Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS dakwa Iran hentikan 800 hukuman mati ketika bantahan berlarutan

Jan 16, 2026 | 12:12 PM
grand bazaar teheran, iran
Orang ramai berjalan di Grand Bazaar Teheran, di Teheran, Iran, pada 15 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Rumah Putih pada 15 Januari memaklumkan pihak berkuasa Iran telah “menghentikan” kira-kira 800 hukuman mati yang dijadualkan, di tengah-tengah gelombang bantahan besar-besaran yang berlarutan selama beberapa minggu.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut.

“Presiden memahami hari ini (15 Januari) bahawa 800 hukuman mati yang dijadualkan dan sepatutnya dilaksanakan semalam telah dihentikan,” katanya kepada wartawan.

Menurut Cik Leavitt, pentadbiran Encik Trump masih menilai keadaan di Iran dan memberi isyarat tindakan lanjut kekal sebagai kemungkinan.

“Presiden dan pasukannya sedang memantau keadaan ini dengan teliti dan semua pilihan masih berada di atas meja,” katanya, merujuk kepada kemungkinan langkah diplomatik, ekonomi atau ketenteraan bergantung kepada perkembangan seterusnya.

Nada tegas itu turut diulang Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Mike Waltz, yang berucap di Majlis Keselamatan PBB pada 15 Januari.

Menurutnya, Amerika menyokong “rakyat Iran yang berani” dan Encik Trump telah menjelaskan semua pilihan tersedia bagi menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan.

“Presiden Trump ialah seorang yang bertindak, bukan sekadar bercakap tanpa kesudahan seperti yang sering kita lihat di PBB. Beliau telah menjelaskan bahawa semua pilihan ada untuk menghentikan pembunuhan,” katanya.

Encik Trump sejak beberapa minggu lalu berulang kali mengancam untuk campur tangan bagi menyokong penunjuk perasaan di Iran, susulan laporan ribuan orang terbunuh dalam tindakan keras pihak berkuasa terhadap protes antipemerintah.

Namun, pada 15 Januari, beliau dilihat mengambil pendirian lebih berhati-hati, dengan menyatakan beliau dimaklumkan kadar pembunuhan semakin berkurangan dan tiada rancangan semasa untuk melaksanakan hukuman mati secara besar-besaran.

Walaupun demikian, Encik Trump menegaskan, Washington akan mengambil “tindakan yang sangat tegas” sekiranya Iran meneruskan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.

Kenyataan ini mengekalkan tekanan antarabangsa terhadap Teheran, walaupun pentadbiran Amerika kini memberi ruang untuk menilai perkembangan terkini di lapangan.

Di pihak Iran, para pegawai pemerintah menolak dakwaan Barat dan menuduh Amerika serta Israel sebagai dalang di sebalik apa yang mereka labelkan sebagai “rusuhan” dan “keganasan”.

Teheran mendakwa bantahan tersebut didorong oleh campur tangan asing dengan tujuan melemahkan rejim dan menyediakan alasan bagi tindakan ketenteraan.

Dalam perbahasan di Majlis Keselamatan, Encik Waltz menolak dakwaan Iran bantahan itu merupakan konspirasi asing.

“Semua orang di dunia perlu tahu rejim ini kini lebih lemah berbanding sebelumnya.

“Oleh sebab itu mereka mengemukakan pembohongan ini kerana takut kepada kuasa rakyat Iran di jalanan. Mereka takut kepada rakyat mereka sendiri,” katanya.

Iran memberi amaran ia akan bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan.

Timbalan Duta Iran ke PBB, Encik Gholamhossein Darzi, berkata negaranya tidak mencari ketegangan atau konfrontasi.

Beliau menuduh wakil Amerika menggunakan “pembohongan, memutar belit fakta selain kempen penyebaran maklumat palsu yang disengajakan” bagi menutup penglibatan Washington dalam mencetuskan keganasan di Iran.

“Sebarang tindakan pencerobohan sama ada secara langsung atau tidak langsung akan dibalas dengan tindak balas yang tegas, seimbang dan sah dari segi undang-undang,” kata Encik Darzi kepada Majlis Keselamatan.

“Ini bukan ancaman, tetapi kenyataan realiti undang-undang,” tambahnya.

Duta Russia ke PBB, Encik Vassily Nebenzia, menuduh Amerika menganjurkan mesyuarat Majlis Keselamatan semata-mata untuk “mewajarkan pencerobohan terang-terangan dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman sebuah negara berdaulat”.

Beliau turut memberi amaran terhadap kecenderungan Washington untuk “menyelesaikan masalah Iran dengan cara kegemarannya, iaitu melalui serangan bagi menjatuhkan rejim yang tidak diingini”.

“Kami dengan tegas menggesa pihak-pihak yang panas baran di Washington dan ibu negara lain supaya kembali sedar,” katanya.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, melalui seorang Pegawai Kanan PBB, Cik Martha Pobee, menyeru semua pihak agar menunjukkan tahap kawalan diri maksimum.

“Pada saat yang sensitif ini, kami menggesa semua pihak menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa tambahan atau mencetuskan ketegangan serantau yang lebih meluas,” katanya kepada Majlis Keselamatan.

Sementara itu, Duta Denmark ke PBB, Cik Christina Markus Lassen, menekankan suara rakyat Iran yang menuntut perubahan.

“Dengan jelas dan berulang kali, kita mendengar rakyat Iran mengangkat suara mereka mahukan kehidupan yang lebih baik.

“Sudah terlalu lama kepimpinan di Teheran tidak mengendahkan seruan ini.

“Masanya telah tiba bagi kerajaan Iran mendengar dan bertindak balas terhadap kehendak rakyatnya melalui cara yang aman,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg