakukan jenayah perang di Jaluran Gaza yang belum pernah disaksikan sejak beberapa dekad.

Keganasan Israel terhadap Gaza mesti dihentikan serta-merta, kata Encik Safadi.

Jurucakap Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Amerika juga sudah menerima dan sedang menilai maklum balas berkenaan.

Menurut laporan Al Jazeera, maklum balas daripada pemimpin Hamas dan Jihad Islam Palestin itu disampaikan bersekali dengan pindaan.

Pindaan itu termasuk penarikan tentera sepenuhnya dari seluruh Jaluran Gaza, termasuk lintasan Rafah dan Koridor Philadelphi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg