SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS dakwa pelan gencatan 10 perkara Iran bukan yang diluluskan Rumah Putih

AS dakwa pelan gencatan 10 perkara Iran bukan yang diluluskan Rumah Putih

Kenyataan itu timbulkan kebimbangan terhadap kestabilan perjanjian sementara antara kedua-dua pihak
Apr 9, 2026 | 2:10 PM

AS dakwa pelan gencatan 10 perkara Iran bukan yang diluluskan Rumah Putih

Rakyat Iran memegang potret pemimpin tertinggi negara yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei, ketika berhimpun di Dataran Revolusi di Teheran pada 8 April 2026, susulan persetujuan gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran.
Rakyat Iran memegang potret pemimpin tertinggi negara yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei, ketika berhimpun di Dataran Revolusi di Teheran pada 8 April 2026, susulan persetujuan gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran. - Foto AFP

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menafikan bahawa pelan gencatan senjata 10 perkara yang diterbitkan Iran adalah asas sebenar rundingan dengan Rumah Putih, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan perjanjian sementara antara kedua-dua pihak.

“Dokumen yang dilaporkan media bukan rangka kerja sebenar yang sedang digunakan,” kata pegawai itu yang enggan dinamakan. “Kami tidak akan berunding secara terbuka sebagai menghormati proses,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat ketika gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan Presiden Donald Trump mula berkuat kuasa, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Washington untuk Iran memenuhi tuntutan Amerika atau berdepan ancaman besar.

Sebelum ini, Encik Trump berkata pihaknya menerima cadangan 10 perkara daripada Iran yang dilihat sebagai “asas boleh dilaksanakan untuk rundingan”.

Namun, media pemerintah Iran kemudian menerbitkan pelan tersebut yang merangkumi beberapa tuntutan utama termasuk kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penamatan sekatan antarabangsa, serta pengiktirafan hak memperkaya uranium.

Tuntutan itu jelas bercanggah dengan pendirian Washington kata jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, yang menegaskan bahawa garis merah Amerika tidak berubah.

“Presiden tidak akan menerima sebarang pelan yang membenarkan Iran memperkaya uranium,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa cadangan awal Iran telah ditolak sepenuhnya.

“Cadangan itu secara literal telah dibuang. Presiden hanya akan menerima perjanjian yang memenuhi kepentingan Amerika Syarikat,” katanya.

Encik Trump telah mengkritik laporan yang didakwa tidak tepat mengenai kandungan perjanjian tersebut.

“Ramai yang menyebarkan maklumat palsu. Hanya satu set perkara yang boleh diterima oleh Amerika Syarikat,” katanya di platform Truth Social.

Ketidaksefahaman ini menambah tekanan terhadap gencatan senjata yang sudah pun dilihat rapuh. Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, mendakwa beberapa syarat utama telah dilanggar sebelum rundingan bermula.

Beliau berkata pelanggaran itu termasuk serangan berterusan di Lebanon, kemasukan dron ke ruang udara Iran dan penafian hak Teheran untuk memperkaya uranium.

“Dalam keadaan ini, gencatan senjata dua hala atau rundingan adalah tidak munasabah,” katanya.

Menurut sumber Pakistan, Encik Ghalibaf bersama Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dijangka mengetuai delegasi ke Islamabad untuk rundingan dengan Amerika.

Rumah Putih mengesahkan rundingan pertama akan diadakan di ibu negara Pakistan itu, dengan delegasi Amerika diketuai Naib Presiden Encik JD Vance bersama utusan khas Encik Steve Witkoff dan menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner.

Isu pengayaan uranium kekal menjadi pertikaian utama. Iran menegaskan ia adalah hak negara dan menafikan hasrat membangunkan senjata nuklear. Namun, pentadbiran Trump menuntut program nuklear Iran dihentikan sepenuhnya.

Selepas lebih 38 hari konflik, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara yang menyaksikan AS menghentikan serangan, manakala Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz – laluan penting yang sebelum ini ditutup sehingga menyebabkan harga tenaga global melonjak.

Cik Leavitt berkata rundingan akan diteruskan dalam tempoh dua minggu ini, selagi laluan di Selat Hormuz kekal dibuka tanpa gangguan.

“Fokus utama adalah memastikan rundingan berjalan dan laluan strategik itu kekal terbuka,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg