Topic followed successfully
Go to BHkuPresiden Iran beri isyarat ruang diplomasi dalam surat terbuka kepada rakyat AS
Presiden Iran beri isyarat ruang diplomasi dalam surat terbuka kepada rakyat AS
Presiden Iran beri isyarat ruang diplomasi dalam surat terbuka kepada rakyat AS
TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengeluarkan surat terbuka kepada rakyat Amerika Syarikat pada 1 April dengan menegaskan bahawa jalan konfrontasi kini semakin mahal dan tidak lagi berkesan, sekali gus memberi bayangan kemungkinan penyelesaian melalui diplomasi.
Dalam surat tersebut, beliau berkata, “jalan konfrontasi adalah lebih mahal dan sia-sia berbanding sebelum ini,” sambil menggesa dunia mempertimbangkan pendekatan yang lebih konstruktif.
Surat itu dikeluarkan hanya beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan penting mengenai perang Iran. Sebelum itu, Encik Trump mendakwa di media sosial bahawa Iran telah meminta gencatan senjata.
Namun, Encik Pezeshkian tidak menggariskan langkah konkrit untuk menghentikan konflik, sebaliknya menggunakan nada yang lebih berdamai. “Dunia kini berada di persimpangan,” katanya. “Pilihan antara konfrontasi dan penglibatan adalah nyata dan penting, dan keputusannya akan menentukan masa depan generasi akan datang.”
Walaupun mesej presiden kelihatan lunak, ia tidak semestinya mencerminkan pendirian keseluruhan kepimpinan Iran. Setakat ini, tidak jelas sama ada surat Pezeshkian diselaraskan dengan Pemimpin Tertinggi atau pihak tentera.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, menolak dakwaan bahawa Teheran sedang mencari gencatan senjata. Beliau menyifatkan kenyataan Encik Trump itu sebagai “tidak benar dan tidak berasas,” sekali gus menunjukkan percanggahan dalam naratif rasmi Iran.
Terdahulu Kementerian Luar Iran turut mengesahkan bahawa Teheran telah menerima beberapa mesej yang disampaikan melalui pihak perantara, namun menegaskan semua mesej tersebut sedang diteliti. Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, keutamaan utama negara itu ketika ini adalah mempertahankan diri susulan apa yang disifatkannya sebagai tindakan pencerobohan.
“Apa yang penting bagi negara Iran ialah mempertahankan diri daripada pencerobohan ini, dan kami bersedia menghadapi apa jua bentuk serangan, termasuk serangan darat,” katanya seperti dilaporkan agensi berita rasmi Iran, IRIB.
Dalam perkembangan berasingan, diplomat tertinggi Iran, Encik Abbas Araghchi, memberitahu Al Jazeera bahawa Iran memang menerima mesej daripada utusan khas Amerika Syarikat, Encik Steve Witkoff.
Dalam surat sepanjang kira-kira 1,000 patah perkataan itu, Encik Pezeshkian turut mengimbau sejarah panjang Iran berdepan pencerobohan asing. “Iran tidak pernah memulakan peperangan. Namun, ia sentiasa mempertahankan diri dengan tegas dan berani terhadap pihak yang menyerangnya,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tindakan ketenteraan Iran adalah berasaskan pertahanan diri. “Apa yang dilakukan Iran adalah tindak balas terukur berasaskan hak mempertahankan diri yang sah, dan sama sekali bukan permulaan kepada pencerobohan,” katanya.
Dalam sistem politik Iran, kuasa presiden sebenarnya terhad berbanding Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang mempunyai kata putus dalam isu utama termasuk rundingan dengan Amerika Syarikat dan penamatan perang.
Sejak konflik bermula, pengaruh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) juga semakin meningkat, dengan peranan lebih besar dimainkan oleh pemimpin tentera. Antara tokoh penting ialah Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, yang kini terlibat dalam pengurusan strategi perang. Setakat ini, tidak jelas sama ada surat Pezeshkian diselaraskan dengan Pemimpin Tertinggi atau pihak tentera.
Iran juga belum memberikan maklum balas rasmi terhadap pelan damai 15 perkara yang dikemukakan pentadbiran Trump melalui Pakistan. Encik Trump sebelum ini menyatakan bahawa Naib Presiden, Encik JD Vance, berpotensi bertemu pegawai kanan Iran sekiranya rundingan damai dimulakan.
Dalam perkembangan lain, Encik Pezeshkian turut memaklumkan kepada Presiden Majlis Eropah,Encik Antonio Costa, bahawa Iran bersedia menamatkan perang sekiranya syaratnya dipenuhi, termasuk jaminan penghentian konflik secara kekal.
Cadangan untuk membuka ruang rundingan turut mengundang kritikan daripada kelompok garis tegar di Iran. Namun Ketua komunikasi presiden, Encik Elias Hazrati, mempertahankan Encik Pezeshkian dengan berkata bahawa usaha melemahkan presiden “hanya menguntungkan pihak penyerang.”
Dalam surat itu, Encik Pezeshkian juga cuba membezakan antara pemerintah Amerika dan rakyatnya.
“Rakyat Iran tidak memusuhi mana-mana negara, termasuk rakyat Amerika, Eropah atau negara jiran,” katanya. “Walaupun berdepan tekanan dan campur tangan asing, rakyat Iran sentiasa membezakan antara pemerintah dan rakyat yang mereka tadbir.”
Walaupun mempertahankan tindakan ketenteraan Iran, Encik Pezeshkian tidak menyentuh isu penutupan Selat Hormuz yang telah memberi kesan besar kepada ekonomi global. - Agensi berita

