Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran gantung lelaki didakwa pengintip Israel dedah maklumat saintis nuklear

Aug 6, 2025 | 3:22 PM
Seorang wanita berjalan melewati lukisan yang menggambarkan adegan daripada epik kebangsaan Iran, Shahnameh, di Tehran pada 5 Ogos 2025.
Seorang wanita berjalan melewati lukisan yang menggambarkan adegan daripada epik kebangsaan Iran, Shahnameh, di Tehran pada 5 Ogos 2025. - Foto AFP

TEHRAN: Pihak berkuasa Iran pada 6 Ogos melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang lelaki yang disabitkan bersalah mengintip untuk Israel dengan menyalurkan maklumat berkaitan seorang saintis nuklear yang terbunuh dalam perang 12 hari antara kedua-dua negara pada bulan Jun lalu.

Menurut kenyataan rasmi kehakiman yang disiarkan menerusi laman Mizan Online, individu berkenaan dikenali sebagai Roozbeh Vadi, dan hukuman dijalankan selepas perbicaraan lengkap serta pengesahan hukuman mati oleh Mahkamah Agung Iran.

“Roozbeh Vadi... telah dihukum mati selepas prosiding kehakiman dan pengesahan oleh Mahkamah Agung. Dia didapati telah membocorkan maklumat berkaitan seorang saintis nuklear yang terbunuh dalam pencerobohan terbaru rejim Zionis,” menurut kenyataan itu.

Hukuman mati tersebut dilaksanakan melalui gantung sampai mati. Namun, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai tarikh penahanan atau perbicaraan tertuduh.

Pihak berkuasa kehakiman Iran menyatakan bahawa Vadi telah memindahkan “maklumat sulit” selepas direkrut oleh agensi perisikan Israel, Mossad, melalui platform dalam talian.
Laporan turut mendedahkan bahawa Vadi bekerja dalam salah satu “organisasi penting dan sensitif” milik Iran, namun butiran lanjut tidak dinyatakan.

Perang selama 12 hari yang tercetus pada pertengahan Jun menyaksikan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran satu tindakan yang dianggap belum pernah berlaku sebelum ini. Serangan tersebut menyasarkan pangkalan tentera, kawasan kediaman dan juga individu penting negara itu.

Antara yang terbunuh termasuk beberapa jeneral kanan tentera dan sekurang-kurangnya 12 orang saintis nuklear, menurut laporan media tempatan. Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel dalam tempoh konflik tersebut.
“Tindakan Vadi dianggap sebagai satu siri jenayah serius terhadap keselamatan dalaman dan luaran negara yang telah mengganggu ketenteraman awam,” jelas Mizan Online.

Sejak berakhirnya perang pada Jun, Iran berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersekongkol dengan Israel. Pihak berkuasa telah mengumumkan beberapa siri penangkapan dan pelaksanaan hukuman mati terhadap mereka yang disabitkan bersalah menjadi tali barut Mossad.

Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan orang telah dihukum mati atas kesalahan berkaitan pengintipan untuk Israel dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut pertubuhan hak asasi manusia seperti Amnesty International, Iran merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati, selepas China.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan pengkhianatan yang menggugat keselamatan negara, terutamanya ketika ancaman luaran semakin meningkat,” kata seorang pegawai kehakiman kepada agensi berita IRNA. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg